29.7.10

Temani Sunyi


Satu lima puluh empat minit pagi. 

Saya menulis hanya semata-mata kerana mata terlalu degil - tidak mahu tidur. Masih banyak lagi nama teman di Facebook dengan ikon bulatan kecil berwarna hijau pada sisi kiri.

Maknanya masih online

Masih bergebang. Atau membiarkan komputer riba di sisi sambil bersendiri.

Setiap orang punya pengalaman hanyut dalam sunyi pagi. Tiada resah. Tiada gelisah. Hanya dingin pagi membawa minda pergi jauh daripada bergelut kemelut. Terdengar deras kipas berputar. Cicak galak berlegar. Cengkerik melarik hingar.

Itu semua sebenarnya teman. Bukti bahawa kita tidak pernah mampu keseorangan. Sedar atau tidak, kita sentiasa mencari teman di sekeliling - walau zahir tampak sendirian. Ada yang memilih bunyi: kipas, cicak, cengkerik - atau lebih klise, alunan lagu dari fon telinga/fon kepala. 

Itu sebenarnya teman.

Ada yang lebih selesa berteman garis dan aksara. Meniti helai demi helai lenggok kata sususan manusia lain. Atau mengadun bahasa sendiri buat tatapan manusia lain. Atau menatap lukisan yang disusun lucu, cemas, atau hiba dalam kotak-kotak kecil.

Itu sebenarnya teman.

Paling kerap, meneroka daerah terluas kurniaan Ilahi. Membelek-belek memori tak terpadam. Mengusik rasa dan silu yang terpendam. Menyorot rasa dan cita nan diidam. Menebar gebar atau menyala bara pada api dendam. Membayang sesal dan melayang sebal pada dosa sepahit jadam. 

Itu semuanya teman.

Dua dua puluh satu minit pagi. 

Saya menjenguk kembali Facebook. Bilangan ikon bulatan kecil hijau sudah berkurang. Semakin ramai lena berteman. Selesai saja pos ini ditaip, saya perlu mencari teman lain kerana mata masih enggan beradu.