Jam sepuluh lima puluh minit malam. Bas (jam sepuluh setengah) saya belum sampai lagi. Biasalah, musim raya. Barisan kenderaan pasti masih merangkak-rangkak.
(Oh, saya bukan pulang ke mana-mana. Singgah ke ibu kota sebentar, memenuhi jemputan kenalan baru.)
Di stesen bas, saat paling syahdu pastinya saat ahli keluarga berpisah. Yang naik bas seorang dua, yang datang menghantar sekereta dua.
Percayalah, setiap yang hadir mengirim doa. Terutamanya anak-anak kecil.
Walau kelihatan hanya mahu bersenda, saling berkejar sambil sekali-sekala bertanya, "Ma, bas Angah dah sampai belum?" - jernih mata anak-anak ini mengharapkan anda selamat tiba.
Percayalah.
Ada pembaca Salah Taip yang sudah mula bertugas beberapa hari lalu. Namun, masih ramai juga yang bakal memulakan perjalanan malam ini atau esok.
Dari kampung ke kota. Hati menampung cinta. Kembali mengharung cita.
Saya mohon semua selamat tiba.
Esok!
BalasPadamSemoga selamat, Rda :)
BalasPadam