(Bahagian 1)
Kata Tijah, aku tak cukup berpagi-pagi ke Kampung Belatuk. Sebab itu mereka enggan beli pulut pagi. Tembolok sudah penuh. Baik, pagi ini aku ke sana lebih awal. Jaka pasang azam sambil intai lubang tangki minyak. Masih berisi separuh.
Masih 50 bungkus. Jaka pesan pada isterinya, kukur kelapa halus-halus. Pakai minyak baru goreng ikan masin. Pulut tanak biar baunya benar-benar lemak baru diangkat. Biar seisi Kampung Belatuk menyesal tak membeli semalam.
Tiba di Kampung Belatuk, remang fajar masih belum tiba. Jaka tak ambil pusing. Dia perlahankan motosikal, tempik hon tendang telinga. Khatam segala dengkur.
Sipongang syarah sayup-sayup sayat sunyi. Jaka cari arah suara, rupa-rupanya dari Surau Kampung Belatuk di hujung simpang.
Paling jelas, pembesar suara - satu di setiap bucu atap surau - memuntahkan tiap butir nafas, kata, dan dehem empunya mikrofon.
Jaka mahu masuk namun dihalang silu. Dia tongkat motor di tepi telaga surau dan tercongok sambil sedut hembus rokok daun. Butir bicara kuliah subuh dicerap.