Berkumpullah Tok Khamis dan orang-orang kuatnya di gelanggang silat. Untuk menang kali ini, mereka mahu pertahan hak Melayur Pucuk.
Masing-masing bersila, membentuk bulatan.
"Kita mesti beritahu orang kampung, Tok Khamis akan bantu kita dapatkan semula kawasan untuk berniaga. Walau apa cara sekalipun, Tok Khamis akan bela orang kampung." Pak Hitam mula bicara.
"Benar, tapi kita mesti jaga juga hati pedagang-pedagang. Ramai dah jadi orang sini. Jabbar, Ferreira, Ah Fatt." Ujar Adi Terlak.
Ramai mengangguk.
"Aku tak setuju!" Mail Birahi berdiri. Adapun namanya Mail, cuma ditokok Birahi lantaran dia menjual herba buatan sendiri untuk suami isteri lebih gagah di kamar.
Seluruh gelanggang gamam.
"Kita mesti tentang mereka habis-habisan! Biar mereka keluar dari kampung ini. Berniaga di kawasan pelabuhan sahaja, cukuplah. Ini tanah kita. Datuk nenek kita buka kampung ini. Ini Melayur Pucuk, kita yang punya!" Tangan digenggam menumbuk langit.
Sunyi. Ada empat orang saja yang turut bangkit bersorak.
"Jangan begitu, Mail. Kita di Melaka ini hidup perlu rukun. Lupakah kamu pesan Sultan agar kita meraikan sekalian tamu? Apatah lagi yang sudah bergelar rakyat Melaka?" Tok Khamis akhirnya bersuara.
"Sudahlah. Tok pun sudah termakan dengan janji-janji manis mereka, bukan? Mahu tolong orang kampunglah, cari makan sama-samalah. Entah-entah, tok pun sudah dibeli!" Mail Birahi mengajak penyokongnya yang empat orang itu beredar.
Tok Khamis geleng kepala.
Malam berikutnya, giliran Tok Senain dan para penyokong berkumpul di masjid. Untuk menang kali ini, mereka mahu pertahan hak Melayur Pucuk.
Masing-masing bersila, membentuk bulatan.
"Tok, nampaknya sama saja kita dan Tok Khamis. Dua-dua pun mahu dapatkan semula tanah untuk orang kampung berniaga. Nampak gayanya, kalah lagilah. Asyik meniru saja." Daing Puteh senyum sambil angkat kening.
"Tak mengapalah," Tok Senain mengurut janggut putihnya, "perjuangan ini bukan untuk menang, tapi untuk agama. Kita kalah tak apa, asal Melayur Pucuk tetap taat pada agama."
"Tak boleh, Tok!" Mail Birahi berdiri. Seisi masjid hairan. Bila pula Mail ke sini? Tahu-tahu sudah tercegat, mahu berbantahan.
"Kau buat apa di sini, Mail? Bukankah kau orang Tok Khamis?" Daing turut berdiri.
"Tak apalah," Tok Senain beri isyarat agar Daing duduk, "kita dengar dulu apa Mail nak cakap."
"Saya sokong Tok, sebab saya nampak benda-benda mungkar yang pedagang-pedagang bawa ke kampung kita! Hisap candu, minum arak, berhibur kinja-kinja sampai pagi. Inikah yang kita mahu? Agama kita bukan soal hak berniaga saja, tapi soal akhirat! Soal akhlak! Kita tentang mereka habis-habisan! Nyah mereka dari kampung ini!" Tangan digenggam menumbuk langit.
Sunyi. Ada empat orang saja yang turut bangkit bersorak. Campur yang dulu, lapan.
"Betul, Mail. Itu aku setuju. Tapi, cara kita mesti betul. Mesti ada hikmah. Tidak boleh halau orang sembarangan." Tok Senain urut janggut lagi.
"Ah, kalau sudah adik-beradik, memang sama sajalah! Semuanya kecut!"
Mail Birahi berlari ke luar masjid.
Bersambung.
kispen dan hanya sepuluh jugak yang cepat merungkai rasa ingin tahu. melayur pucuk ni rasa bagaikan menonton slot akasia. kena belajar bersabar membacanya (padahalnya aku dah mula rasa kurang sabar ni .. )
BalasPadamSabar. Selepas ini, bahagian akhir. Haha :)
BalasPadam