Ayah Mat tidak boleh buat apa-apa. Dia mandur sahaja. Kalau tidak cukup orang di ladang, dia kena punggah dari kampung.
Kalau ada yang sakit pening, dia hanya mampu singgah dan tanya khabar. Dibawanya kalau ada sisa ikan masin, beras, atau gula. Adat orang melawat.
Lebih daripada itu, Ayah Mat tidak boleh buat apa-apa.
Zaman Inggeris dulu, Ayah Mat sudah mangli lihat anak bangsa sendiri kena ludah dengan tauke ladang seluar pendek stokin tinggi topi bulat.
Tidak boleh buat apa-apa. Sambung hinggut dan sembah pokok sampai mengalir likat putih untuk cagar nyawa cagar makan anak bini.
Sekarang Inggeris sudah cabut. Datang si katik bendera matari ini lebih iblis daripada Inggeris.
Semalam, Ayah Mat menenangkan Lijah dan Awang Lembu (dipanggil sedemikian lantaran handal mencari lembu hilang dan menguruskan hal-hal jemeleh).
Berteriak, meraung hiba di anjung rumah Ayah Mat. Anak dara mereka, Hawa, diculik Jepun.
Sampai sudah Lijah teresak-teresak sambil menggentel gumpal tudung Hawa. Basah jeruk tudung Hawa dengan air mata dan air hidung Lijah.
"Kamu nak aku buat apa? Kalau aku lawan, kepala aku dipenggal. Pernah kamu lihat pedang itu renggang dari pinggangnya? Bayonet lagi."