Buat kesekian kali, dia berada di Starbucks. Entah apa yang benar-benar menariknya ke sana. Barangkali kejayaan penjenamaan kopi mahal. Atau para barista yang belum pernah menghulur senyum termanis setiap kali dia memesan kopi. Atau ketagihan kafein yang enggan surut.
Atau sebenarnya, dia tidak perlu memesan. Dia hanya perlu tampil ke kaunter dengan anggukan tunggal dan senyum. Mereka sudah tahu. Berkali-kali dia minum di situ.
Caramel Macchiato. Grande.
Dia akan ambil tempat di penjuru. Sudut paling hujung. Dua sofa rendah saling menghadap, dipisahkan oleh meja kayu bulat. Sengaja dia meletakkan beg galas di sofa satu lagi, agar tenang dia bersendiri.
Di situ dia bisa melihat segala-galanya. Menikmati kopi sambil, ah, jangan begitu. Jangan hina minuman. Caramel macchiato bukan sekadar 'kopi'. Kandungannya penuh maruah dan rinci.
Dua sudu besar sirap vanila
(yang dibikin dari dua cawan air, satu setengah sudu gula, dan satu sudu teh ekstrak vanilla)
Setengah cawan espreso segar
Secawan susu yang distim, lengkap buih
Tiga hingga empat sudu sos karamel
Dia pernah cuba buat sendiri di rumah, namun nikmatnya tidak sama dengan menghirup minuman itu di dalam gelas putih berlogo siren, duyung berekor dua dalam mitos Yunani.
Di situ dia bisa melihat segala-galanya. Penggodam yang sudah lama menghadap skrin hitam bertulisan hijau dengan tiga gelas besar kopi yang sudah kosong, dua pelajar mengulangkaji untuk SPM dengan telinga disumbat bekalan lagu dari iPhone, sepasang kekasih berbincang tentang bisnes atas talian sambil sibuk menuding jari pada komputer riba, sekumpulan anak muda yang sunyi berbual dengan telefon masing-masing.
Ini generasi muda. Generasi anak-anaknya.
Anak-anak.
Anak-anak yang sibuk mendesak dia menyiapkan wasiat yang kemas dan teliti. Jangan ada yang tertinggal selaku waris. Jangan ada walau sesen pun tiris.
Dia yang mengharung cunggang-cunggit jalan niaga. Anak-anak cuma tadah saja. Sakit peningnya tiada siapa yang cakna, melainkan jururawat yang ditempah khusus dari Indonesia.
Dia hirup caramel macchiato sekali lagi sambil tunggu temujanjinya tiba.
Dia pasti akan tiba, kerana rencam pil sengaja tidak ditelan malam tadi. Malah tengah hari ini juga ditinggalkan di kamar sebelum dia keluar minum kopi.
Dia mahu tamat di sini, kerana di sini saja dia mampu melihat warna manusia tanpa rasa jauh hati dan hiba. Tiada siapa yang peduli, namun semuanya penagih kopi.
Seperti dia.
Bagai dijangka, temujanjinya tiba. Degup bertukar robek dan carik paling pedih pada jantung. Dia atur nafas namun segala kini cacamarba. Dadanya bagai dihempap seisi dunia, digenggam dengan telapak tangan yang menggigil.
Saat dia tersungkur dari sofa, dia tersenyum.
Sempat dia terdengar jeritan dari para barista manis yang meluru ke arahnya.
Barangkali inilah yang menariknya ke sana.
Barangkali inilah yang menariknya ke sana.
Kerana saat Izrail menyapa, ada yang sudi menemani hari akhir sang tua.