(
Kispen 13: Nombor)
03 September 2012
Pedih. Raqam cuba lagi. Pedih. Cahaya berlumba-lumba tikam mata. Entah berapa lama dia sudah lena. Lengan, bahu, tengkuk - semuanya sakit.
Raqam cuba lagi. Kali ini perlahan-lahan.
Siling kapur bermotif abstrak. Kerawang entah apa jadi sempadan antara siling dan dinding. Lampu bentuk kubah terbalik di tengah-tengah di siling. Terang.
Raqam bangkit perlahan-lahan dan bersandar di kepala katil. Selesa betul tempat tidur ini, bisik Raqam. Punggung aku tenggelam semahu-mahu. Bantal gebu macam bebola ikan Letchumi.
Kerling arloji. Pukul lima. Bodoh. Dari tadi pukul lima.
"Di sini, Tuan Tama-Tama." Raqam terdengar suara.
Dia bingkas berdiri di bucu katil. Rupanya ada lorong kecil di hujung bilik. Ada pintu terkuak di hujung lorong.
Dua orang lelaki tubuh-tegap-sasa-kaca-mata-hitam-busjaket masuk diikuti tiga orang berkemeja putih berlogo kecil di dada.
Di belakang mereka, seorang lelaki separuh abad berkemeja T. Perut bocah menolak-nolak fabrik. Raqam tahu siapa ini. Akhir sekali, dua orang lagi lelaki tubuh-tegap-sasa-kaca-mata-hitam-busjaket.
Berbaris macam orang mahu naik bas pula. Raqam senyum. Dia masih terpinga-pinga.
"Kau tahu kenapa kau di sini?" Lelaki Sasa 1 beri isyarat agar Raqam duduk. Dia pilih tilam tenggelam punggung. Yang lain berdiri di ruang santai sebelah kanan katil.