29.6.14

Nota Ramadan #55

Subuh 2:50 pagi. Maghrib 10:00 malam. 

Melihat kalendar Ramadan tahun ini, saya mula berdebar. Benarlah puasa kali ini berbeza. 

Saya menyambutnya di Dublin. 

Perjalanan pulang dari solat terawih tadi diisi dengan pemandangan warga kota yang baru saja berpusu-pusu menuju ke kelab malam. 

Malam ini luar biasa juga meriahnya dengan kehadiran pelancong yang meraikan Dublin Pride, perarakan menyokong LGBTQ yang diadakan petang tadi. 

Esok, Ramadan bermula. 

Suasana yang berbeza ini serta-merta membuat saya rindu pada tanah air. 

Rindu pada kemeriahan Ramadan. Rindu pada hilai tawa keluarga dan teman-teman saat berbuka puasa. Rindu saat berjalan menuju ke surau bersama Mama dan Abah sambil masing-masing membawa lampu suluh. 

Moga rindu ini buat saya lebih bersyukur tentang masa lalu. 

Moga rindu ini buat munajat lebih tertumpu. 

Selamat datang, Ramadan. Sekali lagi kita ketemu. 


24.1.14

Dua Baris

Saya sedang mengerjakan satu manuskrip dan menemukan istilah double-breasted. Jadi saya pun bukalah Pusat Rujukan Persuratan Melayu untuk lihat maksud dalam bahasa Melayu.

Jangan risau, saya tahu apa maksud double-breasted. Kalau anda pakai sut atau kot, ada dua jenis utama. Satu kot butangnya sebaris. Namanya single-breasted. Satu lagi, butangnya dua baris. Yang itu double-breasted. Boleh rujuk gambar di bawah.

Gambar ihsan Wikipedia
Saya cuma nak tahu istilah yang tepat dalam bahasa Melayu. Alangkah terkesimanya saya apabila Kamus Inggeris-Melayu Dewan menterjemah istilah tersebut sebagai dubel bras.

DUBEL BRAS.

Apa ini? Transliterasi? Apakah perkataan ini terlalu kompleks maknanya sehingga tidak boleh diganti dengan perkataan dalam bahasa Melayu? 

Jadi saya cuba pula alat terjemahan (walaupun lemah) lain yakni Google Translate. Saya cuba dalam mod Bahasa Inggeris-Bahasa Indonesia. Nah, terjemahannya mudah.

Double-breasted maknanya berkancing dua baris. 

Kalau bunyinya janggal, tukarlah jadi berbutang dua baris. 

Masih janggal? Okeylah, kita tukar biar bunyinya lebih canggih. Berbutang dwibaris.

Apa sajalah, asalkan jangan dubel bras. Tolonglah, sekalian bahasawan yang menjaga gedung perkataan kita. Kayakan terjemahan. Ya, ini cadangan saya. Siap bagi terjemahan cadangan. Kalau tak bagi nanti ada orang marah, cakap saya pandai rungut saja. 

4.11.13

Kispen 142: Jurang

Tuanku Sultan membelek-belek persalinan baru yang membalut tubuh baginda. Tiadalah pernah walau sekali Tuanku Sultan berasa selesa begini dengan persalinan baginda. 

Kata Pengembara Zaman, yang dipakai oleh baginda itu namanya bajuti. Buatan terelok manusia dari penjuru dunia berbeza, entah berapa lautan terpisah dengan negeri Tuanku Sultan. 

Yang paling Tuanku Sultan gemari, lencana besar yang ditenun di bahagian dada bajuti. Mirip bebayang kuda yang ditunggang jagoan. 

"Ada lagi yang belum kembali?" ujar Pengembara Zaman sambil memeriksa jam tangan. Mereka tidak boleh terlewat. Hanya ada dua jam berbaki sebelum Gerbang Masa terkatup semula.

"Beta rasa, isteri beta masih ada di dalam," balas Tuanku Sultan. Sedikit pun wajah baginda tiada terzahir rasa gulana. Dia yakin dengan hulubalang yang dibawa demi menjaga keselamatan Tuanku Permaisuri di Dunia Baru. Bahkan Pengembara Zaman turut menugaskan adindanya, Siti, untuk menjaga Tuanku Permaisuri.

Setelah Tuanku Permaisuri muncul semula dari dalam mahaistana agam, Pengembara Zaman kembali lega. Rombongan mereka sudah lengkap. Bolehlah mereka kembali mengatur perjalanan kembali ke kurun keenam belas, zaman asal Tuanku Sultan.

