30.9.10

Hujan

Berbanding panas dan mendung, hujan lebih banyak mengundang memori. Bagi sayalah. Banyak sekali yang terlintas di benak saat aroma titis-titis dari langit mengucup bumi.

Semalam hujan. Kelmarin lebih lebat. Kenangan bertalu-talu hinggap.

Masing-masing punya kisah sendiri. Saat bertemu cinta hati, lencun bersama di pinggir pantai. 

Detik-detik tanah merah basah sekepal demi sekepal mengiringi jasad yang pergi buat selama-lamanya.

Gelagat zaman muda-muda, air mata berjujuhan - berlumba dengan hujan bercucuran pada jendela kamar. Di tangan, telefon bimbit memapar mesej si dia yang berpuluh kali diulang baca.

Hilai tawa loncat ria di padang. Seragam putih-biru bertukar coklat, kuning, hitam, semuanya. Bergomol hingga hujan reda, atau guru tiba memulas telinga.

Resah menunggu yang dinanti sambil gelisah memohon hujan berhenti.

Masing-masing punya kisah sendiri kala hujan.

Saya?

Saya hanya teringat ubi rebus dan sambal bilis. Kali pertama saya membaca menu sebegitu ketika membaca sebuah novel. Entah apa tajuknya. Lupa.

Janggal sekali, fikir saya. Anak bandarlah, konon. Satu hari, mama buat dan hidangkan. Waktu itu hujan anjing dan kucing.

Lazatnya? Aduh, saat saya menaip ini pun kecur liur.

Gebu-hangat-lemak-manis ubi rebus bergaul cumbu dengan pedas-masin-rangup-pedas sambal bilis. Lidah terlalu ghairah, tunas rasa penuh berahi.

2 ulasan:

  1. hati menggebu-gebu bila hujan.
    reminisen kisah silam datang macam polaroid jatuh.

    hati juga meronta-ronta bila hujan.
    teringat baju baru siap jemur di ampaian tak dapat ambil kerna sudah ada dalam bas.

    BalasPadam
  2. Masa itulah kita menjemur kain, kebetulannya. Haha.

    BalasPadam