6.4.12

Malam Pertama: Bahagian 4


(Bahagian 1 | 2 | 3)

Adib campak telefon Samsung Galaxy S ke hujung katil. Sudah beberapa kali dia bidik burung-burung kecil bulat rencam warna ini agar mengena sasaran, namun terpesong. 

Wajah kawanan babi bulat hijau seolah-olah menyindirnya dengan dengus sinis. Mungkin saja dia terganggu dengan niat Pak Maun mahu berkahwin lagi. 

Adib paling rapat dengan Mak Melor. Dia meraung paling lantang saat jenazah ibunya selesai dikafan. Saat orang lain berjemaah solat jenazah, Adib teresak-esak di kamar. Dia tak mampu berdiri dan mengangkat tabir. Sayu dan sendu merasuk waras agar menangis semahu-mahu. 

Setelah dipaksa Pak Maun, barulah dia akur dan bersama-sama dengan Rosyan dan Jalil usung keranda ke tanah perkuburan. Berkali-kali dia tahan hiba. Lebai Raqib pesan, kalau berlebih-lebihan duka di pusara, nilainya dosa. 

Apakah sudah hilang rasa sayang dan setia Pak pada Mak? Segala penat jerih Mak jaga seisi rumah, adakah terpadam dengan elok rupa Salbiyah? 

Adib ambil semula telefon bimbit di hujung katil. Jarinya diseret di skrin. Tali lastik di skrin telefon meregang. Burung bulat rona merah meluncur laju. Kali ini bidikan Adib mengena. Hujung tiang kayu tumbang. 

Tiga ekor babi bulat bertenggek di palang yang disangga tiang kesemuanya gugur ke bumi. 

Mati.

***

Laman rumah Pak Maun sesak. Tiada sesiapa yang mahu melepaskan peluang menonton perkahwinan paling masyhur Kampung Sekangkang Kongkang. Pak Maun, 69 tahun, bakal melafaz akad menerima Salbiyah, 29 tahun sebagai suri hidupnya. 

Kedua-dua keluarga bersetuju agar majlis akad dibikin di rumah Pak Maun. Lebai Raqib masih belum sudah mengubah suai rumah.

Masjid Kampung Sekangkang Kongkang pula masih tunggu ketibaan ambal baru. Kata Yang Berhormat Ghapar, dalam tiga hari sampailah. Itu tiga minggu lepas.

Tapi orang Kampung Sekangkang Kongkang tak pernah marah. Tunggu saja. Pasti Yang Berhormat Ghapar banyak lagi urusan negara yang penting nun di kota.

Di ruang tamu, Pak Maun segak berbaju Melayu rona merah saga. Di kamar pengantin, Salbiyah sedondon. Dia menunggu dalam debar bersama sepupunya, Syafini. Ibu Salbiyah meninggal dunia sebaik sahaja melahirkannya. Hanya Lebai Raqib tempat dia mengadu. Namun mulai hari ini, dia sudah ada Pak Maun. 

Ah, apa pula Pak Maun? Pasti saja dia panggil Bang Maun. Atau apa saja gelar manja dan intim yang ditemukan.

Entah apa majal menimpa Lebai Raqib, tekaknya tak semena-mena pedih seolah dituang cuka getah ke dalam tenggorokan. Hilang suara. Terbatal niatnya menjadi wali dan menerima akad Pak Maun. 

Walau akad nikah boleh saja dibikin dengan tulisan bahkan bahasa isyarat, namun Lebai Raqib tak mahu mengelirukan orang kampung. Mereka ini sudah mangli dengan Islam yang mereka kenal turun-temurun. 

Dia masih ingat waktu Hafizan, anak saudaranya yang baru pulang belajar di Madinah, jadi imam terawih. Saat Hafizan mula bacaan surah al-Fatihah tanpa basmalah, ramai sekali makmum bercempera keluar saf. 

Tak kurang juga yang lantang bertasbih tanda menegur kesilapan imam. Mereka sudah biasa dengan yang lama, maka segala yang baru ditolak terburu-buru. 

“Mana pengantin?” Lelaki berbaju Melayu putih lengkap bersongkok tinggi tampil di muka pintu.