3.9.12

Tentang Bendera

Isu kibaran Sang Saka Malaya pada malam Merdeka benar-benar meruntun saya untuk berkongsi sesuatu di sini. Sudah pasti saya tidak menafikan hak sesiapa untuk mengibar apa saja yang mereka mahu pada mana-mana hari sekali pun, namun setiap tindakan perlu ada batas.

Kita bukan haiwan liar, berlari dan melolong rawak di rimba. Bahkan sekalian mergastua pun tunduk taat pada undang-undang rimba. Kalau ada yang benar-benar mahu menggugur martabat, apa boleh buat?

Hujahan tentang Sang Saka Malaya sebagai "bendera asal" negara, merujuk kepada perjuangan PKMM dan beberapa lagi parti politik berhaluan "kiri" ketika zaman pra-Merdeka, saya tidak sanggah.

Namun, kesungguhan untuk mengibarkan bendera ini pada malam kita meraikan ulang tahun kemerdekaan, saya ragui. Sudah pasti, sang pelaku mahukan perhatian. Ya, alasan "biarlah masyarakat belajar sejarah" kelihatan matang dan berani, namun benarkah ini yang tersembunyi dalam hati mereka?

Andai benar, moleklah. Biar rakyat tahu bahawa "pejuang kemerdekaan" tidak hanya tertakluk kepada Parti Perikatan yang meraih kemerdekaan daripada British. Biar sejarah, sebagai sekeping syiling, terlihat kedua-dua sisi oleh masyarakat - dan mereka sendirilah sisi mana yang ingin dijadikan tiang seri hidup.

Tindakan ini, walau bagaimanapun, tidak boleh dikaburi dengan niat "menghargai sejarah" semata-mata. Umum mengetahui bahawa ide untuk menukar bendera sedia ada sekarang sudah menular di Internet. Malah beberapa bloggers dan ahli politik turut menyuarakan pendapat sedemikian. Tak perlulah saya namakan. Boleh tanya sendiri pakcik Google.

Maka, adalah hampir mustahil untuk masyarakat umum mengabaikan fakta sedemikian dan memandang tindakan mengibar Sang Saka Malaya sebagai tindakan neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Hujahan bahawa penggunaan bendera sedia ada, yakni Jalur Gemilang, sebagai tidak patriotik dan tidak sesuai kerana mirip bendera Amerika Syarikat bagi saya merupakan pendapat paling dungu. Tahukah anda terdapat banyak sekali negara-negara dunia yang mirip antara satu sama lain?

Contoh paling hampir, bendera Indonesia dan Singapura yang mirip sekali dengan Sang Saka Malaya. Malah jalur merah putih sebegitu juga digunakan oleh negara Monaco dan Poland (jalur putih di atas jalur merah). Jika kita ikut teori "siapa tiru maka tidak patriotik" ini, maka negara Singapuralah yang paling tidak patriotik kerana bendera negara itu digunakan secara rasmi pada tahun 1959 berbanding Indonesia (1945), Poland (1919), dan Monaco (1881).

Teori aneh ini boleh juga digunakan untuk menghukum Andorra, Chad, Romania, dan Moldova kerana menggunakan bendera yang hampir serupa iaitu jalur tegak biru, kuning, dan merah. Antara empat negara ini, sang peniru paling tidak patriotik sudah pasti Moldova yang hanya menggunakan bendera negara bermula pada tahun 1990 diikuti Andora (1971) dan Chad (1959). Hanya Romania yang patriotik sebagai pengguna terawal corak tersebut, pada tahun 1848.

Malah saya lebih jijik apabila alasan penukaran bendera ini dikemukakan oleh pemimpin pembangkang. Saya tidak ada masalah dengan tokoh parti pembangkang yang sentiasa berusaha tampil sebagai alternatif kepada Barisan Nasional yang, dalam beberapa aspek, tidak mampu dilindungi lagi busuk dan kohong korupsi mereka.

Namun, kemahuan menukar bendera andai berjaya ke Putrajaya ini langsung tidak masuk akal. Apa faedahnya menukar bendera? Apa penyataan yang mahu disampaikan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa dengan tindakan ini? Apakah kesan penukaran bendera kepada patriotisme rakyat Malaysia?

Saya harap para politikus ini punya jawapan yang barangkali mampu menukar pandangan saya, malah pada hemat saya, ramai lagi anggota masyarakat yang bingung dan tertanya-tanya tentang kegilaan baru ini.

Kita sudah lebih 50 tahun membesar dan menghirup udara Merdeka di bawah teduhan Jalur Gemilang. Kita sudah hidup dengan merah-putih-biru-kuning itu. Kalau kemaruk benar ingin jadi populis dan memenangi hati rakyat, ada banyak lagi isu lain yang mampu kalian juarai.

Bukannya dengan perjuangan menukar bendera. Ini gila.

Saya juga geli hati membaca beberapa kicau di Twitter tentang "apa ada pada bendera" oleh beberapa tokoh politik, malah orang awam. Bendera tidak boleh dipandang enteng. Ini simbol dan maruah sebuah negara. Malah dalam upacara antarabangsa, terdapat protokol ketat yang perlu dipatuhi untuk memastikan bendera dikibar pada posisi dan keutamaan tertentu.

Sekalipun peraturan "duniawi" ini tidak boleh diterima, saya rasa teman-teman Muslim pasti maklum tentang kisah kesungguhan Ja'far Abi Thalib mempertahankan panji Rasulullah SAW sewaktu Perang Mu'tah. Hal yang sama dilakukan oleh Thariq ibn Ziyad ketika berhadapan tentera Sepanyol dan Salahuddin Al-Ayyubi dalam Perang Salib.

Saya tahu, pasti ada yang beranggapan tulisan saya ini sesat kerana mana mungkin panji Rasulullah disamakan dengan bendera kita yang dihasilkan daripada satu pertandingan yang kemudiannya diluluskan oleh King George VI pada tahun 1950?

Saya sekadar seorang jahil yang berpendapat bahawa tidak ada salahnya menghormati dan mencintai bendera yang sudah menjadi simbol dan panji negara sejak zaman merdeka. Bukankah ada simbol bulan sabit yang mewakili Islam sebagai agama rasmi Persekutuan? Lupakah kita tentang pesan Nabi bahawa mencintai negara juga sebahagian daripada iman?

Setebal mana pun kebencian anda terhadap bobrok dan rontok kerajaan Barisan Nasional, janganlah pula dilempiaskan kepada bendera Malaysia. Kita semua, tak kira bangsa dan agama, sudah lama menjunjung rasa hormat kepada bendera ini. Kita semua menangis bangga di hadapan kaca televisyen, saat bendera ini berkibar setiap kali atlet negara memenangi acara sukan.

Malah, kalau tidak silap saya, demonstran Bersih juga bersungguh-sungguh mengibarkan Jalur Gemilang sambil berlari mengharung jejal manusia dan gas pemedih mata.

Ide aneh sebegini tidak perlulah disebarkan. Sejarah sememangnya menjadikan kita lebih manusia, namun usahlah semangat cinta negara terluntur dengan niat mahu mengubah segala-galanya atas nama sejarah. Cintailah Jalur Gemilang, dan berusahalah menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih bahagia.