21.9.10

Abadi: Bahagian 1

"Kau lambat." Ujar Samad sebaik sahaja mendengar pintu dikuak.

"Sorry. Jalan sesak." Samsul terus ke ruang tamu dan duduk. Kerling arloji. Tujuh lapan belas. Maghrib sudah hampir.

Samad keluar dari dapur seraya ke ruang tamu. Di tangannya secawan teh halia, bikinan sendiri. 

"Kau nak minum, buat sendiri."

"Tak apa. Tadi dalam kereta dah minum. Aku rasa aku dah jumpa tempatnya, tapi masih belum pasti."

"Kenapa? Namanya tak ada?"

"Di situ, semua penghuni anonymous. Hanya ahli keluarga yang dibenarkan melawat. Nantilah aku fikir macam mana mahu cari."

"Ahli keluarga sahaja? Ipar duai bukan keluarga?" Dahi Samad berkerut. Teh halia dihirup sedikit. Ah, kurang halia. Nanti cuba lagi.

"Not to them, I guess." Samsul cuba mengimbas kembali lawatannya ke Pusat Kesihatan Mental Damai.

Rumah agam tiga tingkat yang diubah suai menjadi pusat jagaan pesakit mental. Laman luas, lengkap dengan dua gazebo yang mengapit sebuah kolam kecil. Pinggir laman dihiasi deretan ros Jepun yang diandam rapi. Turut berceratuk, pinang Manila dan pinang raja. 

"Kau macam mana sekarang, Mad? Masih sakit kepala lagi?"

"Dah baik sikit. Cuma kalau bangun pagi-pagi, denyutnya memang satu macam. Jangan risaulah. Ubat semua ada lagi."

Samsul sudah jelak mendengar 'jangan risaulah' abangnya itu. Payah benar kalau ingin dibantu. Memang begitulah Samad sejak kecil. 

Sudah berkali-kali dia mengajak Samad tinggal bersama sesudah kemalangan tiga tahun lalu, biar bisa dijenguk sakit peningnya. Tapi Samad tetap juga dengan 'jangan risaulah'. Kepala batu. 

Azan bersipongang.

"Jom, solat. Lepas tu pergi makan." Samad bingkas. 

"Yalah."

Bersambung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan