9.10.10

Hikayat Awang Jentaka: Bahagian 4

(Bahagian 1 | 2 | 3)

"Kita dah sampai." Ujar Mihat. Kain terlilit di pinggang dirungkai buat mengesat peluh bermanik di dahi.

"Dekat saja rumahmu dengan rumah Awang Jentaka." Adi memanjangkan leher mencari susuk Awang Jentaka. Sudah ramai tetamu berkerumun di laman.

"Sudah kupesan tadi. Panggil dia Penghulu Awang."

"Yalah, yalah."

Di beranda, Orang Kaya Mujar bersila kemas sambil menghisap rokok daun. Tembakau baru dari pelabuhan, enak dan wangi. 

Dengan tak semena-mena, muncullah Awang Jentaka dari pintu hadapan. Misai lebatnya paling menyerlah.

Tahi lalat di pipi kanan nan cengkung. Sederhana tinggi, bertubuh kurus. Di lengan kiri, terpapar parut panjang sejengkal.

"Kau lagi, Mujar? Belum puas?"

"Ala, Tok. Petang-petang begini, apa salah bersenda tawa?"

"Apa sajalah. Hulurkan bekas tembakaumu."

Orang Kaya Mujar menguit jari ke arah khalayak. Seorang budak belasan tahun muncul dan mendaki tangga rumah Awang Jentaka. 

Dia tunduk, menyua telinga pada Orang Kaya Mujar. Bisik dan angguk bertukar ganti.

"Baiklah. Pertandingan membuat Penghulu Awang ketawa dimulakan sekarang!" Tempik budak itu sampai tegang urat leher. Tulang rusuk timbul, boleh dihitung satu-persatu.

Sekalian pengunjung bersila di tanah, membikin satu bulatan tanpa disuruh-suruh. 

Peserta pertama tampil ke tengah bulatan.

"Namaku Cadik Badik. Aku ada satu cerita."

"Silakan." Asap putih berkepul keluar dari mulut dan hidung Orang Kaya Mujar.

Tiada ulasan:

Catat Komen