25.9.10

Kispen 27: Autobiografi

Cikgu Habibah tenang melangkah ke 5 Tegas. Dia memang selalu awal ke kelas. Tak elok buat murid-murid menunggu, pesan ibu digenggam kemas-kemas.

Isi mesyuarat semalam masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia ditugaskan mengajar 5 Tegas kerana prestasi cemerlang sebagai guru Bahasa Melayu.

Kelas 5 Tegas terpilih dalam projek Kelaster - Kelas Terbaik. Kata guru besar, mesti ajar murid-murid secara kreatif. Mereka semua anak-anak pintar.

"Assalamualaikum, cikgu!" Salam serentak dilaung nyaring, seraya memadam angan Cikgu Habibah.

"Waalaikumsalam. Semua duduk." Cikgu Habibah memulakan kelas dengan seulas senyum manis. Lesung pipit menambah seri.

"Syafawi, baca doa."

"Allahummaftah 'alaina hikmataka wansyur 'alaina min khazaaini rahmatika ya arhamarrahimin." Mata Syafawi terpejam rapat. Songkok menutup dahi.

"Semalam, cikgu dah beritahu. Kita ada ujian hari ini. Betul?"

"Betul, cikgu!" Jawab 5 Tegas, hampir senada.

"Baik. Ambil kertas ni, seorang tiga helai. Kalau tak cukup, nanti ambil lagi."

Cikgu Habibah ke hadapan bilik darjah. Di tangan, sebatang kapur putih. Di papan hijau, ditulis besar-besar. "AUTOBIOGRAFI: Aku ___"

"Dengar sini. Cikgu nak kamu tulis karangan yang lain dari yang lain. Tak nak ada yang sama. Perkataan yang cikgu senaraikan di depan ni, jangan buat. Yang lain, semua boleh."

Papan hijau digores lagi. Pen. Kereta. Buku. Baju. Bola. Rumah. Kasut. Pembaris. Motosikal. Anak Patung. Kucing. Arnab. Itik. Ayam. Lembu. Kuda. Komputer.

Tiga puluh minit berselang, semua kertas jawapan bertimbun di hadapan Cikgu Habibah. Dia belek satu-satu.

Aku Seekor Sotong Kurita. Aku Ben 10. Aku Sepasang Subang. Aku Sebiji Durian. Aku Sehelai Stokin.

Mata Cikgu Habibah terhenti pada satu kertas jawapan. Tanpa tajuk.

Hari itu macam biasa, saya tunggu orang beli saya dengan rakan-rakan. Saya dan rakan-rakan duduk di rumah yang sama. Muka kami pun sama. Satu hari, ibu seorang budak datang beli saya dan rakan-rakan. Kami pun masuk dalam troli. Selepas ibu budak itu bayar, kami masuk pula dalam kereta.
Apabila sampai, salah satu kawan saya diambil. Saya tunggu. Bilalah agaknya giliran saya, tanya saya kepada saya. Tiga hari kemudian, ibu budak itu ambil saya. Saya suka. Budak itu lelaki. Baru saya tahu. Saya ikut budak itu ke mana-mana. Malam itu, saya rasa panas. Seronoknya. Panas dan basah. Bau ancing hancir hacing tak apa. Ini tugas saya.

Cikgu Habibah gumam sedetik.

"Syafawi, mari sini. Apa yang awak tulis ni?"

Ketua Kelas 5 Tegas berjalan perlahan-lahan, hampir-hampir kasut putihnya diseret.

"Apa yang awak tulis ni, Syafawi?" Suara Cikgu Habibah tinggi sedikit.

Syafawi tunduk.

"Sa...sa...saya nak ke tandaslah, cikgu. Nak tukar. Dah basah."

Pandangan Cikgu Habibah serta-merta kelam.



3 ulasan:

  1. Hahaha! ".....tak apa. Ini tugas saya."

    BalasPadam
  2. (gelak)

    kalau jadi iklan TV utk produk ini, kaya kau.

    BalasPadam
  3. Amir Azfar: Is it not? Haha.
    jeffrockers: Kau nampak saja lubang duit, ya?

    BalasPadam