27.8.10

Nota Ramadan #17

Jarak antara rumah saya dan tempat mengaji Quran waktu kecil-kecil dahulu dekat saja. Jalan kaki saja dengan Angah.

Dua kali seminggu kecuali hari minggu - Jumaat dan Sabtu. Mula jam tiga petang.

Guru mengaji saya tidaklah terlalu garang. Dia tok bilal masjid. 

Walau bilah rotan halus itu sentiasa saja di genggaman, tidak pernah pula rotan itu hinggap di tubuh saya, mahupun kawan-kawan.

Paling tidak pun dilibasnya lantai. Itu saja. 

Tapi dia tegas. Jam tiga petang tepat, kami mulakan dengan baca al-Fatihah beramai-ramai. Siapa yang lambat memang tidak akan naik ke rumahnya sehinggalah tamat bacaan itu.

Sudah naik, baca senyap-senyap. Tunduk. Tok bilal hanya akan menjeling. Sepatah pun tidak dimarahi pada yang lewat.

Namun jarang sekali dalam kalangan kami yang lambat. Jarang. Jam tiga, semua sudah berceratuk di ruang tamu tok bilal yang luas. 

Saya khatam Quran dengan tok bilal. Darjah empat. Mama dan Abah bangga betul waktu itu. Tapi tok bilal sudah pesan pada ibu bapa yang hantar anak belajar mengaji dengannya.

Waktu khatam nanti jangan diberinya apa-apa. Pulut kuning, ayam panggang - jangan. Kalau mahu beri wang, dia akan sedekah pada masjid.

Saya rasa berdosa setiap kali Ramadan. Jarang benar baca Quran. Usai solat, adalah sekali-sekala. Sebab itu saya gagahkan juga membaca lebih sedikit pada bulan ini.

Teringat waktu solat jenazah tok bilal. Hiba. Hiba sungguh. Suara parau dan senyum tegasnya mengasak fikir waktu saya di masjid. Empat kali takbir, empat kali pipi saya basah.

Manusia berjejal. Masjid penuh. Jemaah melimpah sampai keluar. Semua mahu bertakbir dan berdoa untuk tok bilal yang ke dunia abadi.

Betapa besar rahmat Tuhan pada mereka yang tegar menyebar keagungan kalam-Nya. 

Ulang tahun turunnya al-Quran ini saya titipkan doa buat arwah tok bilal. Semoga rohnya sentiasa dalam lindungan yang Maha Mengasihani.

Al-Fatihah.

2 ulasan:

  1. Menangis baca kisah ini.

    Kerana saya juga teringat guru Al-Qur'an saya dulu...

    BalasPadam
  2. Asiah Abd Jalil: Ilmu paling mahal, akak. Huu~

    BalasPadam