18.11.10

Pengakuan 8

Ya, belakangan ini saya sibuk sungguh. Maaflah kalau Salah Taip jarang terisi.

14.11.10

Kispen 47: Anak

"Ini saja yang ada, Hasnah." Mangkuk kaca berisi rendang ayam kampung bertukar tangan.

"Eh, tak apa la. Akak datang ni pun saya dah rasa seronok sangat."

"Akak memang selalu macam ni. Kalau ada orang baru di kawasan ni, akak datang. Jiran, kena la berkenal-kenal."

"Betul, betul," Hasnah mencuit paha Sufiya, "akak nak minum apa ni?"

Pengakuan 7

Rasa lega selepas menyahaktif akaun Facebook. Jangan risau, Salah Taip akan beroperasi seperti biasa. Cinta pada menulis ini lain benar berbanding laman sosial.

Lain benar.

10.11.10

Hanya Sepuluh 39

Dari punggung yang sama, lebih kuranglah busuknya. Reformasi konon. Bodoh.

8.11.10

Hanya Sepuluh 38

Kenapa bomoh ekor tak kaya? Perjanjian dengan iblis, pernahkah adil?

Isnin Nan Istimewa

Selamat pagi kepada semua penyokong pasukan Chelsea dan Arsenal. Sekian.

(Ya, sepuluh perkataan, cuma tak sampai hati nak masukkan dalam Hanya Sepuluh. Yang ini terlalu rambang.)

7.11.10

Terpaksa

Setiap manusia di dunia pernah menghadapi situasi yang sama, saya pasti.

Kita tidak pernah mahu dan rela, tetapi demi kepentingan masa hadapan - kita terpaksa lakukan. 

Perkara yang barang pasti tidak akan disentuh, walau kita hidup seribu tahun lagi - andai bukan kerana terpaksa.

Anda pernah, saya pernah, George W. Bush pun pernah - semasa menyerang Iraq. Itu dia cakaplah.

Hanya Sepuluh 37

"Renung, senyum, renung lagi. Setiap hari. Tak muakkah?" - Encik Cermin.

Kispen 46: Jumpa

"Tadi saya pergi sekolah Adik, cikgunya bagi buku rekod. Bolehlah, dapat nombor enam dalam kelas. Kata Cikgu Maheran, yang lain okay. Cuma Matematik saja kena lagi banyak latihan. Awak kenalah turunkan sikit ilmu pada Angah, tu."

"Saya tak sempat lagi kemas dapur, lagi pun tak bersepah sangat. Saya makan kat luar dengan Adik lepas mesyuarat PIBG. Dia nak makan Domino's - katanya hadiah untuk highest mark dalam kelas, English."

"On the way tadi Along telefon. Katanya dia tak jadi balik hujung minggu ni. Outstation. Ikut bosnya ke Tuaran, ada mesyuarat."

6.11.10

Hanya Sepuluh 36

Pejam mata.
Gertap bibir.
Miring tubuh.
Hangat.
Bingkas.
Beredar.

"Hoi!"

Hanya Sepuluh 35

Apabila keldai dan gajah bergomol, negara terulung nampak bangsat juga.

4.11.10

Hanya Sepuluh 34

"Jangan tipu, saya nampak awak dengan siapa sekarang."

"Saya pun."

Kispen 45: Tangkap

"Nah, ni gincu yang awak pesan tadi. Revlon Matte Really Red. Betul kan?" Sang suami menghulur beg kertas warna merah hati.

Sang isteri senyum manis. Pinggang suami dirangkul sambil kaki dijengket.

Manis bertukar kelat sepantas kilat.

"Awak cuba lipstik ni di kolar sekali, ya?"

Hanya Sepuluh 33

Kenapa namanya 'buang undi'? Dua kedunguan, salah satu perlu disingkirkan.

3.11.10

Hanya Sepuluh 32

Kalau manusia jadi Pinocchio, pembedahan plastik akan jadi satu keperluan.

Kispen 44: Kawan

"Mana mi goreng basah kau tak sampai-sampai lagi ni, Man?" Azhar mengangkat kening.

"Entah. Dia lupa tulis order aku agaknya."

"Kat rumah aku pun ada kedai lambat macam ni," sambut Junaidi, "tu pun nak buka kedai juga."

"Tak apa. Makanlah dulu." Rahman capai kotak Dunhill di hujung meja. Sambil membakar hujung rokok, Junaidi sudah entah berapa suap merakusi nasi goreng belacan di hadapannya.

Persatuan Baru 2

Nama
Kelab Kami Baru Sokong Manchester City Musim Ini Sebab Ramai Pemain Bintang

Akronim
KKBS Man City MISRPB

Motto
"Eh, Manchester City Yang Warna Biru Muda Tu Kan?"

1.11.10

Hanya Sepuluh 31

"Lelaki pun menangis."

"Yang ego?"

"Menangis juga. Cuma namanya mencarut."

31.10.10

Pengakuan 6

Tak jadilah. Sejuk sangat.

Pengakuan 5

Hujan pagi masih belum berhenti. Saya mahu sambung tidur. Bukannya mengantuk pun, cuma mahu meraikan dingin hujan yang tak henti-henti mendodoi.

Selamat pagi.

Persatuan Baru 1

Nama
Kelab Pengundi Tegar Semua Rancangan Realiti TV Malaysia

Akronim
KELADIGARUCALITMAS

Motto
"Jerit. Tekan. Hantar. Dunia Ini Fantasi, Kecuali TV."

Hanya Sepuluh 30

Andai kamu enggan percaya pada mati, paling tidak, percayailah hidup.

30.10.10

Entri Ke-200

Biasalah. Benda-benda beginilah yang manusia suka buat. Hitung angka. Jubli itu, jubli ini. 

Saya berterima kasih pada semua pembaca yang tetap melekat dengan Salah Taip. 

Jangan pernah jemu untuk terus bersama, kerana untuk mengetahui bahawa setiap nukilan dibaca dan ditunggu untuk dibaca - adalah sukacita yang tak terbandingkan.

Terima kasih.

Kispen 43: Tumpah Kuah

Bacaan ayat-ayat suci mengisi setiap bucu dinding rumah Awang Leh. Dia bersila kemas sambil mata terpejam rapat-rapat. Yang mana dihafal, semua dihambur.

Menantunya, Siti Kamilah, pulang ke pangkuan Maha Besar pagi tadi. Sudah ajal.

Pagi itu hening seperti biasa. Awang Leh baru pulang menoreh saat aroma ikan tamban digoreng menujah hidungnya.

Milah memang suka berpagi-pagi setiap kali pulang ke kampung. Tanak ubi dan goreng ikan tamban. Kelapa pun diparutnya sendiri.

Saat Milah bertempik, Awang Leh masih sibuk menyelia pisau toreh yang disusun rapi di pangkin belakang rumah.

"Milah!"

29.10.10

Hanya Sepuluh 29

Hari ini saya tidak mahu mengarang. Biar tiada entri. Boleh?

28.10.10

Iklan Modem Jalur Lebar

Model lelaki, atau wanita, mana-manalah - duduk di meja pejabat atau di kamar tidur sambil menaip di komputer riba.

Lebih baik berdua atau bertiga. Sambil menaip, saling menyambut gelak tawa dan jari menuding ke arah skrin komputer riba.

Lagu latar? Apa sajalah. Lagu Bunkface (video klipnya orang kertas berkasihan) pun boleh. Saya tak ingat judulnya.

Sehari Selepas Ulang Tahun Hari Lahir

Semalam macam ada rusuhan di Dinding Facebook saya. Penuh contengan. 

Kalau dinding itu benar-benar wujud dalam bentuk susunan bata bersadur simen dan cat, maka dinding itu sudah ditimpa vandalisme kelas tertinggi.

Tapi ini vandalisme mesra. Ucap selamat dan doa rahmat sempena hari lahir.

Sebagai penagih tegar Facebook, hal yang demikian sudah cukup menggembirakan. Lagi pun, saya bukannya jenis yang menyambut hari lahir.

27.10.10

Hanya Sepuluh 28

Usah melawan kebodohan. Dia tak akan membalas. Dia menunggumu penat.

Hanya Sepuluh 27

Pasti ada yang menghitung kata saat membaca Hanya Sepuluh, kan?

Hanya Sepuluh 26

Selamat hari lahir, wahai diri. Ayuh, sujud dan berterima kasih.

26.10.10

Tak Pandai Lagi

Tanpa kuasa, yang bodoh mengajar nikmat hidup pada yang pintar, bahawa dunia ini sentiasa dan sediakala manis tatkala ada manusia di bawah yang bisa kauludah semahumu. 

Dengan kuasa, yang bodoh menghantar azab hidup pada yang pintar, bahawa dunia ini sentiasa dan sediakala hamis tatkala ada manusia yang saban hari mengatur hidupmu agar jelek dan dungu. 

Walau sedalam mana pun akalmu cuba mengakali, walau haus tenggorokanmu mencarut berkali-kali.

Hanya Sepuluh 25

"Cadanganmu?"

"Benihkan awan. Biar hujan wang berlambang parti."

"Pasti menang!"

Kispen 42: Hari Lahir

Salmi membetulkan kolar baju anak tunggalnya yang terlipat. Dahinya dikucup.

"Come, sayang. Semua dah tunggu."

Zafran mengangguk.

Sambil menuruni tangga, mata Zafran menyeluruhi ruang tamu. Rakan-rakannya semua ada, semua tersenyum. Masing-masing tercegat mengerumuni meja makan yang sudah dialih ke situ.

Alice, Zakwan, Jiji, Batrisya, Bala, Bob, Muzaffar, Hana, Julia, Lee. Semua ada.

"Come here, my birthday boy!" Iskandar mendepangkan tangan. Zafran berlari kecil. Papa dipeluk erat.

Hanya Sepuluh 24

Bangunlah.

Masih belum puas berdengkur tanpa syukur pada Yang Empunya?

Pengakuan 4

Saya rindu padanya. Sungguh. Dah lama tak jumpa. Dia selalu buat saya ketawa, dan kagum dengan keletah pintarnya.

Akhirnya, lewat tengah malam tadi kami sempat bersua.

Dia buat saya ketawa, seperti biasa. 

Terima kasih, AXN. Saya amat menghargai rerun House M.D. sementara menunggu musim baru.

25.10.10

Hanya Sepuluh 23

"Semua sedia? Serang!"

Esoknya, semua manusia mati.

Haiwan membalas dendam.

Pagi

Pagi memang sentiasa hening. Senyum matahari menawarkan hangat yang mesra. Walau seenggan mana pun kita mengelusnya, pagi memang sentiasa datang.

Bukalah mata. Regangkan segenap inci urat malas.

Pagi menunggu kita meraikannya. Lambang bermula kasih Tuhan. Lambang bermula kisah insan.

Dan saya menyambut ketibaan pagi dengan entri ini, serta dua keping roti canai.

Pagi memang sentiasa hening.

Mengenang Scorsese, Kurosawa, Tarantino dan Yang Setara

Kecuali trilogi The Matrix, saya taklah suka sangat filem-filem berbajet besar dan sarat dengan kesan khas seperti imej janaan komputer (CGI).

Maksud tak suka, bukanlah sampai tak boleh tonton.

Boleh.

Cuma, saya tak gemar kalau filem-filem sebegini memenangi anugerah utama dalam industri perfileman, seperti Academy Awards, BAFTA, dan Palm d'Or.

Apatah lagi kalau memang hanyasanya nyawa filem tersebut kesan khas dan CGI, maka semakin meluatlah saya kalau filem sebegini menang.

24.10.10

Hanya Sepuluh 22

"Kenapa sokong?"

"Dah ramai yang tentang."

"Jadi?"

"Aku nampak cool."

23.10.10

Hanya Sepuluh 21

"Permintaan terakhirmu?"

"Waktu digantung, usah selubung. Ingin kulihat mereka senyum."

Hanya Sepuluh 20

Penyewa dikehendaki:

Lelaki. Matang. Berfikiran terbuka. Tidur ayam. Pantas berlari.

Pengakuan 3

Saya tidak (pernah) menonton ucapan penggulungan Presiden parti politik terbesar di negara kita.

Kispen 41: Syair

Hasem Jailani berdehem. Tekaknya masih kering walau sudah dua gelas air direguk. Dia kembali menghadap khalayak. Masing-masing masih ternganga, menunggu rangkap seterusnya.

Usahlah tuan mengundi mereka
Sungguh itulah puak celaka
Dituduhnya kalian bangsa derhaka
Bukankah fitnah hukumnya neraka?

Tepuk sorak bersambut sahut. Nampaknya mereka menggemari peraturan kempen pilihan raya yang baru diperkenalkan di negara itu.

Hanya Sepuluh 19

"Tak boleh masuk."

"Saya jual pahala, kak."

"Oh, boleh. Sila."

Pengakuan 2

Dua pinggan nasi lemak waktu sarapan tadi benar-benar membuat perut saya sebu. Mungkin saya akan langkau makan tengah hari.

Mungkin.

Hanya Sepuluh 18

Adolf hidup semula.

Bunuh diri.

Wasiatnya, "Giliran mereka menjadi raja."

22.10.10

Kispen 40: Rompak

"Kenapa kau nak jumpa kat sini?" Radi mengerling kiri kanan. Terlalu banyak punggung ligat digetar yang ingin dielus.

Alan senyum sambil hirup Roman Coke, "Sebab semua orang macam kau. Sibuk tengok benda lain."

"Bullshit, Ram mana?"

"Toilet."

Radi bersandar pada sofa murah terlekap di dinding. Bau Febreze menikam-nikam hidung. Dia sudah penat sumpah seranah. Bodoh punya Alan. Ini tempat Datuk dan Tan Sri lari dari bini.

"What's up?" Ram muncul entah dari mana. Dia tersengih sambil pencungkil gigi terselit di telinga. Bahu Radi ditumbuk-tumbuk.

Hanya Sepuluh 17

Jutaan manusia.

Hanya dua belas nasib?

Bodoh.

Berhentilah menujumi hidup.

Hanya Sepuluh 16

Tadi kawan saya komen fasal Hanya Sepuluh. Segan campur suka.

Pengakuan 1

Saya memulakan siri ini selepas mendapat ilham dari blog ini. Ya, bukan ide sendiri.

Lagi pun, masing-masing punya isi hati dan rahsia (entah hitam entah putih) yang digenggam kejap kemas tanpa pernah didedahkan pada dunia.

Saya rasa adalah sikit-sikit yang boleh dikongsi di sini sekali-sekala.

Kalian pun boleh buat begitu. Percayalah, walau seberat mana pun terbuku rasa, tatkala usai diluahkan - leganya hanya Tuhan yang tahu.

Macam tahan-lepas kentut. Lebih kuranglah.

Kerut Dahi

Sambil saya membaca beberapa makalah, sudah menjadi tabiat saya memegang (sambil memicit) dahi. Bukan, bukan sebab pening kepala.

Memang tabiat.

Tiba-tiba, hujung jari saya mengesan kerutan dahi. Banyak kali. Kemudian, mulut ternganga sedikit.

21.10.10

Kispen 39: Rumah Baru

"Bang, kotak biru ni nak letak di mana?" Jamilah memanjangkan leher. Entah ke mana pula perginya Sharif. Tadi sibuk memunggah lukisan-lukisan lamanya.

Sharif melaung dari tangga, "Yang ada conteng dengan marker tu, ya?" 

"Ya."

"Letak saja di luar bilik. Nanti abang susun balik."

Jamilah mengesat peluh di dahi sambil tersenyum. Penat lelahnya dan Abang bekerja keras akhirnya membuahkan hasil.

Aku sudah ada rumah sendiri, bisik Jamilah. Rumah ini pun sudah ada penyewa baru. Kawan pejabat, kata Abang.

Kispen 38: Paling Tinggi

"Sudah tentulah bangunan di negara saya. Bangunan Empayar Negara. Seratus tingkat. Gilang-gemilang mencakar langit." Presiden Negara A mendabik dada.

"Mana boleh, di negara saya lebih tinggi. Puncak Agung Mutlak. Seratus lima tingkat, tahu? Siapa terpandang, pasti ternganga." Kembang kempis lubang hidung Perdana Menteri Negara B.

"Seratus lima? Ha ha ha." Sultan Negara C terbahak-bahak. "Negaraku, seratus sembilan tingkat. Menara An-Nur. Naik tingkat paling tinggi, boleh dicedok air hujan dari awan gemawan." 

Hanya ketua negara itu yang masih terdiam, mengulum senyum.

Hanya Sepuluh 15

Jangan buat saya begini. Saya tak sanggup untuk katakan tidak.

19.10.10

Akibat Hanya Tidur Dua Jam Semalam

Saya mahu jadi adiwira.

Saya mahu jadi Batman. Banyak wang, dan dikelilingi para pembantu setia.

Jadi wartawan sambil terbang dengan celana dalam merah di luar, bukankah tolol? Tidak kisahlah walau mampu mengangkat badak sumbu dan penggulat sumo dengan jari kelingking.

Jadi pemancut rambang sarang labah-labah pun bodoh. Awak ingat, tukang cuci ada masa nak bersihkan? 

Jadi abang besar hijau tak ada otak apabila amarah menyerang, ini namanya gila. Di wad mental boleh jumpa ramai orang macam ini. 

18.10.10

Hanya Sepuluh 14

"Kucinta dia."

"Dia adikmu."

"Tak kutahu."

Resepi mujarab drama TV.

17.10.10

Kispen 37: Petikan Gebang Di Kedai Kopi Mewah

Politikawan 1: 
Moleklah engkau berundur. Andai kau mahu juga bertarung satu lawan satu, akan kubuka segala rahsia gelap dan noda kotormu!

Politikawan 2: 
Silakan. Rahsiaku dibocorkan manusia sejijikmu, siapa yang mahu percaya? Bodoh. Kita sama-sama hitam, kawan.

Tak Pandai

Saya tidak marah pada bodoh dan kebodohan. Saya pun, selalunya, bodoh juga. Saya cuma berang pada kebodohan yang mahu dikuatkuasakan.

15.10.10

Kispen 36: Kaya

Tiga orang tokoh korporat di negara itu masing-masing bersandar selesa di kerusi masing-masing. Semuanya sudah mangli dengan lampu limpah dan panahan mata ribuan manusia.

Hari ini hanya satu lagi hari di pejabat.

Forum Rahsia Kaya Raya anjuran TV11 benar-benar mencuri perhatian negara itu. Ramai sekali pengunjung berjejal membanjiri Auditorium Utama.

Lebih ramai yang berteleku di hadapan kaca televisyen.

Moderator forum - Syella Qaseh, pelakon drama tersohor. Cuma kali ini, dia tidak bergaun singkat. Penerbit minta Syella pakai kebaya. Ketat sedikit, tak apa.

Hanya Sepuluh 13

Awak tahu. 
Saya mahu. 
Awak malu. 
Pohonlah.
Agar Tuhan setuju.

Hanya Sepuluh 12

Andai saya sepintar dan sesinis House, saya sanggup tempang sepertinya.

Hanya Sepuluh 11

Di hospital, saya melihat kalimah sama pada setiap wajah.

Harapan.

Hikayat Awang Jentaka: Bahagian Akhir

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 | 5)

"Tak apalah, Tok. Yang ini tak lucu, kita tunggu satu lagi." Orang Kaya Mujar menyeka air mata yang bersisa dek terlalu galak hilai tawa.

Peserta kedua tampil. Tinggi lampai, kurus kering. Dia terkernyih seraya terpamer gigi nan jarang. Tanpa silu, dia menggaru punggung dengan hujung ibu jari.

"Siapa nama kau?" Soal Orang Kaya Mujar.

"Alit."

"Baik. Alit, apa jenakamu buat Tok Penghulu?"

Dengan tidak semena-mena, dahi Alit berkerut seribu. Bibir termuncung, mata dikejip rapat. Timbul segala urat di dahi. Wajah Alit merah padam.

14.10.10

Doa

Sambil online, sambil jeling Mama yang enak dibuai lena. Selesa juga di Hospital Raja Perempuan Zainab II, bolehlah Mama berehat dengan sempurna sesudah pembedahan kecil.

Wad 28, Kamar 2.

Enam katil. Enam penghuni. Ramai penjaga. Dah jadi macam jiran tetangga. Masing-masing bertukar senyum, juga barangkali doa buat satu sama lain.

Semoga cepat sembuh. Semoga sentiasa dalam lindungan Allah.

Saya harap kalian juga begitu selepas membaca entri ini.

12.10.10

Sepasang

Saya tidak pernah rasa cemburu melihat mana-mana pasangan memadu kasih sambil menikmati hidangan.

Soal boleh pegang, tak boleh pegang - itu cerita lainlah.

Andai sudah mabuk cinta, semuanya mahu dibuat bersama-sama. Makan sama-sama, ketawa sama-sama.

Saya juga tidak pernah rasa janggal melihat mana-mana pasangan mengenakan baju sedondon. Tampak manis dan comel.

Pembunuh

Akuilah, kadangkala terselit rasa puas saat menampar nyamuk dan melihat semula sisa darah di telapak tangan.

Atau rasa gembira melihat jujuk semut api yang terputus, lipas yang menggelupur dek penangan racun serangga.

Dua dua puluh satu pagi. Selamat beradu, sekalian pembunuh!

11.10.10

Hikayat Awang Jentaka: Bahagian 5

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4)

Cadik Badik tersengih-sengih. Sengaja dia tidak berbaju hari ini. Hanya berseluar kain kapas, putih berbelang merah. Perut bocahnya bersinar-sinar dipanah matari.

Dia yakin sungguh-sungguh, Penghulu Awang akan tertawa besar mendengar kisahnya. Ah, melihat perutnya sahaja sudah bisa bikin sesiapa geli hati.

Telapak tangannya gatal, diam-diam dia menghitung 100 keping wang emas.

"Begini kisahnya, Penghulu. Ada tiga orang pemuda; Gemuk, Kurus, dan Katik. Mereka menemukan sebuah gua sambil berjalan-jalan."

10.10.10

Kispen 35: Basah

"Akak dah tak larat, Maya. Tiap-tiap malam. Dah habis bomoh, habis klinik, akak pergi. Kadang-kadang kasihan pula tengok Amin makan ubat macam-macam." Suhana menghela nafas panjang. Hujung cadar yang dijemur ditarik-tarik.

Maya pura-pura siram bunga. Dia cuma mahu teman bergebang. Asyik menghadap TV usai mengemas rumah, bosan juga.

"Saya pun tak tahulah, kak. Tak boleh nak cakap. Saya punya baru on the way." Maya memegang perutnya. Makin hari, makin besar. Sudah enam bulan.

"Tak apalah, Maya. Kau jadi teman akak pagi-pagi ni pun dah bagus."

"Amin tu, darjah empat ya kak?"

Sepuluh Sepuluh Sepuluh

Tidak, sudah tentu saya tidak menaip entri ini pada 10 Oktober 2010, tepat jam 10:10:10. Itu mustahil.

Saya cuma tetapkan dalam Post Options. Mudah bukan?

Kecanggihan teknologi sering membenarkan kita mencapai yang sukar. 

Atau sekurang-kurangnya membenarkan saya memenuhi obsesi angka ini. Maklumlah, kalau mahu ulang semula saat ini, perlu tunggu seratus tahun lagi.

Tunggu dalam blog cucu-cicit sayalah.

9.10.10

Hikayat Awang Jentaka: Bahagian 4

(Bahagian 1 | 2 | 3)

"Kita dah sampai." Ujar Mihat. Kain terlilit di pinggang dirungkai buat mengesat peluh bermanik di dahi.

"Dekat saja rumahmu dengan rumah Awang Jentaka." Adi memanjangkan leher mencari susuk Awang Jentaka. Sudah ramai tetamu berkerumun di laman.

"Sudah kupesan tadi. Panggil dia Penghulu Awang."

"Yalah, yalah."

Di beranda, Orang Kaya Mujar bersila kemas sambil menghisap rokok daun. Tembakau baru dari pelabuhan, enak dan wangi. 

Kispen 34: Realiti

"Guys, idea please." Nazman menggigit hujung pen sambil merenung dua lagi rakan yang tekun berteleku. 

"Tak taulah. Akademi Suara dah bungkus. Raja Kelakar rating teruk. Nak buat apa lagi?" Balas Syahida sambil tenung wajah Nazman. Bedak asasnya lebih tebal dariku, bisiknya.

"Teater?" Mew Chong angkat kening. 

"Tak jalan, uols. Anak Lakon pun tahan tiga season saja. Semua macam tiang kayu, sponsor larilah. Ini pula teater. Lagilah susah." Nazman tukar pen. Gigit.

"Cef? Macam Hell's Kitchen?" Mew Chong cuba lagi.

8.10.10

Kispen 33: Surat

Sudah menjadi kelaziman, ibu kota setiap negara menjadi tumpuan manusia. Cari kerja, cari aksara, cari cinta. 

Di negara itu pun sama. Cuma, yang menjadi tumpuan hanyalah sebuah kedai. 

Bukan, bukan gedung agam binaan pemodal besar dengan jenama-jenama yang bisa bikin lidah tergeliat menyebutnya. Bukan.

Kedai biasa. Letaknya di hujung deret, di hujung jalan. 

Tidak ada barang niaga terpamer. Tidak ada rak-rak ranggi dari kedai perabot Eropah. 

7.10.10

Hikayat Awang Jentaka: Bahagian 3

(Bahagian 1 | 2)

"Aku dengar Orang Kaya Mujar ada bikin tawaran. Barangsiapa yang mampu buat Awang Jentaka ketawa, diberinya 100 keping wang emas." Adi mengemaskan sila.

Mihat tersenyum. Benarlah, berita ini sudah diketahui seisi Melaka. 

"Gila, bukan? Mengapa tidak disedekahkan saja pada orang-orang miskin?"

"Ah, aku rasa dia suka-suka saja. Apa kata Awang Jentaka?"

6.10.10

Kispen 32: Beruang

"Kita jaga booth ni sampai pukul berapa?"

"Empat. Nanti Liyana datang dengan cik abang dia." Nurul angkat kening beberapa kali. Baru semalam Liyana beritahu, dia sudah rasmi dengan Ammar.

Ilyani pura-pura tak mendengar. Entah mengapa terselit secebis cemburu. Padahal Ammar kisah lama. Kisah zaman sekolah. Sekarang sudah di universiti.

Hari ini hari terakhir Minggu Kewangan anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengurusan Perniagaan. Wakil persatuan bergilir-gilir menjaga gerai.

Nurul dan Ilyani baru masuk semester kedua. Masih hijau. Masing-masing teruja menjemput rakan-rakan sekuliah singgah ke gerai.

"Boleh cuba, bang. Susun jigsaw puzzle. Seringgit saja. Kalau siap bawah satu minit, dapat hamper besar."

5.10.10

Kispen 31: Temu Dan Duga

Entah kenapa udara dalam Bilik Mesyuarat Utama semakin dingin. Pendingin hawa sudah 15 minit ditutup. Matahari membahang, cahaya benderang kelihatan di jendela.

Lima orang calon penerima biasiswa Palingkaya Berhad masih menunggu tukang temuduga, Encik Hanafi Zolkipili. 

Hampir setengah jam dia keluar. Katanya sebentar saja.

Meja agam bujur tajam memusatkan tumpuan siapa sahaja yang bertandang ke Bilik Mesyuarat Utama. Aroma jati Indonesia berbaur haruman lavender menikam-nikam hidung. Di tengah-tengah meja, tiga pasu lutsinar kecil disusun melintang, masing-masing berisi potpuri warna-warni. 

Mengelilingi meja, kerusi empuk dengan kemasan kulit. Anggun. Hitam.

"Semua masih ada di sini, ya? Bagus." Kepala Encik Hanafi terjengul di pintu.

Kispen 30: Kata

Awak dapat mesej saya?

Dapat. Ada dalam beg ni. Saya bawa.

Bagus, bagus. Razali datang sekali tak?

Datang rasanya. Saya dah beritahu dia semalam.

Pembesar suara tren bersipongang. Abdullah Hukum. Manusia rusuh keluar masuk. Pagi hujung minggu. Masih belum sesak. Masih belum tengik.

Cantik. Saya suka awak pakai baju merah.

Terima kasih. Baju ni arwah mak yang jahit. Dia kata, dia suka gaya kebaya dengan jeans. 

Sampai nanti, kita makan dululah, ya?

4.10.10

Hikayat Awang Jentaka: Bahagian 2

(Bahagian 1)

"Kata kau, datang berteman. Mana yang lain?"

"Penat mengharung hutan. Mereka bermalam di Kampung Pusu. Esok pagi, sampailah." Adi Terlak menyapu butir nasi di pinggir bibir dengan kura tangan.

"Tambah lagi, Adi. Sepat ni, aku tangkap sendiri."

Adi angguk sambil nasi bergaul gulai sepat dikunyah kecap tanpa bunyi. Enak sungguh. Pandai Mihat mencari isteri. Sudahlah ayu berwajah luhur, handal pula tingkah di dapur.

"Kau masih buat sampan?" Mihat cedok nasi lagi.

3.10.10

Hikayat Awang Jentaka: Bahagian 1

Adi Terlak akhirnya tiba jua di Meranti Murung. Asalnya bertiga, akan tetapi tiadalah mangli Tapa Embah dan Mat Pesek mengharung hutan. Lelah. Berjujuh peluh dari segenap roma.

"Kau pergilah dulu, Adi. Kami bermalam di sini dulu. Esok pagi kami berangkat." 

Adi senyum. Teringat pula hidung Mat Pesek kembang-kempis. Misai nipis berserak di bawahnya. 

Dia bukan tidak mahu menyusur sungai, cuma sampannya dipinjam orang. Masyhur benar di seluruh Melayur Pucuk akan halus buatan lasak binaan sampan Adi Terlak.

Lantas, keraplah dayung tiada di tangan. Adi pun tidak berkira. Lokek dan kikir sudah lama terpadam dalam kamus hidupnya.

Hanya Sepuluh 10

Makin lusuh, kekuningan.

Makin rusuh, kerunsingan.

Bacalah, sebelum aksaranya lenyap.

2.10.10

Kispen 29: Bunuh

Di negara itu, polis sedang sibuk mencari pembunuh bersiri. Entah seorang, entah bertiga, entah berapa. 

Mangsanya? Politikawan yang diundi rakyat, menjadi wakil bertikam lidah bertukar hujah.

Setiap kali siasat, setiap kali itu jualah buntu. Tiada bukti. Segalanya bersih, rapi, dan teliti. Tiada walau sehelai bulu badan, apatah lagi rambut atau cap jari.

Tiada bukti.

1.10.10

Rindu

Saya rindu betul dengan mereka. Insha Allah, bakal ketemu jua nanti.

30.9.10

Hujan

Berbanding panas dan mendung, hujan lebih banyak mengundang memori. Bagi sayalah. Banyak sekali yang terlintas di benak saat aroma titis-titis dari langit mengucup bumi.

Semalam hujan. Kelmarin lebih lebat. Kenangan bertalu-talu hinggap.

Masing-masing punya kisah sendiri. Saat bertemu cinta hati, lencun bersama di pinggir pantai. 

Detik-detik tanah merah basah sekepal demi sekepal mengiringi jasad yang pergi buat selama-lamanya.

Gelagat zaman muda-muda, air mata berjujuhan - berlumba dengan hujan bercucuran pada jendela kamar. Di tangan, telefon bimbit memapar mesej si dia yang berpuluh kali diulang baca.

29.9.10

Demam

Perut bergejolak. Batuk tiada reda. Anak tekak ditikam-tikam. Sekujur tubuh membara. Bak kata Pendekar Bujang Lapok, "Cobaan!"

Nota kaki: Saya masih belum sempat menyediakan sup ayam Campbell kepada diri sendiri. Haish.

28.9.10

Hanya Sepuluh 9

"Kali kedua pun berdebar?" Kadi senyum.

Yang pertama muncul. Amuk.

Kispen 28: Kalau Tiada

Menara Persatuan Negara-Negara Dunia, New York.

"Seperti mana yang dijanjikan, hari ini kita sambung lagi perbincangan tentang kepupusan haiwan. Ya, soalan yang sama. Apa akan jadi jika haiwan tiada?" Ujar Pengerusi Persatuan, Kabir al-Mahzoumi, sambil merenung Sidang Utama yang hampir penuh.

"Ini bala bencana. Bala bencana. Haiwan ini sumber makanan kita." Mbetoltu Mbetolni memulakan sidang.

"Manusia mesti menangani kepupusan ini. Kitar ekologi akan terjejas. Yang akan mati, kitalah." Jack Sawyer mencelah. Ramai mengangguk.

"Rancangan TV pun akan berkurang. Animal Planet gulung tikar." Poloneiwcz Karsidzic bangkit dengan wajah serius. Terselit tawa kecil entah dari mana.

27.9.10

Abadi: Bahagian Akhir

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4)

Hilda, saya minta maaf andai surat saya terlalu rusuh tempoh hari. Tak patut saya bahasakan diri sebagai abang. Kita baru saja berkenalan. Semula. 

Saya harap awak sihat. Saya? Bolehlah. Batuk-batuk sikit.

Doktor Praveena kata awak nak baca lagi surat saya. Sebab itu saya hantar satu lagi.

Awak berambut pendek sekarang, ya? Dia juga yang beritahu saya. Saya masih ingat, dulu rambut awak separas bahu. Hitam coklat. Ikal.

Setiap malam, awak suka benar berlama-lama di depan cermin. Sisir rambut. Sekali-sekala awak jeling saya. Ya, rambut itu buat saya tertunggu-tunggu, dan cemburu.

26.9.10

Dari Papan Kekunci

Saya selalu tertanya-tanya, bilakah agaknya akan tiba satu hari tanpa entri di sini? Tak apalah. Sebelum hari itu tiba, saya coret apa sahaja. Selagi ada ide bersisa. Walau conteng selit sebegini.

25.9.10

Kispen 27: Autobiografi

Cikgu Habibah tenang melangkah ke 5 Tegas. Dia memang selalu awal ke kelas. Tak elok buat murid-murid menunggu, pesan ibu digenggam kemas-kemas.

Isi mesyuarat semalam masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia ditugaskan mengajar 5 Tegas kerana prestasi cemerlang sebagai guru Bahasa Melayu.

Kelas 5 Tegas terpilih dalam projek Kelaster - Kelas Terbaik. Kata guru besar, mesti ajar murid-murid secara kreatif. Mereka semua anak-anak pintar.

"Assalamualaikum, cikgu!" Salam serentak dilaung nyaring, seraya memadam angan Cikgu Habibah.

"Waalaikumsalam. Semua duduk." Cikgu Habibah memulakan kelas dengan seulas senyum manis. Lesung pipit menambah seri.

"Syafawi, baca doa."

24.9.10

Teknologi Bukan Musuh Bahasa

Sambil meladeni Twitter di Tweetdeck, saya terbaca satu kiriman dari seorang rakan. Lebih kurang beginilah:

Facebook dan Twitter ancam Bahasa Melayu - DBP

Dengan segera, saya tanya Pakcik Google tentang kisah sebenar. Rupa-rupanya, kiriman itu merujuk pada kenyataan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak.

Katanya, penggunaan bahasa pasar dan bahasa rojak tak mampu dibendung lagi sejak laman sosial (Facebook, Twitter) wujud. 

Setiausa kerajaan negeri Sarawak kata, mesti lebih giat untuk promosi bahasa Melayu. Kalau tidak, bahasa pasar akan ambil alih.

Saya tak setuju.

Pendirian sebegini, pada hemat saya, begitu aneh. Mengapakah wujud pandai bahasa yang menganggap evolusi dalam bahasa sebagai sesuatu yang jelek?

Abadi: Bahagian 4

(Bahagian 1 | 2 | 3)

"Masuklah." Samad senyum tawar.

Doktor Praveena kagum, hampir-hampir mulutnya terlopong. Segala-galanya teratur di apartmen ini. Segala-galanya.

Ruang tamu minimalis dengan dua sofa kulit hitam yang bertemu membentuk huruf L. Di tengah-tengah, meja kaca empat segi sama dengan kemasan logam di setiap sisi. 

Di bawahnya, permaidani merah garang. Rona dinding putih berbaur kuning cair, kosong. Tiada bingkai gambar walau satu. 

Rak buku agam menyeluruhi dinding. Majalah dan buku tersusun mengikut saiz dan tajuk, persis perpustakaan. 

Doktor Praveena terlopong.

Kispen 26: Kotak Bodoh

Di negara itu, semua orang ketawa berdekah-dekah bermula jam lapan hingga sembilan malam. Terkekek-kekek. Terbahak-bahak. Terbatuk-batuk. Semua berceratuk melongo, menonton komedi informatif nasional.

23.9.10

Abadi: Bahagian 3

(Bahagian 1 | 2)

"Samad mana?" Mak Su Nah mundar-mandir di depan kaunter unit kecemasan. Tidak ada sesiapa yang berani mendekatinya.

"Aku tanya, Samad mana?" Kali ini lebih nyaring.

"Mak, sabar mak. Duduk dulu. Kita tunggu doktor." Hirza dakap bahu Mak Su Nah. Perlahan-lahan mereka ke kerusi lantas melabuhkan punggung.

Mak Su Nah bungkam. Mata tiba-tiba terbelalak liar.

"Aku dah agak," Mak Su Nah bertempik sambil duduk, "si Samad jahanam ni memang menantu tak guna! Bawa kereta macam pelesit! Kalau anak aku mati, siapa nak ganti, ha? Siapa nak ganti?"

"Sudahlah, mak. Mengucap. Ini takdir mak. Bukan salah Abang Mad."

Pintu ruang rawatan terkuak. Doktor Maryam mendekati Mak Su Nah dan bersalaman. Tinggi lampai, anggun berkebaya ungu muda.

"Makcik, saya Maryam. Anak dan menantu makcik, dua-dua selamat. Cuma an---"

"Cuma?"

Segar

Tidur dua jam. Bangun pagi. Tiada lesu. Terima kasih, Tuhan. Bukan selalu begini.

21.9.10

Kispen 25: Tinja

Di negara itu, suasana aman damai. Tiada gaduh. Tiada rusuh. Tiada siapa yang bermusuh. Sekalian jelata taat patuh. Walau susah tiada mengeluh. Gelas sentiasa separuh penuh.

Yang resah dan gelisah hanya politikawan. Tiada isu. Kering modal. Sunyi sepi. Bagaimana mahu beli undi? Bagaimana mahu main momok?

Sehinggalah takdir Tuhan Maha Kuasa, tanpa disangka, setompok tinja lembu bertimpuh sopan di tengah-tengah jalan masuk ke Dewan Politikawan.

Maka bersorak-sorailah sekalian politikawan. Tiga hari, tiga malam di Dewan Politikawan, tiada lain yang dibincangkan melainkan tinja itu jualah.

"Bentuk tinja itu betul-betul bujur telur. Ini penghinaan pada parti kami. Sebab logo kami bujur telur. Musuh politik sudah main kotor!"

Abadi: Bahagian 2


"Boleh saya tolong encik?" Gadis genit di kaunter tersenyum. Kebaya moden merah hati membalut tubuh penambah seri. 

"Saya ada temujanji dengan Dr Praveena." Samsul membalas senyum. 

"Tunggu sekejap, ya. Encik duduklah dulu." Gadis kebaya merah mengangkat gagang telefon dan berbual pendek. Samsul renung dari sofa di ruang legar. Manis.

Dr Praveena muncul entah dari mana. 

"Encik Samsul?"

"Ya, saya." Samsul bingkas dan bersalaman.

"Kita bincang di sini saja, boleh? Air-cond bilik saya rosak. Belum repair." 

Hanya Sepuluh 8

Ting! Dua puluh sen? Ceh. Kedekut. Sambung nyanyi. Sambung buta.

Abadi: Bahagian 1

"Kau lambat." Ujar Samad sebaik sahaja mendengar pintu dikuak.

"Sorry. Jalan sesak." Samsul terus ke ruang tamu dan duduk. Kerling arloji. Tujuh lapan belas. Maghrib sudah hampir.

Samad keluar dari dapur seraya ke ruang tamu. Di tangannya secawan teh halia, bikinan sendiri. 

"Kau nak minum, buat sendiri."

"Tak apa. Tadi dalam kereta dah minum. Aku rasa aku dah jumpa tempatnya, tapi masih belum pasti."

"Kenapa? Namanya tak ada?"

19.9.10

Suku Kata Manakah Dalam Arahan "Tolong Senyap" Yang Mereka Tidak Faham?

Saya memang ada masalah tumpuan ketika membaca, menulis, menaip, dan sebagainya.

Kalau bising sangat, memang mudah benar terganggu. Kecuali muzik, tak mengapa.

Apatah lagi dalam perpustakaan, sebuah tempat yang direka oleh manusia untuk pengunjungnya menikmati suasana tenang tanpa sebarang gangguan.

Jadi, apabila ada manusia-manusia tolol (yang pada hemat saya sudah pasti tidak buta huruf kerana mereka ke perpustakaan untuk membaca kecualilah mereka ingin membuktikan ironi) yang gemar mengajak seisi perpustakaan mendengar isi gebang mereka tanpa mempedulikan papan tanda ingatan agar senyap, telinga saya pantas panas.

Sebagai marhaen yang kadangkala miskin sabar, saya terpaksa menoleh dan memberi ingat.

Andai tahap sabar saya berada pada tahap papa, nescaya tiadalah kata-kata yang tinggal melainkan makian semata-mata.

Maaflah. 

18.9.10

Kispen 24: Ramah

Barisan di kaunter masih panjang. Juruwang tegar menghulur senyum walau tenaga makin susut.

Akhirnya Dilla tiba di kaunter. Jualan murah, diharung juga walau berbadan dua. Maklum saja, menyambut anak sulung. Segala kelengkapan harus sedia.

Mata Dilla sempat menyambar tanda nama plastik merah tua yang tersemat di dada juruwang. FAUZIAH.

"Cantik baju ni, kak. Ramai yang dah beli."

Hikayat Melayur Pucuk: Bahagian Akhir

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 )

Tiba di anjung masjid, Mail Birahi capai pemalu beduk. Entah berapa kali tangannya dihayun deras.

Kulit kerbau yang diregang bergetaran, menghantar gema ke seluruh Melayur Pucuk. 

Belum sempat habis rokok barang sepuntung, sudah penuh laman masjid. Orang-orang kampung bergegas, bimbang ada kecemasan.

"Dengar sini, orang-orang kampung! Aku sudah bertemu Tok Khamis. Aku sudah berjumpa Tok Senain. Kedua-duanya tidak mahu menolong kita! Kedua-duanya sudah jadi tali barut pedagang-pedagang! Maka, Hari Undi esok aku akan membuat kejutan."

Mail Birahi menahan mengah.

"Ya, kejutan apa? Itu kalian tunggu sampai esok. Ya, tunggu Hari Undi esok. Ingat, pertahankan Melayur Pucuk! Ini tanah kita! Ini tempat tumpah darah kita!" Tangan digenggam menumbuk langit.

Mesti Mula

Mudah saja mencari Restoran Wak Chai di Taman Tun Dr Ismail. Tak sempat sesat. 

Mi goreng mamak. Limau ais. Devil's Place tulisan Brian Gomez. No God In Sight karya Altaf Tyrewala. Dan janji temu yang memberi ilham.

Thanks, bro. Such an honor to meet you in person. I shall start now, I guess.

Nama Di Facebook

Saya kagum dengan rakan-rakan yang tidak ada walau sezarah pun nama sendiri pada akaun Facebook mereka. 

Yalah, seperti Jejaka Tampan Milik Semua, Chenta Qaseh Abadiey, Menghisab Jiwa, Komander Kelakar. 

Mereka ini semua manusia masyhur. Tidak perlu dikenali dengan nama sendiri. Saya pun ingin jadi masyhur seperti mereka.

Tapi, saya masih belum ada frasa-frasa unik sedemikian.

Tak apalah, biar saya fikir dulu. Salah Taip? Tak bolehlah, itu nama blog.

17.9.10

Tersungkur

Saya solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling tengah hari tadi. 

Paling mengujakan, khatib lancar menganyam bait-bait nasihat ringkas dengan ayat-ayat Tuhan dan pesan Nabi, tanpa teks.

Khutbah spontan. Saya pun sudah lupa kali terakhir saya mendengar khutbah spontan. Nanti dulu, khutbah berteks pun kadangkala terlepas. 

Datang lewat, atau sibuk tersengguk dalam saf.

Tema khutbah amat ringkas. Apa yang anda telah lakukan seminggu selepas Ramadan? Tajam. Berkali-kali saya mengangguk, tanda malu dan kesal.

Kata sahabat karib saya, Encik D, "smack down tahap bunuh-bakar-buang abu".

