Okey. Kita sambung.
KEMBARA dimulakan dengan taklimat dan majlis pelancaran di
Hotel Sama-Sama. Orang marhaen macam saya, terlongolah saat tiba di lobi hotel itu. Maklum saja, hotel lima bintang.
Hotel Sama-Sama betul-betul bersebelahan dengan KLIA. Kalau berjalan menerusi jejambat udara yang menyambung kedua-dua bangunan agam itu, cuma lima minit.
Oh, kembali kepada lobi. Memang mewah. Marmar dengan corak geometri jadi lantai. Paling ketara, gabungan motif bulatan dan segitiga yang menguasai ruangan tengah lobi.
Yang megah menunjang siling, tiang-tiang gergasi rona hijau dengan kemasan di hujung bermotif daun palma, barangkali sempena tanah Sepang yang dijajah sawit.
Saya tiba awal. Lebih kurang sejam sebelum majlis bermula. Jadi saya bermalasan di ruang kiri lobi yang menempatkan jujuk sofa empuk. Semak laman sosial dan balas e-mel.
|
(Dari kiri) Faiz, Syukri, dan Azri menunggu taklimat. Mereka ini macam The Three Musketeers. Setia segandingan. |
Sebelum taklimat bermula, saya berkenalan dengan peserta lain di ruang menunggu. Itulah kali pertama saya bertemu dengan
Faiz,
Syukri,
Eja,
Ela,
Hanif,
Shamsul, dan
Azri. Dua orang lagi peserta, saya sudah kenal sebelum ini.
Dian pernah bergelar pendebat universiti.
Seorang lagi,
Gina. Rakan penulis saya di rumah penerbitan
Buku Fixi. Yang saya cemburui juga sebab dia pantas betul menulis dan kerana saat saya menaip entri ini, dia sedang bercuti di Melbourne. Amboi.
Taklimat diadakan di Bilik Boeing 1 dan 2. Ya, bilik taklimat di hotel ini dinamakan sempena model kapal terbang. Bilik Airbus pun ada. Pengarah Urusan ITBM, Encik Khair Ngadiron dan Presiden PENA, Dr Saleeh Rahamad - kedua-duanya memberi ucapan.
|
Pengarah Urusan ITBM, En Khair, memberi ucapan. |
|
Presiden PENA, Dr Saleeh Rahamad, khusyuk mendengar ucapan. Saya berharap benar dapat ketemu dia lagi. |
Saya terkesan sekali dengan kata-kata Dr Saleeh tentang amanah berkarya. Tentang para sasterawan dan karyawan masyhur yang sudah pun menghasilkan adikarya atau masterpiece pada usia muda. Salina, misalnya, dihasilkan oleh A. Samad Said dalam usia 20-an.
Sungguh, saya berasa amat kerdil dan sarat kekurangan. Betapa papanya kantung karya saya. Perlu lebih banyak belajar dan terus belajar untuk menulis dengan lebih hemah dan ilmu.
Usai ucapan, kami diperkenalkan seorang demi seorang kepada pihak media. Saya sukar memberi tumpuan ketika sesi bergambar kerana hidangan minum petang di hujung dewan sudah mula merembes aroma tak terelakkan.
Kemudian kami menjamu selera. Saya rasa sungguh bertuah kerana sempat bergebang dengan Dr Saleeh sambil menggomol skon yang dibalut krim putar.
Ketika itulah saya sedar bahawa hanya tinggal beberapa jam lagi sebelum penerbangan ke London bermula. Saya sedar, barangkali inilah peluang untuk saya memenuhkan kantung karya yang papa. Dengan KEMBARA.
Supaya saya - sekali pun tidak bisa ke langit seperti bintang yang saya puja - mampu berdiri di tangga malam tertinggi, bernyanyi di bawah cahaya mereka.
Kita jumpa lagi di entri seterusnya. Ciao!