Rombongan mereka kemudian mengisi dua kenaikan mewah untuk membawa mereka ke hujung kota. Di situ Gerbang Masa menunggu.

"Wahai pengembara, tidak ada apa-apa lagi yang mampu beta anugerahkan melainkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada tuan hamba kerana sudi membawa beta sekeluarga menjelajah dunia berbilang zaman. Sungguh, ini pengalaman luar biasa," Tuanku Sultan memulakan bicara dalam kenaikan.  

Senyum Tuanku Sultan tampak tulus. Ini kali kedua dia dikunjungi Pengembara Zaman. Mujur yang ini tidak gila seperti Pengembara Zaman pertama yang melawatnya beberapa tahun lalu. Membawa teman sebarangan dan memberi senjata sihir kepada Hang Tuah sehingga diubah segala sejarah.

Pengembara Zaman yang kedua ini cuma ilmuwan yang mahu merakam semula sejarah benar. Katanya untuk tatapan anak cucu zaman hadapan. Katanya sejarah pada zaman itu, sudah terlalu tebal noda hingga tidak terbeza kelabu yang tenggelam lumat dalam hitam putih yang dicoreng tangan-tangan yang cuma mahu asal-usul dihidang menurut selera tembolok sendiri.

"Sepatutnya, patiklah yang mengucapkan terima kasih kepada Tuanku kerana membenarkan patik berteduh di bawah naungan kuasa Tuanku selama perjalanan kita," Pengembara Zaman hubaya-hubaya menyusun kata.

"Sebelum kita tiba di Gerbang Masa, beta ingin ajukan satu kemusykilan. Sudikah pengembara mendengarnya?"

"Nyiru patik tadahkan, Tuanku."

"Ketika kita di, apa namanya, Papilian?"

"Pavilion, Tuanku."

"Apa-apalah. Beta perhatikan ada ruang santap yang dibina agam bahkan nun tinggi seolah mahu dicapai awan sambil mencicip kopi. Ada pula ruang santap yang diperosok hingga ke bawah tanah, hingga berbaur cacamarba bauan hidangan, dari ayam goreng hingga sup ikan. Mengapa demikian jauh dipisah kedua-duanya?"

Pengembara Zaman menarik nafas dalam-dalam. Teliti kata-kata disulam. 

"Tuanku, ada pun zaman ini ada jua yang ditetapkan alam tiada berubah sehingga bila-bila. Seperti Tuanku juga, apa sanggup Tuanku bersantap semeja dengan gelandangan dan sang papa? Mustahil bukan? Demikian juga di mahaistana Papilian ini, Tuanku. Harus dipisah bangsawan langit tinggi, dengan tikus lohong tahi. Bimbang bergeser bahu, sepanjang umur menanggung malu."

Tuanku Sultan terlongo. Bajuti dengan lencana kuda tersulam dibelek sekali lagi. Bimbang juga kalau dia tergesel tikus liar di mana-mana.

31.10.13

Kispen 141: Dunia

Selesai bersarapan di warung, Tompok dan Belang kembali bersiar-siar. Pagi ini mereka kenyang benar. Tauke warung hidang sisa ayam goreng yang digaul dengan nasi.

Sekali-sekala mereka berhenti untuk bersihkan tapak kaki.

Tiba di satu kaki lima, Tompok berhenti.

"Kenapa berhenti?" soal Belang. Dia kuis cebis ayam yang masih terlekat di hujung misai.

"Kau tengok pagar rumah tu," pandangan Tompok tertancap pada pagar mirip tembok yang mengelilingi sebuah rumah agam.

"Kenapa?"

"Tinggi kan? Macam tembok penjara. Macam tuan rumah tu dah tak nak bercampur dengan orang lain."

"Kau tak faham," Belang tersenyum. Dia merehatkan tubuh di kaki lima yang hangat. Ekornya dilibas perlahan.

"Apa yang aku tak faham?"

"Orang kaya memang pagar rumah tinggi melangit begini. Dia boleh berpisah dengan dunia, kerana seisi dunia sudah berada di dalam rumahnya."

"Jadi dia tu macam mana?" Tompok mengalih pandang ke arah seorang lelaki yang mundar-mandir di seberang jalan. Wajahnya cemar, baju kumal membalut tubuh. Di tangannya ada beg plastik berisi entah apa. Barangkali sisa makanan mirip sarapan Tompok dan Belang.

"Mudah saja. Orang miskin tidak perlu pagar tinggi-tinggi. Sebab seisi dunia ada dalam hatinya."

Tompok mengangguk faham.

Kispen 140: Tali

Di tangan penguasa itu, ada tali-temali bisu.

