Jangan tinggalkanku kesakitan
Usah biarkanku dalam hujan
Kembalikan malam saat kita berteman
Entah berapa kali Naema ucap ‘saya sayang Jon’ sepanjang pertemuan di bilik pengetua itu. Namun mereka terpaksa akur dengan kehendak orang tua. Sang dewasa yang saban masa menyangka mereka benar dan arif segala.
Jon dibuang sekolah. Naema berpindah ke sekolah lain. Mereka terpisah namun sekali-sekala bertemu dalam rahsia sebelum Naema diterima masuk ke universiti.
Kali terakhir Jon dengar kisah Naema, dia kini jadi peguam korporat di Pulau Pinang.
***
10:03 malam. Masih ada sejam sebelum temujanji bermula.
Pinggan Jon sudah kosong. Yang tinggal di dalam gelas cuma ketulan ais yang mencair, menjajah sisa Coke yang sudah hilang sengat. Jon periksa semula beg galasnya.
Semua ada.
“Oh, we got a song request here. Siapa nama?”
“Jenny,”
“Jenny. So, any song you have in mind?”
“Haven’t Met You Yet. Michael Buble. It’s for my boyfriend over there, and my friends. Yeah!” Jenny tuding jari pada meja bulat yang dihuni teman-teman. Masing-masing bersorak siul.
Jon angkat tangan pada pelayan. Dia mahu tambah minuman. Telinga dan hati menunggu dendang vokalis Runutbunyi.
Bagaimana serak si dara mahu berlagu dengan irama yang dibikin untuk nyanyian teruna?
Sudah kuduga tiada yang abadi
Berulang luluh sang hati tak terhitung lagi
Kupujuk diri namun rajuk kembali
Uja dan kecewa berselang-seli
Lunak benar. Jon terangguk-angguk saat segelas lagi Coke tiba di meja makan. Terlalu asyik mendengar dan mengenang. Lagu ini pernah dinyanyikan seorang lelaki di pusat karaoke dua tahun lalu.
Ketika itu Jon menyamar sebagai pelayan. Dalam hingar pembesar suara, dia cuba menangkap pesanan makanan dan minuman lelaki itu untuk diri dan teman bisnes. Juga empat orang lelaki muda yang tidak berbuat apa-apa selain bernyanyi dan mengelus tubuh pelanggan.
Malah Jon sedar salah seorang daripada mereka, berambut perang, menyusur jemari di kelangkang tanpa henti. Pasti lumayan ganjaran menemani Nadaraj Rao, tauke nombor ekor.
Sebaik sahaja Jon bawa masuk makanan ke kamar karaoke, Nadaraj tegak di hadapan televisyen skrin rata sambil meneran butir bridge lagu itu.