12.2.11

Pulut Pagi Jaka: Bahagian 2

(Bahagian 1)

Kata Tijah, aku tak cukup berpagi-pagi ke Kampung Belatuk. Sebab itu mereka enggan beli pulut pagi. Tembolok sudah penuh. Baik, pagi ini aku ke sana lebih awal. Jaka pasang azam sambil intai lubang tangki minyak. Masih berisi separuh.

Masih 50 bungkus. Jaka pesan pada isterinya, kukur kelapa halus-halus. Pakai minyak baru goreng ikan masin. Pulut tanak biar baunya benar-benar lemak baru diangkat. Biar seisi Kampung Belatuk menyesal tak membeli semalam.

Tiba di Kampung Belatuk, remang fajar masih belum tiba. Jaka tak ambil pusing. Dia perlahankan motosikal, tempik hon tendang telinga. Khatam segala dengkur.

Sipongang syarah sayup-sayup sayat sunyi. Jaka cari arah suara, rupa-rupanya dari Surau Kampung Belatuk di hujung simpang. 

Paling jelas, pembesar suara - satu di setiap bucu atap surau - memuntahkan tiap butir nafas, kata, dan dehem empunya mikrofon.

Jaka mahu masuk namun dihalang silu. Dia tongkat motor di tepi telaga surau dan tercongok sambil sedut hembus rokok daun. Butir bicara kuliah subuh dicerap.

"Makanan kita mesti halal. Ini wajib bagi umat Islam. Tuhan pun dah pesan, makan boleh makan, tapi mesti yang ha? Halal. Usahkan yang haram, yang syubhah pun tidak bo? Tidak boleh."

"Ni, yang saya dengar sekarang. Heboh satu pekan cerita tentang Tauke Tong campur barang-barang dalam kedai dia. Babi pun kat situ, ikan bilis, ikan masin, pun tempat sama. Ini semua syub? Syubhah. Apa lagi kalau memang betul campur, memang ha? Haram. Masuk dalam perut, kita masuk neraka."

"Pulut pagi si Jaka yang kononnya laku di kampung lain, mana dia dapat ikan masin? Kedai Tauke Tong! Kamu semua nak masuk neraka? Makan benda haram?"

Jaka campak putung rokok daun ke rumpun senduduk. Percik bara tembakau terbang persis kelip-kelip. Dia tunduk, air mata gugur bentuk tompok di tanah.

Pulut pagi ini punca rezeki aku dan Tijah. Sampai hati mereka caci sebegini. Jaka kesat air mata. Dia belum putus harap. 

Jaka nekad. Dia melangkah masuk ke surau.

"Assalamualaikum." sapa Jaka.

Setiap pasang mata jemaah surau tikam tubuh Jaka, termasuk Lebai Hadri yang kemas bersila di hadapan. 


3 ulasan: