23.10.10

Kispen 41: Syair

Hasem Jailani berdehem. Tekaknya masih kering walau sudah dua gelas air direguk. Dia kembali menghadap khalayak. Masing-masing masih ternganga, menunggu rangkap seterusnya.

Usahlah tuan mengundi mereka
Sungguh itulah puak celaka
Dituduhnya kalian bangsa derhaka
Bukankah fitnah hukumnya neraka?

Tepuk sorak bersambut sahut. Nampaknya mereka menggemari peraturan kempen pilihan raya yang baru diperkenalkan di negara itu.

Konon demi santun dan budi. Tidak dibenarkan lagi hamun dan keji. Kalau mahu buat rapat umum, hanya lagu dan syair yang dibenarkan.

Di seberang jalan, Fazrul Haqq mendengar patah demi patah syair Hasem. Pembesar suara, walau sudah tua, masih berbekas bingitnya.

Lihatlah tabiat seberang sana
Menghukum ibarat Syeikh sarjana
Pantang ada berbeza wacana
Terus dihenyak diludah hina.

Tepuk sorak bersambut sahut. Air liur tanpa sedar berjujuh. Mereka mahu lagi.

Hasem pun mendengar sayup-sayup syair Fazrul. Mesti balas.

Inilah contoh manusia bahlul
Seisi parti semuanya tolol
Siang malam harta disondol
Hutan dan wang semua digomol.

Fazrul:
Setakat liur semua boleh
Usah berpura bertopeng soleh
Cubalah sekali kita berkalih
Di puncak kuasa kalian pun leleh.

Hasem:
Bukan semua setamak kalian
Perangai tak ubah persis Mat Gian
Menagih najis harap kesian
Ini bukan harta bunian.

Fazrul:
Inikah calon yang mahu diundi
Akalnya hilang tersekat di pundi
Hulur kepala andainya sudi
Kubuang benak dengan gerudi.

Malam itu tiada siapa yang sedar tamatnya ceramah dua calon, ceramah Hasem dan Fazrul. 

Masing-masing mabuk dan menggelinjang dalam limpahan carut dan nista. Tepuk sorak bersambut sahut.

Sekali carut, sekali loncat - bak beruk dalam sangkar sarkas. Yang penting ada pisang. Sekali carut, sekali loncat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan