8.10.10

Kispen 33: Surat

Sudah menjadi kelaziman, ibu kota setiap negara menjadi tumpuan manusia. Cari kerja, cari aksara, cari cinta. 

Di negara itu pun sama. Cuma, yang menjadi tumpuan hanyalah sebuah kedai. 

Bukan, bukan gedung agam binaan pemodal besar dengan jenama-jenama yang bisa bikin lidah tergeliat menyebutnya. Bukan.

Kedai biasa. Letaknya di hujung deret, di hujung jalan. 

Tidak ada barang niaga terpamer. Tidak ada rak-rak ranggi dari kedai perabot Eropah. 

Di tengah-tengah ruang kedai, sebuah meja kayu usang dicat semula. Merah. Dua bangku, jua usang, menanti pelanggan. Tergantung lampu pijar dari siling, menerangi muka meja.

Seorang pekerja mengawal manusia yang berjejal di hadapan pintu masuk kedai. Bila-bila masa saja mereka ini mahu merusuh masuk.

Yang dijual? Surat Dambaan (SD). Masuk ke kedai, duduk di bangku, mula mengaku. Tauke kedai akan mencatat satu-persatu. 

Akhir sekali, cop istimewa di penjuru kiri bawah kertas. Lilin merah cair ditempek dengan cop logam.

SD ini laku di mana-mana. Siapa yang empunya, segala cerita dalam surat itu dianggap tiada lain melainkan benar. 

Harganya? Rahsia. Hanya pelanggan dan tauke saja yang tahu. Tidak pernah pula tersebar pada sesiapa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan