Di negara itu ada satu tabiat yang benar-benar digemari iaitu saman-menyaman. Pantang ada terlanggar bahu, terlebih kuah berbanding sudu - jumpa di mahkamah.
Tidak terkira banyaknya bilangan peguam pembela di negara itu. Maklumlah, hari-hari ada yang menyaman dan disaman. Saman malu, saman fitnah, saman tutup mulut, saman buka rahsia. Macam-macam.
Sekalian rakyat jelata, sehinggalah ketua negara itu - tidak ada yang terkecuali daripada disaman dan menyaman. Bangunan dengan ruang parkir paling sesak di negara itu? Faham-faham sendirilah.
Minggu lalu, Menteri Duit Kertas & Syiling menyaman Timbalan Menteri Orang Muda kerana menuduh beliau berkahwin dengan anak dara orang tanpa izin. Ini semua dusta, kata Menteri Tanaman. Dia mesti bayar 150 juta!
Tiga hari lepas, Persatuan Penanam Bunga Tahi Ayam (Pembutayam) menyaman akhbar Lapor Dulu kerana menuduh mereka muflis. Mana ada kami muflis, ujar Presiden Pembutayam yang kacak berbaju batik berlengan pendek ketika sidang media. Itu Persatuan Pembikin Baja Tahi Ayam (Pembitayam). 'Bi' dan 'bu' pun tak boleh beza? Bayar 78 juta.
Semalam, Syella Qaseh, pelakon drama bersiri Cinta Suci Bertudung Di Bawah Kasih Tuhan Membawa Ke Syurga Abadi naik mahkamah lagi. Kali ini dia saman penjaga lif Menara Bank Kaya - namanya terlalu panjang, tapi orang panggil Abang Shahrukh. Sudah tiga kali mengenyit mata pada Syella. Gangguan seksual! Bayar 150 ribu.
Hari ini, rakyat ini berpusu-pusu ke bangunan dengan ruang parkir paling sesak itu. Penuh. Padat. Bersebati hamis dan manis. Khabarnya, saman terbesar bakal dikemukakan.
"Siapa nama kamu?" Ujar Hakim Mung Kinadil.
"Saya Mat."
"Mat saja?"
"Ya. Mat Saja bin Kamil Haikal Daniel Iskandar."
Terburai ketawa. Hakim Mung Kinadil tidak marah. Di negara itu, ketawa dibenarkan dalam bangunan tersebut. Malah, bangunan itu sendiri pun selalu ditertawakan.
"Siapa yang kamu mahu saman, Mat Saja?"
"Saya mahu saman semua penduduk negara ini! 326,880 juta!"
"Kenapa?" Hakim Mung Kinadil mencapai pensel dan menggaru kepalanya yang tidak gatal.
"Kerana sepanjang saya hidup di negara ini, belum pernah ada orang yang menyaman saya. Itu tanggungjawab. Sekarang saya mahu saman mereka kerana tidak menyaman saya! 326,880 juta! 326,880 juta! 326,880 juta!"
Seisi bangunan sepi.