5.10.10

Kispen 31: Temu Dan Duga

Entah kenapa udara dalam Bilik Mesyuarat Utama semakin dingin. Pendingin hawa sudah 15 minit ditutup. Matahari membahang, cahaya benderang kelihatan di jendela.

Lima orang calon penerima biasiswa Palingkaya Berhad masih menunggu tukang temuduga, Encik Hanafi Zolkipili. 

Hampir setengah jam dia keluar. Katanya sebentar saja.

Meja agam bujur tajam memusatkan tumpuan siapa sahaja yang bertandang ke Bilik Mesyuarat Utama. Aroma jati Indonesia berbaur haruman lavender menikam-nikam hidung. Di tengah-tengah meja, tiga pasu lutsinar kecil disusun melintang, masing-masing berisi potpuri warna-warni. 

Mengelilingi meja, kerusi empuk dengan kemasan kulit. Anggun. Hitam.

"Semua masih ada di sini, ya? Bagus." Kepala Encik Hanafi terjengul di pintu.

Rafee Syarafaddin senyum sambil membetul-betulkan simpul tali leher. Rambutnya sengaja diandam pendek. Datang temuduga, mesti segak. Kemeja putih berbelang biru laut. Segak.

Di sebelah Rafee, Elizabeth Connick. Dia tersenyum saja merenung gelagat Rafee. Budak sekolah asrama beginilah keletahnya, bisik hati Elizabeth.

"Sekarang sesi kedua, ujian psikologi."

"Erm, cik, saya nak tanya," Rafee angkat tangan, "dalam senarai yang kami terima, tak ada ujian psikologi."

"Betul, saya setuju. Ini spontan. Saya punya temuduga, saya punya caralah. Boleh begitu, kan?"

Berhadapan dengan Elizabeth dan Rafee, Nur Syaliza Tarmizi dan Amanda Hani Mat Lazim. Syaliza berambut perang, Amanda bertudung perang. Kedua-duanya mengangguk.

"Bagus. Kalau semua sudah sedia, kita mulakan. Saya tanya soalan, kamu semua jawab. Tak kisah siapa mahu mula. Boleh bincang, boleh bantah."

Semua angguk.

"Soalan pertama. Katakan kamu mendapat tahu satu rahsia syarikat yang besar. Tiada siapa boleh tahu. Tetapi, sebab kamu tak tahan menanggung rahsia seorang diri, terpaksa juga kamu beritahu seseorang. Beritahu saya, siapakah orangnya dan kenapa kamu memilihnya?"

Deru pendingin hawa kembali mengisi Bilik Mesyuarat Tiga.

"Saya rasa," Rafee membetulkan klip tali leher dengan lambang sekolah, "saya akan beritahu ibu saya."

"Kenapa?" Elizabeth duduk tegak.

"Sebab, dialah orang yang paling saya percaya di dunia ini. Dia takkan beritahu sesiapa tentang rahsia saya."

"Walaupun ayah kamu?" Syaliza angkat kening. Kerusinya berpusing sedikit.

"Erm, ya. Mungkin. Kamu?"

"Saya? Well, I have my diary. I'll tell him. Saya tulis dalam diarilah." Syaliza senyum nakal.

"Wait," kening Elizabeth rapi dipantis, berkerut, "your diary is a HE?"

"Yes, do you have any problem with that?"

"No, I'm wondering what else you---"

"Okay, girls. Kita nak berbincang, bukan nak bertekak. Lee, kamu macam mana?" Encik Hanafi mengalihkan tumpuan pada pemuda Tionghua yang dari tadi hanya bungkam.

"Panggil Ah Boon pun boleh, cik."

"Baik, Ah Boon. Kamu bagaimana?"

"Saya akan beritahu pengemis jalanan. Dia ada seluruh masa hidupnya untuk dengar cerita saya. Sekurang-kurangnya dia ada teman. Dia tak akan sibuk bertanya, sebab dia tak akan fikir tentang saya atau sesiapa dalam rahsia itu."

Sunyi. Kedengaran Amanda mereguk liur.

"Paling penting, dia terlalu lapar dan sedih untuk ingat cerita saya. Esok pagi, dia bangun korek makanan dalam tong sampah, semua rahsia dia lupa. Dia cuma fikir, macam mana mahu hidup lagi satu hari."

Encik Hanafi terpaku. Baru tadi dia menepis tangan seorang tua comot yang menghampirinya dengan baju kumal rambut goseng.

1 ulasan: