12.8.10

Nota Ramadan #3



Zaman anak-anak dulu - darjah empat - saya selalu marah-marah (dalam hati) apabila menunggu van sekolah kuning untuk pulang ke rumah pada bulan Ramadan. Panas. Setiap reguk liur hanya menambah dahaga. 

Itu belum dikira leteran Abang Din, pemandu van yang tak pernah sudah-sudah marah. Kami tak pernah kisah. Disuruh masuk bangat, kami saling menolak keluar. Biasalah. Zaman anak-anak. Segala tindak dibubuh rentak disuguh rancak.

Tiba di rumah, waktu melepas lelah. Rasa macam mahu tidur hingga lagu instrumental Timur Tengah dengan iklan-iklan produk tempatan dan nasional di Radio Malaysia Kelantan (saya lupa nama radio ini ketika saya darjah empat) berkumandang - tanda waktu berbuka makin hampir.

Tapi, sudah tentulah niat saya terbantut. Sekali lagi saya marah-marah (dalam hati) apabila mama kejutkan saya untuk solat Asar. Haus. Mamai. Entah berapa kali menggenyeh mata sebelum ke bilik air dan berwuduk.

Hari ini, panasnya tetap sama. Barangkali lebih sedikit kerana dunia semakin membakar (atau dibakar) - angkara manusia yang tegar engkar mencemar.  

Terlintas juga marah-marah (dalam hati). Saya bukan sufi, bahkan marhaen penuh dosa yang masih mencari. 

Tetapi cepat-cepat bisik marah itu saya padam - kerana usia dan dogma mengajar sabar sebagai mahar. Kalau mahu mengejar ganjar, bukankah wajar diajar? 

Sabarlah. Bahang matari semestinya memaksa keringat mengalir, namun Tuhan jua menghantar dingin semilir - andai tiada culas kita membalas setiap belas dengan budi dan zikir.

Tujuh dua puluh lima. Iklan produk tempatan berkumandang di radio. Bau cempedak goreng makin semerbak dari dapur.

Selamat berbuka puasa.