6.10.10

Kispen 32: Beruang

"Kita jaga booth ni sampai pukul berapa?"

"Empat. Nanti Liyana datang dengan cik abang dia." Nurul angkat kening beberapa kali. Baru semalam Liyana beritahu, dia sudah rasmi dengan Ammar.

Ilyani pura-pura tak mendengar. Entah mengapa terselit secebis cemburu. Padahal Ammar kisah lama. Kisah zaman sekolah. Sekarang sudah di universiti.

Hari ini hari terakhir Minggu Kewangan anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengurusan Perniagaan. Wakil persatuan bergilir-gilir menjaga gerai.

Nurul dan Ilyani baru masuk semester kedua. Masih hijau. Masing-masing teruja menjemput rakan-rakan sekuliah singgah ke gerai.

"Boleh cuba, bang. Susun jigsaw puzzle. Seringgit saja. Kalau siap bawah satu minit, dapat hamper besar."

"Ada dedication. Boleh bagi boyfriend, girlfriend. Bunga, coklat, teddy bear mini, semua ada."

Pengunjung gerai makin ramai.

"Eh, Yani. Tu Komander Azrul, kan? Jurulatih kawad kita."

"Yalah." Ilyani cuba mengelak daripada merenung lengan sasa Azrul yang sengaja ditonjol di sebalik kemeja lengan pendek yang sendat. Di sebelah kanannya, Ghazali dan Qahhar, juga komander kawad.

Azrul Khalidi, pelajar tahun akhir jurusan pemasaran. Rambut pendek mendedahkan kulit kepala, ala komando. Muka bengis tanpa senyum. Semua ahli program kawad kenal Azrul. Komander paling garang.

"Komander, beli coklat."

Azrul dan rakan-rakan mara ke gerai. Nurul dan Ilyani tersengih-sengih.

"Kau jual apa, ni?" Tanya Ghazali.

"Macam-macam ada. Komander tak nak buat dedication?"

Azrul dan Qahhar ketawa. Ghazali sambut. 

"Kau ingat aku nak beli beruang-beruang ni? Coklat ni, budak-budak saja yang makan." Ghazali cebik bibir pada Azrul dan Qahhar. Ketawa pecah lagi.

"Tak apalah." Wajah Ilyani merah padam. 

"Kau pergilah dulu. Aku nak beli air kejap." Ujar Azrul. Dua sahabatnya berlalu.

"Ada pen?"

Nurul terpinga-pinga. Ilyani menyikunya dan menghulur sebatang pen biru. 

"Kom...komander nak buat dedication, ya?"

"Bagi kertas."

Azrul membongkok di bucu meja dan menulis. Wang kertas lima ringgit bertukar tangan. Azrul melangkah deras, barangkali Ghazali dan Qahhar masih sempat disaing.

"Hi hi hi hi hi." Ilyani mengilai sambil menutup mulut. 

"Apa dia tulis, Yani?"

"Hi hi hi hi hi."

"Apa dia? Bak sini kertas tu."

Mulut Nurul kumat-kamit.

To: Bear Boo.
From: Blue Bear.
Message: Enjoy the chocolate. Mmuah.

Nurul terkekek-kekek sambil menampar-nampar bahu Ilyani.

3 ulasan: