13.9.10

Hikayat Melayur Pucuk: Bahagian 1

Ada pun Melayur Pucuk ini masyhur sekali dalam kalangan orang-orang Melaka. Masakan tidak, inilah hanyasanya kampung yang berkepalakan dua penghulu.

Tiadalah diketahui orang akan sebab mahu pun musabab wujudnya dua ketua dalam satu kampung yang sama. Adalah yang berlabun bahawa pecahnya kampung ini bermula apabila dua beradik, Tok Senain dan Tok Khamis tiadalah lagi mampu bertemu mata.

Entah di mana silapnya, berpatah arang dua beradik tiada menyapa. 

Barangkali kerana cintanya Tok Khamis pada Silat Sambar Helang, ditolak mentah-mentah ura Tok Senain, mahu membina pondok buat budak-budak mengaji Quran dan kitab-kitab. 

Kata Tok Khamis, hidupkanlah masjid. Tempatkan agamawan di situ. Tidak perlulah berpondok-pondok. Ada pun silat itu tiada mungkin dibuat laku di belakang rumah atau di pasar. Wajib ada gelanggang. Tidak boleh tidak. Demi pertahanan kampung.

Satu lagi khabar angin, konon Tok Senain dan Tok Khamis ini masing-masing menaruh hati pada Melati Sari, janda anak satu di hujung kampung.

Oleh kerana rapinya janggut putih Tok Senain, maka terpautlah sayang Melati Sari padanya. Lantas, bernikah dan beranak tigalah Melati Sari. Tok Khamis dengki mendongkol.

Walaupun kampung ini dua nakhoda, tiada sebarang huru-hara. Aman damai, tenang permai. Sekali-sekala bergeser, biasalah. Masing-masing punya pendapat. Ada yang gemar pada Tok Senain. Ramai juga di belakang Tok Khamis.

Namun, sekadar itu sajalah. Tiada pernah didengar Melayur Pucuk berantakan. Bertekak, berbalah hanya laung di tekak hingga lelah. 

Pun begitu, Bendahara membuat keputusan. Kampung ini perlu juga ada ketua sebenar. Mudah nanti mahu berurusan dengan istana.

Bersambung.

4 ulasan: