4.9.10

Kispen 16: Komedi

Dengan tiba-tiba, negara itu sunyi. Tunabunyi. Melainkan siren polis bersipongang tanpa henti. Ramai yang diberkas. 

Malam itu semua lokap polis sesak padat. Suspek rogol, curi, bunuh, samun, raba - semua beri laluan. Ramai lagi yang mahu masuk. 

Ada yang berbaju pancawarna. Ada yang muka berbedak tebal. Celoreng aneka gaya. Hidung bulat merah. 

Ada yang biasa-biasa saja. Berkemeja T. Malah dua daripadanya menggayakan padanan singlet-pelikat. 

Malam itu paling riuh di semua lokap. Ketawa sampai pagi. Polis sudah tiada upaya melarang. Sekali ditegah, seribu hilai menyergah.

Di negara itu, menteri perdana sudah bersabda, "Di negara ini, jenaka dan ketawa tanpa lesen adalah jenayah! Kalau satira pada kerajaan - hukumnya mati mandatori!"

Sekalian badut, pelawak, penulis lakon layar komedi, pemilik saluran televisyen bertema jenaka, marhaen gembira, orang gila-gila bahasa - semuanya sudah ditahan.

Bertemu di lokap, masing-masing bertarung siapa pencetus tawa paling cekap.

Kerana di luar sana mereka berjenaka tanpa lesen. Kerana mereka mentertawakan kerajaan.

Kispen 15: Nang Awi

Petang itu manusia kembali sesak di pasar Melaka. Kumpul ramai-ramai. Dengar ramai-ramai. Konon di pasar muncul seorang pemuda kerjanya tiada lain, hanyasanya mengeji dan mencarut.

Di tengah-tengah alir manusia sibuk menjengah dan memunggah barang jual beli, pemuda itu menimbunkan tanah sehasta tinggi agar tampak dirinya pada semua.

Pemuda itu berdiri di atas timbun tanah yang dipadat-padat, bagai peteranalah layaknya dalam fikir beliau. Tiga orang budak pegun di hadapan sambil menunjal timbun tanah.

Dengar sini jangan buat tuli
Aku nak cerita orang yang kubenci
Ramai perangai bagai babi
Sudahlah bebal berlagak bestari

Dua orang wanita separuh usia membetulkan kelubung batik sambil menggeleng-geleng kepala. Tangan anak diheret perlahan. Gila. Masih ramai yang berkerumun menunggu hamun.

Dengan siapa ibumu berkapuk
Mani dikandung keluar beruk
Di rumah malas terhangguk-hangguk
Di pasar Portugis girang merampok

"Diamlah, bangsat!" Jemang, penjual ikan, menghanding seekor selar kuning ke muka pemuda itu namun sempat dielak. Kecai selar kuning menabrak tiang pangkin.

Nota Ramadan #27

Matahari terik. Namun cuaca redup. Udara dingin. Mungkinkah semalam?

Ah, itu bukan urusan kita. Itu urusan Dia. Kita buat sahaja apa yang mampu. Usah culas. Malam-malam terakhir meraih belas.

Nota Ramadan #26

Cuti sekolah. Cuti IPT. Cuti pejabat. Sudah ramai yang mula berpusu-pusu pulang ke kampung halaman. Keseronokan menyambut Syawal semakin membuak-buak.

Tetapi, yang lebih saya rindukan ialah kemeriahan berpuasa bersama seluruh anggota keluarga.

Memang klise sekali apabila kita melabelkan persiapan Syawal sebagai 'sederhana'. Persoalannya, benarkah sederhana?

Saya boleh katakan keluarga saya memang sederhana dalam menyambut hari raya. Seingat saya, boleh dihitung dengan jari berapa kali kami menukar langsir atau perabot.

Guna yang lama saja. Jarang sekali ditukar.

Saya juga tidak pernah ada pengalaman berjaga malam adun-uli-bentuk-hias kuih raya. Waktu saya di sekolah rendah, adalah buat sikit. Itu pun waktu petang sebelum berbuka. Kuih-kuih ringkas.

Sekarang, semuanya beli. Itu pun sedikit. Kata Abah, tak perlu beli banyak-banyak. Membazir. Kita yang banyak berjalan ke rumah orang. Orang datang ke rumah kita pun, selalunya jamah nasi.

Saya cemburu juga mendengar cerita kawan-kawan yang meriah sekali persiapan Syawal mereka. Pendek kata, minggu terakhir Ramadan itu memang berhabis untuk Syawal.

Entahlah. Tahun ini pun sama. Sederhana. Kata Mama, yang lebih penting ialah to end Ramadan on a high note. Saya suka.

Saya cuma kongsi cerita.