Semoga hidup kita tidak lagi diselangi gimik ibadah sebulan sekali. Tuhan menawarkan ganjaran berganda agar Ramadan membina tabiat.

Bukan bulan bodek Tuhan atau kredit pahala yang bakal susut sedikit demi sedikit dengan debit dosa nanti. Tiba Ramadan, masuk lagi.

Ya, ya, ini bukan ceramah. Ini bukan blog ustaz, bukan blog agamawan kesohor.

Ini bebelan terhadap diri sendiri.

Hikayat Melayur Pucuk: Bahagian 4


Berkumpullah Tok Khamis dan orang-orang kuatnya di gelanggang silat. Untuk menang kali ini, mereka mahu pertahan hak Melayur Pucuk. 

Masing-masing bersila, membentuk bulatan.

"Kita mesti beritahu orang kampung, Tok Khamis akan bantu kita dapatkan semula kawasan untuk berniaga. Walau apa cara sekalipun, Tok Khamis akan bela orang kampung." Pak Hitam mula bicara.

"Benar, tapi kita mesti jaga juga hati pedagang-pedagang. Ramai dah jadi orang sini. Jabbar, Ferreira, Ah Fatt." Ujar Adi Terlak. 

Ramai mengangguk.

"Aku tak setuju!" Mail Birahi berdiri. Adapun namanya Mail, cuma ditokok Birahi lantaran dia menjual herba buatan sendiri untuk suami isteri lebih gagah di kamar.

Seluruh gelanggang gamam.

16.9.10

Mohon Selamat

Jam sepuluh lima puluh minit malam. Bas (jam sepuluh setengah) saya belum sampai lagi. Biasalah, musim raya. Barisan kenderaan pasti masih merangkak-rangkak.

(Oh, saya bukan pulang ke mana-mana. Singgah ke ibu kota sebentar, memenuhi jemputan kenalan baru.)

Di stesen bas, saat paling syahdu pastinya saat ahli keluarga berpisah. Yang naik bas seorang dua, yang datang menghantar sekereta dua.

Percayalah, setiap yang hadir mengirim doa. Terutamanya anak-anak kecil. 

Walau kelihatan hanya mahu bersenda, saling berkejar sambil sekali-sekala bertanya, "Ma, bas Angah dah sampai belum?" - jernih mata anak-anak ini mengharapkan anda selamat tiba.

Percayalah.

Ada pembaca Salah Taip yang sudah mula bertugas beberapa hari lalu. Namun, masih ramai juga yang bakal memulakan perjalanan malam ini atau esok.

Dari kampung ke kota. Hati menampung cinta. Kembali mengharung cita.

Saya mohon semua selamat tiba.

Hikayat Melayur Pucuk: Bahagian 3


Arakian, Melayur Pucuk ini hampir nian duduknya dengan Pelabuhan Melaka. 

Malah, tersohorlah dalam kalangan pelaut dan pedagang, andai mahu melepas lelah selepas seharian memunggah muatan - di kampung inilah tempat mencari juadah paling lazat. Kuih-muih, manisan, gulai ikan darat, nira, tuak, semua ada.

Oleh kerana tidak terkira pesatnya Pelabuhan Melaka, maka terserak sebarlah kawasan jual beli hingga masuk ke sempadan Melayur Pucuk. 

Akan penduduk kampung ini perangai mereka tiadalah gemar akan pedagang-pedagang luar datang berniaga di tempat mereka.

Hanyasanya alasan yang diberi orang-orang kampung ialah pedagang-pedagang ini merampas hak mereka di tanah sendiri. 

Barang tentu orang Arab, orang putih, orang Benggali, orang tanah besar China dan India ini kaya-raya tiada terperi. 

Selamat Hari Malaysia

Kali keempat puluh tujuh.

Ada kawan tanya saya, macam mana nak sambut Hari Malaysia?

Terpulanglah. Ini tanda ingatan kita pada sebuah negara merdeka yang lahir dengan semangat kekitaan dan kesucian demokrasi.

Ini hari lahir negara yang kita cinta. Negara yang sanggup kita lindungi dari segala marabahaya. Ya, negara. N-E-G-A-R-A. Walau siapa pun musuhnya, kita tentang.

Bak kata Nathan Hale, "Satu-satunya yang kukesal, hanya ada satu nyawa untuk kukorbankan demi negara."

15.9.10

Hanya Sepuluh 7

Rumah agam untuk dijual. Separuh harga. Tanah percuma. Pawang disediakan.

Hanya Sepuluh 6

Dia menyua di sana agar bisa menyuap. Gadai. Tiada pilihan.

Masih Musim Raya

Setiap kali anak-anak kecil bertandang ke rumah sempena Syawal, saya pasti jadi orang terakhir yang mereka salam.

Barangkali wajah saya bengis, budak-budak ini takut. Atau naluri kebapaan yang rendah.

Kata orang, budak-budak boleh menghidu benda-benda macam itu.

Tapi, kalau saya capai dan dukung, tidak pula mereka menangis. Senyum. Sengih. 

Mungkin sebab tangan saya kosong. Tiada sampul berisi wang.


Hikayat Melayur Pucuk: Bahagian 2

(Bahagian 1)

Maka diisytiharkan oleh Bendahara bahawa penduduk Melayur Pucuk mesti mengundi.

Setiap enam purnama, berkumpullah sekalian warga Melayur Pucuk di padang datar untuk Hari Undi.

Didirikan khemah kecil siap bertabir. Sesudah subuh, masing-masing beratur menunggu giliran. 

Tiba di khemah, diberi sekeping kertas kecil sebesar tapak tangan. Maka perlu ditulis satu antara dua huruf.

Huruf 'tha' untuk Tok Senain. Huruf 'kha' untuk Tok Khamis.

Kertas-kertas undi kemudian dikira dan pemenang diumumkan di masjid selepas selesai solat Maghrib. 

14.9.10

Kispen 23: Nujum

"Assalamualaikum dan selamat pagi," So'od Juling senyum sumbing, "pada pagi ini kita semua akan menyaksikan satu sesi soal jawab."

"Encik Adi, anak jati kampung kita - baru pulang dari Australia dan sudah tiga bulan di sini, bercuti. Dia mahu bersoal jawab dengan Wak Karman. Katanya, Wak Karman ini sesat."

Hadirin mengilai. Budak Adi ini memang mahu ditimpa sial.

"Tanpa melengahkan masa, saya persilakan Wak Karman untuk memulakan sesi soal jawab."

"Assalamualaikum," Wak Karman senyum tenang sambil jari meniti tasbih teras kemuning hitam, "saya tak ada banyak nak cakap. Orang kampung semua tahu siapa saya. Berapa banyak nyawa saya sudah selamatkan? Berapa banyak orang kampung sudah jadi kaya?"

Wak Karman reguk liur.

"Berapa banyak laki bini saya selamatkan daripada cerai-berai? Berapa banyak laki bini saya bikin mereka cerai supaya selamat? Tuan-tuan semua tahu, ini semua bukan kuasa saya. Ini kuasa Tuhan beri, supaya saya tolong tuan-tuan."

"Waalaikumsalam, Wak. Saya bukan nak cari gaduh. Saya cuma nak tanya soalan. Wak jawab dengan jujur. Tuhan saksi kita. Itu saja. Tak lebih, tak kurang."

"Silakan."

Hanya Sepuluh 5

Jam tiga. Tempat biasa. Tekan hantar. Bangsat, itu nombor suaminya.

13.9.10

Hikayat Melayur Pucuk: Bahagian 1

Ada pun Melayur Pucuk ini masyhur sekali dalam kalangan orang-orang Melaka. Masakan tidak, inilah hanyasanya kampung yang berkepalakan dua penghulu.

Tiadalah diketahui orang akan sebab mahu pun musabab wujudnya dua ketua dalam satu kampung yang sama. Adalah yang berlabun bahawa pecahnya kampung ini bermula apabila dua beradik, Tok Senain dan Tok Khamis tiadalah lagi mampu bertemu mata.

Entah di mana silapnya, berpatah arang dua beradik tiada menyapa. 

Barangkali kerana cintanya Tok Khamis pada Silat Sambar Helang, ditolak mentah-mentah ura Tok Senain, mahu membina pondok buat budak-budak mengaji Quran dan kitab-kitab. 

Kata Tok Khamis, hidupkanlah masjid. Tempatkan agamawan di situ. Tidak perlulah berpondok-pondok. Ada pun silat itu tiada mungkin dibuat laku di belakang rumah atau di pasar. Wajib ada gelanggang. Tidak boleh tidak. Demi pertahanan kampung.

Satu lagi khabar angin, konon Tok Senain dan Tok Khamis ini masing-masing menaruh hati pada Melati Sari, janda anak satu di hujung kampung.

Hanya Sepuluh 4

Mortar luruh. Siling roboh. Si kecil serta-merta bertukar piatu.

12.9.10

Komputer Riba Biasa-Biasa Saja

"Sini boleh guna Wi-Fi?"

Pekerja Big Apple saling berpandang. Angkat kening. Angkat bahu.

"Boleh, bro. Guna Wi-Fi KFC." Saya mencelah.

"OK. Terima kasih."

Muka pemuda ini macam biasa dilihat. Macam artis. Saya cuba tanya pakcik Google. Taip di ruang carian:

Fizo Omar.

Terpapar gambar-gambar. Oh, betullah.

"Bro, laju tak Wi-Fi?"

"Bolehlah nak blogging, Facebook."

"Tak boleh connectlah." Dia beri isyarat minta dibantu.

Saya ke mejanya. MacBook Pro. Saya guna Acer Aspire 4736Z saja. Sudah karang dua entri blog.

Nota Kaki: Seluruh dialog di atas berlangsung dalam dialek Kelantan. Saya terjemahkan untuk bacaan umum. Kecuali perkataan bro.

Entri Ke-100

Biasalah. Manusia memang suka angka-angka begini. 10. 50. 100. 1000. Ada tanda. Ada kisah.

Saya cuma mahu berterima kasih pada semua pembaca. Harap-harap Salah Taip boleh bertahan 100 entri lagi.

Atau lebih.

Hanya Sepuluh 3

Jebat enggan amuk. Tuah kekal di belantara. Lenyap tanpa dikenang.

Gemulah Sosilawati

Belasungkawa.

Masih ada lagi manusia yang lebih iblis daripada iblis. Simpati dan doa kita biarlah kerana kemanusiaan yang semakin mati. Biar sayu dan amarah ini kekal sama andai pembunuhan sebegini menimpa siapa-siapa, di mana-mana sekali pun.

Bukan kerana ini kisah sensasi.

Bukan kerana siapa gemulah.

Al-Fatihah buat gemulah dan tiga lagi mangsa. Simpati buat keluarga mereka.

Belas dan doa buat sekalian mangsa kekejaman, yang dibikin atas nama apa sekali pun.

Nota Kaki: Saya terkilan membaca tweet salah seorang politikawan Malaysia. Kesal sungguh.
Pmbunuhan Sosilawati & 3 lagi disebarluas tetapi kenapa insiden membunuh/ bunuh diri pimpinan & wanita UMNO S'gor (Aziz & Rohana) blackout?
Yang Berhormat, jangan jadi bodoh. 

Bukan semua perkara di bawah cahaya matahari mampu dijadikan bekal ubat bedilmu. Berhentilah menjadi politikawan sekali-sekala, dan bertukar menjadi manusia.

Hanya Sepuluh 2

Salma menangis di pusara. Luka masih pedih. Ma terpaksa, Abang.

11.9.10

Kispen 22: Walau Dari Jauh

Zahim dan Fisya berjalan seiring. Sedondon ungu. Masing-masing senyum tak putus. Ini hari pengikat cinta abadi. Kucupan Zahim di dahi Fisya masih hangat.

Ruang makan pengantin sudah bersedia. Kek tujuh tingkat jadi tumpuan di tengah-tengah. 

"Sya beritahu Irma, cuma tiga tingkat bukan?" Zahim sempat berbisik.

Fisya angguk. Dia mahu balas, tapi Badar sudah umumkan sesi potong kek. Sepupunya yang ini memang petah. Selalu angan-angan jadi pengacara TV.

Fisya pegang pisau. Zahim genggam tangan Fisya seraya kek dipotong. Riuh tepuk sorak. Denyar kamera di mana-mana.

"Sya pakai cincin siapa tu?" Zahim bisik sambil senyum. Suap kek.

Hanya Sepuluh 1

Hemingway gajah. Saya hama. Mana sempat tamat cerita enam perkataan.

Belas Sebelas September

Sembilan tahun lalu, ketakutan manusia terhadap Islam dinyalakan kembali. Momok di mana-mana. Islam agama maut. Dogma ganas.

Robohnya dua menara itu mencarik luka pada mangsa dan keluarga, jua sayat pada hati Muslim yang tiada henti dituding jari.

Ini bukan lagi masa mencari kepul asap berwajah syaitan timbul saat dua menara menyembah bumi. 

Ini bukan lagi masa merungut rengek tentang zalim-jahil-angkuh kerajaan terbesar di dunia menyerang buta tuli demi menuntut darah yang tidak pernah menjadi miliknya.

Sembang Raya Jam Sebelas Malam

Semalam saya ke rumah Tok Su lebih kurang jam 10.15 malam. Jalan kaki. 150 meter saja dari rumah saya.

Walau perut sudah sebu, senyum juga saat Tok Su hidang ketupat pulut dan rendang ayam. Wap bawa aroma berkepul-kepul. 

Anak gadisnya tujuh orang, maka hidangan serba pantas. Ya, dan lazat.

Ayah Long pun ada sama. Macam-macam digebangkan. Dari kisah Sosilawati hinggalah politik UMNO dalam Jabatan Pelajaran Negeri (Ayah Long pegawai di situ).

Bercakap soal UMNO, Tok Su memang orang kuat. Tiap-tiap tahun pergi PWTC. Cuma belakangan ini kurang aktif.

Saya cuba basa-basi, "Tok Su pergi tak open house Tok Pa (Mustapha Mohamad) raya keempat ni?"

Tok Su sedut hembus Gudang Garam Surya. Senyum.

"Aku dah close house dengan benda ni semua."

Kami semua tertawa dan serang meja makan.

10.9.10

Kispen 21: 1 Syawal 1531H

Hari ini, Menteri Perdana negara itu buat rumah terbuka macam biasa. Seisi negara dijemput bertandang. Ramai, malah terlalu ramai yang hadir.

Robot-robot penyajian dicaj bergilir-gilir. Tak menang tangan melayan nafsu makan jelata. Makin lama makin sesak.

Menteri Perdana memandang dari anjung rumah kediaman rasmi. Rakyat berhimpit-himpit di khemah makanan.

"Tuan Cadang Pandang, mengapa terlalu ramai rakyat yang datang? Bukankah selalunya hanya orang kota, pekerja asing, dan pelancong tak ketahuan sahaja yang singgah?" Menteri Perdana kerut dahi.

Kispen 20: Tunggu Ilham

Pak Su Him tarik nafas dalam-dalam. Tersekat. Dada ditikam-tikam pedih. Rengkung kontang terbakar. Haus.

Sudah tiga hari terbujur di kamar. Tidur berak semua di situ. Anak-anak bergilir jaga.

Di sisi kepala, anak sulungnya, Napi. Kumat-kamit meletus Yasin cair di mulut sambil tangan elus dahi Pak Su Him. Mata Napi direnung dalam-dalam. 

Di hujung kaki, Ilah, paling bongsu. Dari tadi tunduk tanpa esak. Kelubung hitam litup muka. Kaku.

Faridah dan suami di sisi kanan. Masing-masing berteleku dengan buku Yasin di tangan. Mukhlis gelisah di riba Faridah, mulut terlekap botol susu.

Di sisi kiri, Adnan dan Azman. Kembar. Dari semalam tak kalih dari bilik Pak Su Him, melainkan solat dan jamah kuih. Baca ayat Tuhan.

Pak Su Him tarik nafas dalam-dalam. Masih pedih.

Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar.

Salam Syawal

Saya harap entri ini tidak diakses pada hari raya pertama. Jangan sibuk di atas talian. Pergi berayalah. 

Saya lain, saya penagih blog. Jadi mesti tulis juga walau terkial-kial meriba komputer di dalam kereta dalam perjalanan ke rumah Tok Ayah Mamat bersama Angah dan Adik.

Satu Syawal paling istimewa lantaran kemuncak ria dan hiba yang berbaur sempurna, walau apa pun asbabnya.

Masing-masing punya cerita.

Jangan lupa dengan Ramadan yang baru beberapa jam kita tinggalkan. Doakan agar andai tidak banyak, sedikit giat amal Ramadan menjadikan kita manusia yang lebih manusia.

Doakan agar pasti banyak, bukan sedikit dosa sesama manusia gugur di celah-celah sentuhan jari saat bersalam dan senyum tunduk bertemu mata.

Salam Syawal buat semua pembaca Salah Taip!


9.9.10

Nota Ramadan #33

Angah dan Adik masih di hospital. Temankan Tok Ayah. Dia telefon waktu sahur tadi. Katanya ubat sudah habis. Hari ini mahu ganti baru.

Mama sibuk susun kuih tunjuk-tunjuk. Abah di luar rumah. Suka sangat dengan mesin rumput barunya. Jangan sampai botak pula dimesin laman rumah.

Saya sejak usai Subuh tadi (cuba) mengemas rumah. Sekali-kala curi-curi jengah Facebook dan tonton Tenis Terbuka Amerika. Suku akhir: Federer lawan Soderling. Dua-dua saya tak suka.

Termasuklah curi-curi tulis entri ini. 

Kuasa Kicau

Sewaktu menulis di Wordpress dulu, saya penagih statistik blog. Buat apa saja supaya ramai orang singgah dan baca. Ah, tak baca pun tak apa. Asal klik.

Di sini, saya sudah tidak peduli. Saya mahu tulis untuk orang yang mahu baca. Tidak kiralah walau hanya saya dan beberapa teman.

