Firza tercegat sambil cekak pinggang. Isi kandungan beg galasnya diteliti sekali lagi. Dia mahu pastikan tidak ada apa-apa yang tertinggal.
Sudah jadi tabiat Firza untuk memuatkan segala-galanya dalam sebuah beg galas saja. Dia tidak mahu dibebankan dengan beban bukan-bukan.
Mengembara maknanya mengenal dunia baru, bukannya mengheret dunia sedia ada bersama-sama.
Kali ini beg galasnya jauh lebih ringan.
Komputer riba dan pengecas, telefon bimbit dan pengecas, pasport, dompet, wang, pil alahan kekacang, sepasang pakaian dalam, sehelai baju T, sepasang stokin, set alat solek dan pembersih diri.
Dia puas hati seraya ke dapur dan menguak pintu peti sejuk. Dua pek Snickers diambil dari rak peti sejuk paling atas dan disumbat ke dalam poket seluar.
Sebelum meninggalkan dapur, Firza capai botol air mineral di kaunter dapur.
Dia berdiri semula di ruang tamu dan menarik nafas dalam-dalam. Dia pasti ini yang terbaik untuknya.
Jam tangan dikerling.
Pukul 2:07 pagi. Masanya sudah tiba. Firza pejamkan mata dan tarik nafas sekali lagi. Tubuhkan sedetik menggeletar.
"Datang sini aku cakap!"
"Ya bang. Sa...saya datang ni. Sa...saya nak ambil air," tangan Firza menggigil saat dia tuang jus oren ke dalam gelas. Empat pil tidur yang diselit kemas di bawah penutup balang rempah-ratus diambil. Satu persatu kapsul pil tidur yang bertakup dipisahkan. Debu-debu lena mula meresap dalam minuman. Ini saja yang dia mampu beli di farmasi.
Firza kembali ke ruang tamu dengan dulang berisi gelas itu.
"Minum, bang."
"Hmmm."
Firza buka mata semula.
Tiap reguk Ghani beberapa jam lalu bagai gema genta gembira baginya. Dengkur Ghani makin lantang di kamar. Sudah lama dia lena, bahkan membatu.
Firza masih ingat saat dia curi-curi masuk ke kamar tidur tadi. Ghani tertiarap dengan muka menyembam bantal. Dia tuang petrol perlahan-lahan di sekeliling katil bahkan di seluruh lantai tingkat atas. Kemudian disambung ke tangga pusar dan lantai dapur. Cuma ruang tamu dibiarkan kosong kerana dia bersiap di situ.
Masa untuk pergi. Beg galas kini di bahu.
Firza ambil botol berisi petrol yang terakhir. Alir kuning cair dituang rapi dalam garis lurus dari sofa sehinggalah ke pintu utama. Fiza ambil segumpal benang tebal dari dalam beg galas lalu direndam ke dalam lopak petrol di muka pintu.
Pemetik api dinyala.
Sumbu dendam dibakar.
Saat api marak, Firza menutup pintu. Dia berjalan tenang keluar dari laman hadapan banglo mewah dan mendapatkan teksi yang telah lama menunggu.
"Cukup?"
"Cukup."
Wang berpindah tangan.
"KLIA ya, kak?"
"Ya."
Sambil mengusap bincul yang masih belum surut di pipi dan luka yang belum serat di ekor mata, Firza kenang semula setiap detik tubuhnya dibaham kegilaan Ghani.
Firza pergi dulu. Jaga diri, bang.