"Assalamualaikum dan selamat pagi," So'od Juling senyum sumbing, "pada pagi ini kita semua akan menyaksikan satu sesi soal jawab."
"Encik Adi, anak jati kampung kita - baru pulang dari Australia dan sudah tiga bulan di sini, bercuti. Dia mahu bersoal jawab dengan Wak Karman. Katanya, Wak Karman ini sesat."
Hadirin mengilai. Budak Adi ini memang mahu ditimpa sial.
"Tanpa melengahkan masa, saya persilakan Wak Karman untuk memulakan sesi soal jawab."
"Assalamualaikum," Wak Karman senyum tenang sambil jari meniti tasbih teras kemuning hitam, "saya tak ada banyak nak cakap. Orang kampung semua tahu siapa saya. Berapa banyak nyawa saya sudah selamatkan? Berapa banyak orang kampung sudah jadi kaya?"
Wak Karman reguk liur.
"Berapa banyak laki bini saya selamatkan daripada cerai-berai? Berapa banyak laki bini saya bikin mereka cerai supaya selamat? Tuan-tuan semua tahu, ini semua bukan kuasa saya. Ini kuasa Tuhan beri, supaya saya tolong tuan-tuan."
"Waalaikumsalam, Wak. Saya bukan nak cari gaduh. Saya cuma nak tanya soalan. Wak jawab dengan jujur. Tuhan saksi kita. Itu saja. Tak lebih, tak kurang."
"Silakan."
"Dalam semua ramalan Wak, yang mana lebih banyak? Yang menjadi atau tidak?"
"Ah, yang penting ada yang kena."
"Wak ingat Mek Midah? Kata Wak, anaknya hilang di belukar. Dua malam Mek Midah mencari. Rupa-rupanya mati lemas. Bagaimana?"
"Sudah ajal."
"Wak ingat Salina? Kata Wak, suaminya main kayu tiga. Mereka bercerai. Wak kahwin dengan Salina, dua bulan saja. Wak pula ceraikan. Kenapa?"
"Tak ada jodoh. Budak mentah, kau mahu lawan aku, ya? Biar aku pula yang tanya. Macam mana dengan Hassan Janggut? Aku ramal bapanya tulis wasiat tanpa namanya, mujur sempat ditukar."
"Kerana bapanya tulis wasiat dengan peguam, Shahrizal Anuar. Kau ke pejabatnya, kebetulan untuk urusan tanahmu. Di situlah kau temukan wasiat itu, bukan?"
"Baik. Ghani dan Jenab. Aku pesan dengan Jenab di pasar, lakinya sedang berkapuk dengan betina lain di rumah. Terus ditangkap."
"Kau hantar Jali jadi pengintipmu. Setiap malam dia tukar-tukar rumah. Kalau ada rahsia terlepas luar kelambu, dia beritahu kau. Buat bekal kau tunjuk handal. Jali sudah mengaku. Dia dengan polis sekarang."
Dewan Orang Ramai Kampung Selampit Tiga riuh-rendah.
"Aku mahu balik. Tak guna bergaduh dengan budak berhingus macam kau. Dengar sini, Adi. Ini ramalan aku pada kau. Tak lama lagi, yang paling kau sayang - akan terlepas dari genggaman. Ingat!" Wak Karman turun pentas.
Seminggu kemudian, laman rumah Wak Karman terhias penuh warna-warni. Udara diterjah gema paluan kompang dan marhaban.
Segak di pelamin, Wak Karman bersama isteri ketiga, Nurlaila.
Jauh di hujung khemah tetamu, Adi menahan amarah. Di dalam kocek, sepucuk Glock 9 milimeter. Dia mara perlahan-lahan. Lebih dekat, lebih tipis peluang tersasar.
Cuma perlu memilih, antara Wak Karman, atau bekas tunangnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan