11.2.11

Pulut Pagi Jaka: Bahagian 1

Kerja Jaka jaja pulut pagi. Sebelum Jalak ekor carik berkokok, dia sudah selesai cucur bilas air perigi maha dingin ke tubuh kurus kedengkik. 

Sambil kesat tubuh dengan tuala kusam, dia akan dengar Tijah bebel panjang-panjang dari dapur. Tentang nyamuk hurung kaki semalam. Tentang ikan kering Tauke Tong yang hapak. Jaka buat-buat dengar, pura-pura angguk.

Tijah bungkus pulut pagi dalam akhbar lama alas daun pisang. Kepal kecil pulut tanak dihias sejemput kelapa parut dan cebis ikan kering. Satu pagi dalam 50 bungkus. Jaka susun dalam raga, letak di punggung motor.

Hari ini dia cuba masuk Kampung Belatuk. Khabarnya orang-orang Kampung Belatuk jenis yang berpagi-pagi. Dapat seringgit dua jadilah.

Motor cabuk Honda C90 Jaka pusing Kampung Belatuk. Aneh, tiada walau seorang yang sudi beli pulut pagi Jaka. Lelah dia picit hon. Kalau ada anak-anak kecil di halaman rumah, semuanya rusuh masuk ke rumah waktu Jaka melintas.

Kaum ibu ralit di pagar rumah turut mengelak, sambil sambung bisik umpat di beranda.

Jaka pulang hampa. Dia kembali menjaja di tempat biasa - Kampung Parit Tohor, Kampung Sagat, Kampung Tok Rabun, dan Kampung Picit. 

Tiba di rumah, Tijah baru pulang menoreh. Hamis tengik susu getah masih belum reda. Hidung Jaka sudah mangli.

"Kau pernah ke Kampung Belatuk, Tijah?" Jaka bertenggek di tangga. Rokok daun sendat tembakau dibakar.

"Pernah. Piah yang main kutu dengan aku tu, budak Kampung Belatuk. Kenapa?"

"Tadi aku jual pulut di sana. Tak ada seorang pun yang beli."

"Eh, pelik. Baru semalam Gapar Tuli jual nasi lemak seluruh Kampung Belatuk. Laku."

Jaka sambung sedut rokok daun. Tijah beredar ke dapur, muncul semula dengan botol plastik berisi air kosong. Jaka pasang azam, esok dia mahu ke Kampung Belatuk lagi. Dia mahu tahu kenapa pulut paginya dibenci orang di sana.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan