28.10.10

Sehari Selepas Ulang Tahun Hari Lahir

Semalam macam ada rusuhan di Dinding Facebook saya. Penuh contengan. 

Kalau dinding itu benar-benar wujud dalam bentuk susunan bata bersadur simen dan cat, maka dinding itu sudah ditimpa vandalisme kelas tertinggi.

Tapi ini vandalisme mesra. Ucap selamat dan doa rahmat sempena hari lahir.

Sebagai penagih tegar Facebook, hal yang demikian sudah cukup menggembirakan. Lagi pun, saya bukannya jenis yang menyambut hari lahir.

Saya sudah lupa kali terakhir menghembus nyala lilin dan membenam pisau plastik bilah segi tiga ke muka kek penuh warna-warni.

Upacara mandi tepung-air-telur juga sudah samar-samar dalam peti memori.

Apapun saya setuju, yang dikira hanyalah ingatan.

Tidak kiralah dalam apa jua bentuk sekali pun. Ucap doa, mesej ringkas, panggilan telefon. 

Apa jua.

Termasuklah edisi cetak semula mana-mana karya Russell atau Dostoevsky. Atau fon kepala Beats. Ada orang nak belikan?

1 ulasan: