16.10.13

Kispen 137: Ruang

Pemuda itu masih berkira-kira. Nasi di pinggannya hanya tinggal sejemput dua. Sotong cili ala Thai sudah selesai digomol. Yang tinggal hanya sisa bendi dan jalur bawang besar. Ayam mentega juga hampir habis.

Seperti dia, gadis di meja yang berhadapan dengannya juga keseorangan. Rambut ikal separas bahu sekali-sekala disebak. Mata bundar dilindungi kaca mata jernih. Jejari mulus, tiada satu pun yang bercincin. Dia merenung skrin telefon yang tidak henti-henti digeser ibu jari, sambil terkadang senyum lantas terbit lesung pipit dalam persis Jennifer Garner.

Manis. Terlalu manis.

Hampir sejam berlalu, gadis itu masih bersendiri. Tiada tanda dia resah menunggu. Dia juga tidak memanggil pelayan untuk memesan makanan.

Aneh. 

Si pemuda nekad. Kasihan, gadis itu keseorangan. Apa salahnya dipelawa duduk bersama? Sekadar jadi teman bual sambil makan malam. Bukannya ada apa-apa.

Pemuda itu berdiri sambil membetulkan hujung kemeja yang sedikit kumal. 

Ketika itu jugalah pintu restoran terkuak. Seorang lelaki bertubuh tegap berjalan tergesa-gesa menuju ke arah meja gadis berlesung pipit.

"Sorry, sayang. Abang ada urgent meeting tadi. Nak call tapi telefon habis bateri. Sorry."

"It's fine. Jom makan."

Pasangan itu berdakapan seketika sambil bertukar pagut kucup.

Pemuda itu kembali duduk. Ketul-ketul ayam mentega ditatap sepi. 

Ayam dalam pinggan ini pun berteman.

Dia angkat tangan dan pesan satu set nasi lagi, kali ini diiring udang goreng.

Kispen 136: Waras

Fazrul dan Johan mundar-mandir. Bas yang ditunggu masih belum tiba. Sambil kongsi hirup teh ais perasa pisang Cool Blog, mereka sama-sama memerhati seorang lelaki yang juga mundar-mandir seperti mereka.

Bezanya, dia tidak berbaju dan cuma bercelana pendek. Cuma kaki kiri tersarung selipar Jepun. Kaki kanan telanjang, tenang sahaja melangkah dan memijak tar jalan yang memijar.

Lelaki separuh abad itu sedang menggaru kepala berambut goseng, sekali-sekala berteriak tentang Tuhan yang menghukum dirinya.

"Kau pernah dengar pakcik tu cakap apa?" soal Johan. Teh ais dihirup dalam-dalam.

"Pernah. Macam-macam. Dia kata Tuhan hantar dia ke dunia untuk tolong orang. Dia cari orang yang Tuhan suruh dia tolong. Kadang-kadang dia cari isteri dia. Katanya ada syaitan datang rumah dia, bakar rumah lepas tu culik isteri dia. Dia bergusti dengan syaitan tapi dia kalah," Fazrul ketawa sinis.

"Kenapa kau ketawa?"

"Eh, kelakar kot. Kau tak rasa kelakar? Biarlah, orang gila macam pakcik tu memang cakapnya merapu tak tentu hala."

Johan tersenyum. Gilirannya bikin raut wajah sinis.

"Kenapa?" Fazrul keliru.

"Sekurang-kurangnya, pakcik tu tak marah kalau orang tak setuju cakap dia. Kalau kita tak percaya pun, dia tak kisah. Dia tak paksa kita percaya apa yang dia percaya. Sekarang siapa gila?"

"Sudahlah," Fazrul mengeluh. "Bas dah sampai."

Kispen 135: Pahit

"Cappuccino siap, encik."

"Ini saya punya?" soal pemuda yang masih segak berkemeja walau petang sudah lanjut. Dia baru pulang dari mesyuarat panjang. Perlu dos kopi sebelum memandu pulang.

"Ya," gadis barista di kaunter McCafe tersenyum manis. Seragam hitam yang membalut tubuh menjelaskan lagi kalung halus emas yang tergantung dari leher, menjelajah dada.

Pemuda itu terus hirup cappuccino di kaunter.

"Ish, pahitnya," dia membelingas ke arah gadis barista. Dahinya berkerut marah.

"Gula ada kat tepi, encik," suara gadis barista masih tenang. Ibu jarinya lentik dituding ke arah kotak putih di hujung kaunter yang berisi tiub gula pasir, gula perang, air gula, bahkan serbuk vanila dan serbuk coklat.

"Kenapa tak letak terus gula dalam ni?" pemuda itu masih bersuara tinggi.

"Sebab bukan semua orang nak mampus kena kencing manis macam kau."

Tapi itu cuma jawapan gadis barista di dalam hati. Wajahnya masih tersenyum sambil menerima pesanan pelanggan lain yang beratur di kaunter.