Buat menambat manusia-manusia lembu, penuh patuh meragut rumput setuju.

30.10.13

Kispen 139: Jumpa

Osman mengalih pandang ke setiap sudut kamar. Sekali-kala anak matanya terarah ke siling. Jari pantas menari di paha. Entah berapa kali dia mengalih punggung di sofa.

"Sabi, awak sayang saya tak?" soal Osman.

"Ya. Sayang. Saya sayang semua patient saya kat sini," Sabihah tersenyum dan geleng kepala sambil renung skrin komputer. Jari pantas menari di papan kekunci. Cuma Osman yang panggil dia 'Sabi' di sini.

"Kan saya dah cakap, saya bukan patient awak. Saya, boyfriend awak," Osman ketawa terkekek-kekek. Kini dia berbaring sambil kaki dilonjak ke udara, digerakkan seolah mengayuh basikal ghaib. 

Sabihah terpaksa menghentikan kerja. Dia tahu, kalau dibiarkan, pesakitnya yang seorang ini akan lebih meliar. Biasanya Osman bermula dengan rayu nan membujuk. Mata bundar bercahaya, menambah seri peroman tampan. 

Meja kerja ditinggalkan. Sabihah duduk di sofa bertentangan. Osman masih berbaring. Sekali-sekala dia mengenyit mata pada Sabihah.

"Awak ikut Lidya ya? Jangan lupa makan ubat," Sabihah mengalih pandang ke arah Lidya, jururawat yang sepanjang sesi pemeriksaan tadi setia menunggu di hujung kamar. Sejurus doktor itu mengangguk, Lidya mara mendapatkan Osman.

"Terima kasih, sayang. Jumpa lagi," Osman masih ketawa ketika dia berjalan keluar diiring Lidya. Beberapa kali dia menoleh ke belakang dan melambai-lambai ke arah Sabihah yang tercegat di sebelah sofa.

Menggoda. Sungguh menggoda. Namun apabila psikosis menyerang, tampan Osman sirna. Dia akan mula meraung rawak dan marah-marah. 

Mama mana? Mana dia? Kenapa dia letak aku kat sini?  

Itulah soalan yang sentiasa ditanya Osman sambil dia menumbuk dinding. Kalau ada jururawat atau atendan yang cuba menenangkan, dia jadi lebih ganas. Satu-satunya yang menenangkan Osman - pujukan Sabihah. 

Sebab itu Sabihah tiada pilihan. Setiap kali episod psikosis Osman bermula, dia akan dipanggil untuk menenangkan keadaan. Osman akan perlahan-lahan tenang selepas dipujuk Sabihah, kemudian menangis. Jika Sabihah tidak bertugas, terpaksalah beberapa atendan bergusti terlebih dahulu dengan Osman sebelum ubat penenang disuntik.

"Saya dengar awak ada boyfriend baru ya, Dr Sabihah?"

Itu soalan Dr Vivian ketika mesyuarat bulanan Unit Psikiatri Rumah Seri Memori berlangsung minggu lalu. Malu besar Sabihah dibuatnya. Ketika itulah dia sedar kisah Sabihah-Osman ini sudah sampai ke telinga bosnya dan bukan lagi jadi perbualan antara jururawat atau staf Rumah Seri Memori.

"Mana ada. Itu semua mengarut," ujar Sabihah sambil tersengih selamba. Pendakap gigi yang dijalin wayar merah jambu terserlah.

"Dia tu pesakit. Awak pun tahu peraturan kita kan? Mana boleh ada relationship dengan pesakit. He's unstable. Of all people, you should know better."

"Saya faham. Saya akan jaga semua tu. I'm a professional. Macam Dr Vivian juga."

Selepas perbualan itu, malangnya, keletah dan karenah Osman tidak pernah surut. Walau sudah diberikan rawatan yang mencukupi mengikut jadual, dia masih tetap nakal dan sering menggoda Sabihah. Dia selalu mengingatkan Sabihah bahawa dia tidak gila dan dia berada di unit psikiatri itu atas kehendak ibunya. 

Pernah juga dia berdiri di atas meja di dewan makan dan menyanyikan lagu hari jadi kepada Sabihah. Sehingga hari ini, doktor muda itu tidak tahu bagaimana Osman memperoleh tarikh lahirnya.

"Kesian aku tengok budak tu. Baik, tapi tak sihat. Kau mesti tau apa jadi kat dia kan?" 

