3.8.11

Kispen 82: Sorok

Kasyful perlahan-lahan mendekati kabinet dapur. Pintu kabinet di bawah sinki dibuka.

"Ha!" Kasyful melompat-lompat tanpa henti. Dia tahu adik bongsunya, Anas, mesti sembunyi di situ.

"Tak aci. Along tengok masa Adik datang sini kan?" Anas cebik bibir sambil mengekori Kasyful.

"Mana ada. Along tutup mata tadi."

Dua beradik tiba di kamar Kasyful.

"Angah mana?" Anas melompat ke atas katil, berguling-guling. Dia tahu abangnya, Mursyid, pandai bersembunyi. Jarang benar tewas.

Kasyful tarik lengan Anas. Pantas dia berbisik, "Along dah nampak dia. Ada bawah katil. Biar dia kat situ lama-lama."

Tubuh Kasyful tegak di pinggir katil. Dia berdehem dua kali, tanda lakonan bermula. "Entah. Dah puas Along cari dia satu rumah. Jom kita masuk bilik Papa."

"Jom." Anas tersengih-sengih tahan tawa.

Belum sempat mereka melangkah, pintu kamar terbuka.  

"Angah kat belakang langsir kat ruang tamu la. Lama dah tunggu. Along tak jumpa pun." Mursyid tercegat di depan pintu dengan senyum melebar.

Along dan Adik kejur, kaku. 

Nota Ramadan #37

Waktu berbuka puasa semalam, mata saya tertumpu pada sebuah meja yang dihuni tiga kanak-kanak. Dua lelaki, satu perempuan.

Riuh, masing-masing berebut kurma, ayam goreng, dan burger. Lebih comel, mereka hanya mahu cup saja. Bukannya makan pun.

Semuanya tertib menunggu azan menerobos udara.

Sebaik sahaja suara bilal bergema, mereka tadah tangan beramai-ramai. Abang paling sulung, pada hemat saya, mulut kumat-kamit baca doa.

Dan mereka jamu selera, tanpa suara. Hanya sekali-sekala tawa terselit.

Oh ya, mereka ditemani sang ibu yang mengatur segala. Serta-merta saya teringat Mama.

Ramadan, intim benar dengan manusia bergelar ibu. Yang paling tabah mengusir kantuk dari mata, demi anaknya terjaga dan bersahur. Yang paling gusar akan juadah yang dikecap anaknya di perantauan.

Maka ayuh, kita pulangkan selaut kasih ini, paling tidak, dengan setitis ingat.