Pun begitu, saya masih kagum apabila statistik akses ke Salah Taip tiba-tiba mencanak beberapa hari lalu. Saya periksa. Rupa-rupanya pautan blog saya telah di'kicau' oleh dua orang penulis prolifik dalam bidang masing-masing, Amir Muhammad dan Ajami Hashim.

Oh, ya. Maksud kicau ialah mereka guna Twitter

Kalau kalian tidak tahu apa itu Twitter, maknanya kalian wujud pada zaman ini setelah tiba dengan mesin masa, dari zaman Friendster (perkataan lain untuk masa lampau).

8.9.10

Nota Ramadan #32

Alhamdulillah. Satu hari lagi. Panjangkan usiaku, Yang Maha Mengasihani!

Nota Ramadan #31

Jumpa lagi, andai Tuhan masih izinkan aku untuk bersamamu.

Pening Kepala

Tonton Tenis Terbuka Amerika Syarikat dari jam 11 malam hingga 1.30 tengah hari. Padahal lusa raya. Eh, lusakah? Atau esok? Mahu tidur.

Kispen 19: Bukan Flatulen

Hari ini hari ketiga Persidangan Bijak Pandai Kebangsaan (PERBIDA) di negara itu. Lebih lima ribu cerdik pandai berhimpun di pusat konvensyen paling kesohor di ibu kota. 

Jam sembilan pagi. Dr Mira Zafra sudah bersedia. Beg bimbit warna perak digenggam erat. Dia melangkah yakin ke pentas ucapan untuk persiapan awal.

Dewan Konferensi Satu semakin terisi. Para bijak pandai berjejal masuk, melongo kagum.

Ruang penonton persis Coliseum di kota Rom. Kerusi disusun menaik, melingkari pentas. Di tengah pentas, empat skrin LCD cembung tergantung bagai candelier, satu bagi setiap 90 darjah.

Sesi pertama, hari ketiga PERBIDA. Dr Mira Zafra membentangkan ciptaan terbarunya, Sistem Penggera Tipu Dalaman (SIPENIPUDA).

"Kita kerap kali berhadapan dengan penipu. Teknologi poligraf dan pengesan denyut otak sudah lapuk. Ini semua alat yang memberi peluang kepada manusia untuk bersedia menipu sebelum diuji."

Hadirin mengangguk, ada yang tunduk mencatat. Dr Mira Zafra menjilat bibir bergincu merah hati. Udara pendingin hawa sedikit kering.

"SIPENIPUDA menghapuskan peluang itu. Teknologi ini mengesan dan membunyikan amaran sebaik sahaja penipuan berlaku."

"Jadi, apa beza dengan teknologi sebelumnya?" Pengasas Institut Ramalmasadepan, Azral Junaidy bangkit dan mengangkat tangan lantas menyerlahkan baju batiknya, kuning terang dengan motif abstrak ungu.

Suara Yang Saya Akur

Tulis sajalah. Ini blog kau. Peduli apa dengan raya.

7.9.10

Suara Yang (Lebih) Rasional

Berhentilah seminggu. Kau tulis banyak-banyak, bukan ada orang baca sekarang. 

Semua sibuk gentel kuih, gantung langsir, salin perabot, cuba baju, padan tudung, acu selendang, telek songkok, ganti gelang, tukar kereta, jumpa saudara, salam maaf, kira duit, beri wang, makan ketupat, hidang lemang, kunyah biskut, telan rendang, reguk sirap, umpat keji, maaf zahir, ampun batin, lawat kubur, doa selawat, tabur mawar, serak kemboja, tumbang lembu, palu kompang, pandu kereta, tahan kantuk, baca kad, buka rumah, tutup balang, jumpa saudara, temu kekasih, cari cinta, buang benci, tambah suka, senda tawa, sela sendawa.

Mana ada orang baca blog?

Kispen 18: Baca (Betul-Betul)

"Ujian semester dah dekat. Jangan lupa ulangkaji, ya?" Profesor Zadri mengemas fail yang sedikit berserak. Komputer riba dimasukkan dalam beg.

"Prof, boleh saya tanya sesuatu?" Ameera senyum nakal.

"Apa dia?"

"Selain nota Prof dan buku teks yang Prof cadangkan, boleh tak saya baca nota dan buku lain untuk ujian?" Ameera terkernyih. Tabiatnya dikenali semua.

"Tak boleh!' Mata Profesor Zadri terbeliak.

Seisi Dewan Kuliah A sunyi.

"Apa salahnya nota saya? Kenapa awak tolak kebenaran nota saya dan dewa-dewakan yang lain? Nota siapa awak baca? Profesor Madya Syamsuri? Puan Lee? Siapa?" 

Suara Ameera terketar-ketar, "Saya cuma nak..."

Nota Ramadan #30

Sambil ronda-ronda Kota Bharu, Mama telefon. Pesan beli udang. Usai berbuka, saya ke pasar raya besar. Yalah, mahu beli di mana lagi kala malam menjelma? Tok Bali jauh.

RM 9.79 sekilo. Saya ambil dua plastik. Satu sarung tangan. Satu isi udang.

Turut bersama dalam persaingan memilih udang, sebuah keluarga yang cukup comel. 

Seorang bapa dan tiga anak gadis. Oh, empat. Seorang lagi bermain dengan anak patung, tercegat dalam troli beli-belah.

"Pa, Mami suruh beli udang apa tadi?" Barangkali si sulung. Berkaca mata, rambut bertocang paras bahu. Sekali-sekala kerling adik yang bergebang dengan anak patung.

"Yang inilah." Pa ambil plastik.

Seorang lagi gelak kecil. Tudung putih, baju T Kim Possible. "Pa, kenapa Pa pilih seekor-seekor? Kalau Mami," tangan digenggam kecil, "ambil secekak ni masuk dalam plastik."

"Yang ni, Pa. Yang ni." Anak gadis nombor tiga agaknya, berdiri di samping Pa sambil tuding jari pada udang yang difikir kelak enak dimakan. Tudung ala Ariani.

Si ayah pandang saya. Senyum, seolah memberitahu, isteri di rumah. Buat kuih.

"Pa," gadis sulung menyudahkan taipan mesej ringkas, "macam mana nak tahu udang tu segar?"

"Pilih yang besar."

Saya ambil satu lagi plastik. Bungkus dua lapis.

6.9.10

Nota Ramadan #29

Kali pertama saya pulang ke kampung waktu kecil dulu, sungguh janggal. Tiada sepatah pun kosa kata dialek Kelantan yang saya tahu. Anak Kuala Lumpur, konon.

Dua atau tiga hari sebelum Syawal, Mama akan bawa kami adik-beradik jalan-jalan di kampung. Ketika itu, saya dan Angah sajalah. Adik belum ada.

Sambil Mama gebang dengan jiran-jiran (yang kebanyakannya ada bau-bau bacang), saya dan Angah terlongo sajalah. Mata terkejip-kejip.

Sehinggalah keluarga mengambil kata putus untuk terus tetap di bumi Kelantan. Rakan-rakan sedarjah begitu mesra dan membantu. Sekejap saja, lidah saya sudah fasih dan ada bau budu.

Mama pernah cerita, waktu balik kampung, kami lalu kawasan sawah. Saya dan Angah tiba-tiba meloncat-loncat dalam kereta. Tuding jari.

"Mama! Abah! Badak! Badak!"

Abah jawab, "Kerbaulah."

Nota Ramadan #28

Berapa hari lagi? Dua? Tiga? Ah, ketika inilah saya mahu hentikan masa. Masih belum puas puasa. Demikianlah Tuhan memberi kurnia pada manusia. Didatangkan setahun sekali agar bijak kita hargai.

Adik-adik mahu keluar membeli-belah hari ini. Ikut sajalah. Boleh cari juadah berbuka. Atau kain pelikat baru sehelai dua, buat ganti yang lusuh. Musim raya begini, murah sedikit.

Semalam, Bilal Bersuara Lemak bertugas seperti biasa. Masih meremang bulu tengkuk saya mendengar azan dan selawat darinya.

5.9.10

Kispen 17: Dengar

"Abang, Kaisar belum sampai lagi. Esok dah raya." Jamilah genggam tangan Rasyad kuat-kuat. 

"Dia yang pilih jalan itu, Milah. Salah abang juga menghalau dia dulu." Rasyad tunduk.

"Kalau dah hisap benda tu, ibu bapa mana yang tak marah, bang? Saya faham kenapa abang buat begitu. Cuma, saya rindu sangat dengan dia. Dah dua tahun, tak ada khabar berita." Kolam mata Jamilah mulai bergenang.

"Sabar, Milah. Kita doa sama-sama, moga Kaisar selamat. Moga Tuhan buka pintu hati dia untuk pulang."

Jamilah angguk. Kepalanya longlai mencari bahu Rasyad.

"Mak! Jom berbuka!" Nyaring suala Sheila dari dapur. Jamilah kerling Rasyad, isyarat turun bersama berbuka.

Di dapur, Sheila tangkas. Kata Rasyad, saling tak tumpah Tok Wan. Masak apa saja, semuanya boleh. Jamilah bangga dengan anak sulungnya.

Jamilah buka tudung saji.