Soalan Pak Tam, pemandu Rumah Seri Memori itu cuma disambut dengan senyuman. Sabihah tidak boleh berkongsi maklumat peribadi pesakit dengan sesiapa. Dia tahu Pak Tam maklum hal itu. Cuma lelaki separuh abad itu ingin berkongsi rasa. 

Sudah tentu dia tahu apa yang telah berlaku.

Kedatangan keluarga Adila, tunangan Osman, pada malam itu mengubah hidupnya selama-lamanya. Dia langsung tidak percaya manusia yang paling disayangi tergamak mungkir janji begitu saja. Keluarga Adila cuma beri satu alasan. Adila mahu putuskan pertunangan kerana dia sedar hubungan itu satu kesilapan.

Itu saja? Alasan gila apakah itu?

Selepas itu Osman berkurung di kamar. Lebih seminggu dia murung. Dia cuma keluar untuk makan. Selesai jamah sekeping roti dan segelas air suam, dia akan kembali semula mengasingkan diri. 

Kadangkala ibu Osman mendengar anak lelaki tunggalnya meraung dan menangis. 

Sehinggalah pada suatu hari, ibunya menemui Osman yang terlentang di lantai dengan pergelangan tangan berlumur darah. 

Dia mahu Osman kembali pulih dan gembira. Dia mahu Osman kembali sediakala. Sebab itu Osman dihantar ke Unit Psikiatri Rumah Seri Memori.

"Dr Sabihah," sapaan jururawat mematikan lamunan.

"Ya Lidya? Ada apa?"

"Osman."

"Aduh, apa lagi?"

"Saya dah hantar ke bilik. Tapi dia tak nak makan ubat. Saya tak nak panggil atendan lelaki sebab Osman nampak macam letih. Kesian pula kalau paksa dia nanti," Lidya tampak gelisah.

"Tak apalah. Saya pergi tengok dia."

Tiba di kamar Osman, Sabihah terlihat lelaki itu terbaring tenang di katil sambil memandang ke arahnya. Senyumannya tidak pernah gagal menambat hati.

Kalaulah dia bukan pesakit di sini. Kalaulah.

"Sabi buat apa datang sini?" Osman tersenyum nakal.

"Ada orang cakap awak tak nak makan ubat," Sabihah ambil tempat di kerusi bersebelahan katil Osman.

"Saya nak Sabi yang suapkan."

"Jangan nak mengada-ngada. Nanti saya repot kat Dr Vivian, baru awak tau. Makan ubat tu. Kalau tak makan macam mana nak baik?"

Osman patuh. Dia engsot tubuh perlahan-lahan dan kini duduk bersila di atas katil. Pil-pil di dalam cawan plastik kecil dicapai dan dicampak ke tenggorokan. Dia telan perlahan-lahan dengan mata terpejam.

"Kenapa tak telan dengan air? Tercekik nanti," ada nada risau dalam suara Sabihah.

"Kalau tercekik, tak apa. Sabi kan ada."

"Baguslah awak dah makan ubat. Saya keluar dulu ya?" 

Belum sempat Sabi berdiri tegak, Osman menyambar tangannya. "Tunggu."

Jantung Sabihah berdegup kencang. Ini kali pertama. Sebelum ini, Osman cuma meracau saja. Dia tahu Osman tidak akan bertindak ganas terhadapnya.

Dia tahu khayalan Osman tentang perasaan cinta.

Atau barangkali khayalan itu dikongsi. Barangkali.

"Sabi, kita kahwin ya?"

Sesaat mata Sabihah terbeliak sebelum dia menahan tawa. Dia memandang wajah Osman yang tiada tanda berjenaka.

"Kita kahwin ya?"

"Osman, dengar sini. Kalau ikut jadual, dua minggu lagi awak dah boleh keluar. Macam ni. Lepas awak keluar nanti, awak keluar dengan sesiapa yang awak suka. Anyone. Kalau lepas sebulan awak masih tak jumpa orang yang awak berkenan, you give me a call. Boleh?" Sabihah tahu umpan itu akan buat Osman tenang dan tidur lena. Sekurang-kurangnya malam ini dia tidak meracau.

Dua minggu berlalu, Osman akhirnya mendaftar keluar. Dia disahkan stabil namun masih perlu menjalani rawatan susulan. 

Anehnya, sejurus selepas Osman keluar, Sabihah mula mengesan lohong dalam jiwa. Sunyi. Walau hampir saban hari Osman mengirim mesej, dia masih terkenang usik nakal Osman.

Dalam mesej, Osman memberitahu bahawa mustahil dia mahu keluar dengan sesiapa. Dia akan menunggu tempoh sebulan tamat dan mengajak Sabihah untuk temujanji.

Lama kelamaan, mesej dari Osman semakin langka. Dia sudah tidak kerap menghubungi Sabihah seperti dulu. Entah mengapa, Sabihah makin resah.

Sehinggalah tempoh sebulan hampir tamat, ada sampul surat rona kuning cair ditinggalkan di meja pejabat Sabihah. Tulisan tangan di sampul itu Sabihah kenal benar.

Ini surat dari Osman.

Ada sekeping kad di dalam sampul. Kad jemputan perkahwinan.

Osman dan Adila.

Terselit di antara lipatan kad, sekeping nota.

Betul kata awak, Sabihah. Saya akan jumpa orang yang saya suka. Keluarga Adila datang minta maaf. Kami sambung semula pertunangan dan akan kahwin tiga bulan lagi. Terima kasih sudi jaga saya di Rumah Seri Memori.

Ketika itulah, air mata menggaris pipi Sabihah. 

Bahkan semakin deras.


Hanya Sepuluh 161

Cinta bukan rupa.

Namun makna yang kau cipta untuk kita.

19.10.13

Kispen 138: Dengar

Bukhori renung barisan jeriji yang membatasi ruang kamar dan laluan di luar. Waktu mula-mula tiba, dia selalu hitung bilangan jeriji itu.

Tapi sekarang dia sudah lupa. Sudah terlalu lama dia membakar helai masa dalam relung penjara.

Namun segala sunyi bakal bernoktah. Dia tidak perlu lagi mengulang segala rutin hari. Tiada lagi hidangan pembatal selera sebagai ruji. Bakal tamat tidur di tilam hamis tanpa mimpi.

Esok dia tidak akan berada di sini.

Esok dia dihukum mati.

Kalau ikut pesan warden penjara, sebentar lagi dia ada dua orang tetamu. Wajib ketemu.

Bukan. Bukan ibu bapanya.

Ibu sudah lama mati dipukul Ayah. Ketika itu umurnya lebih kurang tujuh tahun. Sambil dia kayuh basikal di depan rumah, Ayah pulang sambil seret Ibu. Rambut ikal Ibu berbelit di genggaman Ayah.

Ayah kata Ibu sundal. Dia tambat ibu di tiang. Dia sebat ibu dengan batang besi. Hayunan terakhir di kepala Ibu itu Bukhori ingat sungguh-sungguh.

Sebab selepas itu, suara Ibu tak kedengaran lagi. Sebab dia yang kena bersihkan tiang dan halaman yang bertempek dengan darah Ibu.

Ayah pun sudah tiada. 15 tahun lepas Ibu meninggal, giliran Ayah pula. Tapi Bukhori lega sebab Ayah tak mati dalam derita macam Ibu.

Waktu itu Bukhori pulang ke rumah. Ayah di depan TV dengan hanya bercelana dalam. Bukhori tidak bagi salam. Dia takut Ayah terganggu. Dia cuma berjalan perlahan hingga muncung pistol itu rapat betul dengan kepala Ayah.

Sedas saja. Kali ini tak ada sesiapa yang boleh paksa Bukhori bersihkan darah.

"Bukhori."

Dia tersedar. Warden penjara sudah tercegat di depan pintu bersama dua orang pengawal.

"Cepat. Orang dah tunggu."

Mereka berempat berjalan perlahan-lahan ke kamar khas banduan bertemu pelawat.

"Assalamualaikum, Bukhori," imam menghulur senyum sebaik saja Bukhori melabuhkan punggung.

Bukhori cuma senyum tawar.

"Saya Dr Arif. Yang sebelah saya ni, Haji Sabtu. Bukhori dah makan?"

Bukhori angguk. Dia tidak ada selera untuk teruskan perbualan. Ini semua cuma basa-basi pihak penjara sebelum dia dihantar ke tali gantung esok.

"Sebelum kita mula, Bukhori ada nak tanya apa-apa?"

Bukhori tertunduk. Lama. Kemudian dia kembali bengah.

"Ada. Saya nak tanya Dr Arif, lepas saya kena gantung, telinga saya boleh dengar tak? Satu saat pun jadilah. Saya nak dengar bunyi leher saya patah. Seronok. Masa saya cekik budak-budak tu semua, saya memang dengar betul-betul bunyi leher patah. Seronok."

Sengih Bukhori melebar.

17.10.13

Hanya Sepuluh 160

Ada rasa, usah disimpan tanpa kata. 

Mustahil takdir jadi jurubicara.

Hanya Sepuluh 159

Saat bersanding bahagia, pernahkah sedetik terlintas manis bersama kekasih lama?