Kami singgah di toko buku dan alat tulis Paperchase sebelum bergerak ke Trafalgar Square. Saya mahu membeli buku catatan baru untuk kelana ini. Itu juga, bagi saya, salah satu cara untuk mengekalkan kewarasan andai berkelana secara solo.
Catat apa saja yang diingini dalam sebuah buku yang boleh disimpan dan dibelek semula kelak usia memamah diri. Saya simpan dan tampal semua resit, tiket, pamplet, apa saja. Setiap keping pasti punya cerita sendiri. Malah ini lebih berharga berbanding apa-apa cenderamata sekalipun.
Kembali ke Trafalgar Square.
Dataran ini selesai dibina pada tahun 1845 sebagai mengingati kemenangan Inggeris ke atas Perancis dan Sepanyol semasa Perang Napoleon dalam pertembungan kuasa armada di Tanjung Trafalgar, Sepanyol.
Armada Inggeris dengan 27 kapal menumbangkan armada Perancis-Sepanyol yang lebih besar dengan 33 buah kapal. Dalam peperangan tersebut, 22 kapal pakatan Perancis-Sepanyol musnah. Sebaliknya, semua kapal Inggeris terselamat.
Kesemua ini hasil kebijaksanaan Laksamana Lord Nelson yang mengepalai tentera laut Inggeris.
Kejayaan Nelson diabadkan di Trafalgar Square dengan patungnya berdiri megah di atas tiang setinggi 52 meter, menghadap Tanjung Trafalgar dan selatan Perancis. Kata Awang Goneng, penulis Malaysia yang menetap di London, patung itu jadi amaran dan sindiran keras Inggeris kepada Perancis.
Jangan datang lagi atau kami akan musnahkan kamu sama seperti yang Nelson pernah lakukan.
Ironinya, dalam foto ini, patung Nelson tidak kelihatan. Tidak mengapa. Nelson akan kekal berdiri di situ. Yang mahu dirakam, tali persahabatan dan kegembiraan bersama yang mustahil terhapuskan.
Masing-masing sibuk mahu mengaum seperti salah satu dari empat patung singa yang setia menjaga tugu Nelson |
Sebelum bergambar, kami bertembung dengan sekumpulan rakyat Perancis yang mengadakan tunjuk perasaan dan sesi tafakur bagi mengingati tragedi Charlie Hebdo yang menimpa mereka baru-baru ini.
Ramai juga yang membawa lilin dan memegang poster Je Suis Charlie bagi menunjukkan sokongan kepada majalah satira itu.
Bagi saya, kegilaan ini tidak adil dituding hanya kepada sebelah pihak. Sudah pasti kekejaman membunuh semberono tidak boleh diterima oleh sesiapa, namun itu tidak pernah menghalalkan kebebasan bersuara dari mengejek mana-mana agama.
Kebebasan sentiasa hadir dengan tanggungjawab.
Selesai merakam foto (dan mentertawakan dua orang: Abe Mat yang hampir cedera saat melompat turun dari tugu singa dan saya yang terkial-kial memanjat kerana katik), kami menyambung perjalanan ke Buckingham Palace. Waktu malam bukanlah waktu terbaik untuk menikmati keindahan senibina istana itu. Itu saya maklum.
Sekadar mahu memandu jalan agar mudah mereka singgahi keesokan hari.
Ya, itu kopi di tangan Syahmi. Kami sama-sama penagih. Sempat singgah di toko kopi Costa sebelum tiba di Buckingham Palace. |
Saya cuma ada foto ini di dalam simpanan. Kami berempat di hadapan Victoria Memorial, tugu memperingati kematian Queen Victoria yang berhadapan dengan Buckingham Palace. Setinggi 25 meter, tugu ini merupakan tugu memperingati mana-mana raja atau ratu yang tertinggi di England.
Malam semakin larut. Kami berpisah di stesen bas. Saya perlu meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Stansted dan mereka harus berehat sebelum menyambung sesi beli-belah di kota London keesokan harinya.
Tiba di lapangan terbang, saya sempat berbaring dan melelapkan mata di belakang sebuah papan iklan yang lengkap dengan pemanas. Terhindar sedikit dari dingin malam yang menguasai lapangan terbang.
Berselimutkan kain pelikat, saya menyusun aktiviti esok di minda. Banyak juga yang bakal diteroka di kota seribu terusan. Berdendang pengayuh gondola, berdentang loceng gereja, bergendang perut meminta pasta.
Venice, destinasi seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan