27.8.10

Nota Ramadan #18

Tiba-tiba saya terkenang saat keluar bersiar-siar pada satu malam. Bersama dua (atau tiga) rakan. Kalau tak silap saya, kami ponteng terawih.

Keluar jalan-jalan di pekan. Seksyen 14, Petaling Jaya. Ada orang jual cakera padat cetak rompak di hadapan Jaya Shopping Center. 

Ketika itu belum runtuhlah.

Kami beli beberapa keping. Salah satunya berjudul BM. Kami tonton malam itu juga beramai-ramai.

Saya lupa sama ada kami sengaja beli yang itu atau penjual yang tersilap beri. Entahlah. Saya beristighfar dalam senyum setiap kali terkenang saat itu.

Kispen 8: Tulis

(Satu empat puluh lima pagi, Tingkat 42, Menara Tinggi Melangit.)

Ke hadapan...

Ini terlalu kuno. Zaman dulu bolehlah. Lagipun mana ada orang kisah. Ke hadapan, ke belakang. Sama saja. Yang penting boleh dibaca.

Renyuk kertas.

Setakat ini sajalah pertemuan kita. Aku tak sanggup...

Ini terlalu romantis. Aku mahu tulis nota, bukan novel. Nanti terlebih selam rasa, berleluasa. Jangan mula yang tak mampu dihenti.

Gumal kertas.

Di dalam akaun Bank Kaya Raya milikku ada RM 15,326,880. Kelak semuanya kau...

Ah, mereka semua sudah banyak wang. Setakat wang simpanan ini, dijebeh saja. Ini bukan soal duit. Ini soal aku. Aku. Mesti tulis fasal aku.

Nota Ramadan #17

Jarak antara rumah saya dan tempat mengaji Quran waktu kecil-kecil dahulu dekat saja. Jalan kaki saja dengan Angah.

Dua kali seminggu kecuali hari minggu - Jumaat dan Sabtu. Mula jam tiga petang.

Guru mengaji saya tidaklah terlalu garang. Dia tok bilal masjid. 

Walau bilah rotan halus itu sentiasa saja di genggaman, tidak pernah pula rotan itu hinggap di tubuh saya, mahupun kawan-kawan.

Paling tidak pun dilibasnya lantai. Itu saja. 

Tapi dia tegas. Jam tiga petang tepat, kami mulakan dengan baca al-Fatihah beramai-ramai. Siapa yang lambat memang tidak akan naik ke rumahnya sehinggalah tamat bacaan itu.

Sudah naik, baca senyap-senyap. Tunduk. Tok bilal hanya akan menjeling. Sepatah pun tidak dimarahi pada yang lewat.

Namun jarang sekali dalam kalangan kami yang lambat. Jarang. Jam tiga, semua sudah berceratuk di ruang tamu tok bilal yang luas. 

Saya khatam Quran dengan tok bilal. Darjah empat. Mama dan Abah bangga betul waktu itu. Tapi tok bilal sudah pesan pada ibu bapa yang hantar anak belajar mengaji dengannya.

Waktu khatam nanti jangan diberinya apa-apa. Pulut kuning, ayam panggang - jangan. Kalau mahu beri wang, dia akan sedekah pada masjid.

Saya rasa berdosa setiap kali Ramadan. Jarang benar baca Quran. Usai solat, adalah sekali-sekala. Sebab itu saya gagahkan juga membaca lebih sedikit pada bulan ini.

Teringat waktu solat jenazah tok bilal. Hiba. Hiba sungguh. Suara parau dan senyum tegasnya mengasak fikir waktu saya di masjid. Empat kali takbir, empat kali pipi saya basah.

Manusia berjejal. Masjid penuh. Jemaah melimpah sampai keluar. Semua mahu bertakbir dan berdoa untuk tok bilal yang ke dunia abadi.

Betapa besar rahmat Tuhan pada mereka yang tegar menyebar keagungan kalam-Nya. 

Ulang tahun turunnya al-Quran ini saya titipkan doa buat arwah tok bilal. Semoga rohnya sentiasa dalam lindungan yang Maha Mengasihani.

Al-Fatihah.