Setelah berkira-kira, saya memilih Redah Eropah sebagai judul catatan kelana. Jujurnya, ini bukan travelog.
Saya kurang gemar menggunakan istilah itu kerana bagi saya, travelog hanya ditulis oleh pengembara tegar yang penuh rinci mencatat dan mengingat setiap butir perjalanannya.
Saya? Jauh sekali begitu.
Yang saya rakam dalam Redah Eropah hanyalah cebis-cebis ingatan yang amat lemah, disulam dengan pemerhatian (dan barangkali khayalan) sendiri tentang manusia dan dunia sekeliling yang saya temukan sepanjang perjalanan.
Satu lagi sebabnya, hashtag. Zaman kini manusia sudah tidak lagi bertentang mata andai bersua.
Semuanya tentang media yang dihadap tekun di skrin sambil jari menari-nari menggantikan suara, mimik muka, dan rasa paling dalam di dada.
Saya gembira sesudah mendapati #RedahEropah masih belum ada yang empunya. Bagi pengamal Twitter, hal sebegini penting. Maknanya, saya jadi pemula.
Dan saya tidak pernah malu untuk mengaku diri sebagai generasi penyembah skrin.
Zaman berubah. Manusia juga berubah.
Seperti mana datuk nenek kita berasa janggal apabila ibu bapa kita mula berseluar bell-bottomed dan menjawab panggilan telefon cinta, begitu jugalah generasi kini dipandang serong kerana lebih cenderung berkomunikasi di alam maya.
Cuma usah keterlaluan. Itu saja.
Lihat? Betapa jauhnya saya menyimpang. Ini satu lagi sebab catatan kelana saya tidak muat dikongsi di Instagram. Semuanya mahu dibebel dan dikisah panjang-panjang.
Ada yang bertanya, mengapa tidak ditulis di Facebook, seperti kisah-kisah pendek terdahulu?
Saya sudah lama berputus asa dengan Facebook. Entah kenapa. Hanya diakses sekali-sekala andai ada pesanan penting dari sesiapa. Jadi di sini (dan Instagram) sajalah tempat saya berceloteh.
7 Januari 2015
Oh, ya. London.
Melayu tipikal, bukan? Semuanya harus bermula di London.
Begitulah manisnya ironi kecintaan kita kepada mantan penjajah yang menjarah isi bumi kita dahulu. Kini kita berlumba-lumba ke sana mencurahkan wang kepada mereka, kerana masih belum cukup harta nenek moyang kita dilicinkan dahulu.
Sekali-sekala megah menunggang kuda nasionalisme, apa salahnya? Sesudah puas, kita turun dan tambat kuda di tiang sedar. Kemudian ketawa sepuas-puasnya.
Saya ke London, kalau tidak silap, untuk kali ketiga. Kali ini bersama Syahmi, Hizrin, dan Redzmie. Tiga orang rakan serumah di Dublin.
Namun saya bersama mereka sehari saja. Lorong kami mencapah di sini. Mereka bertiga ingin meneroka London sambil membeli-belah sebelum pulang ke Malaysia.
Saya pula menunggu penerbangan murah ke Venice pada hari berikutnya. Kalau terbang terus dari Dublin, terlalu mahal harga tiketnya.
Namun itu tidak bermakna saya tidak mampu menggila bersama mereka di sini untuk sehari. Tambahan pula, mereka masih belum berkesempatan mengembara di London dengan teliti.
Syahmi pernah ke sini untuk sebuah konsert pada musim panas lalu. Hizrin di sini buat kali pertama. Jadi saya dan Redzmie jadi pemandu pelancong amatur yang harus diturut penuh was-was.
Saya akan sambung Episod 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Dublin. Terima kasih pada yang sudi membaca.
Ruang ini bukan sahaja untuk kelana musim sejuk saya sebelum pulang ke Malaysia, namun jua memuatkan pengalaman saya sebesar hama, setahun di kota Dublin dan beberapa kota di Eropah yang sempat saya singgahi sepanjang tempoh itu.
Jumpa lagi!