"Samad mana?" Mak Su Nah mundar-mandir di depan kaunter unit kecemasan. Tidak ada sesiapa yang berani mendekatinya.
"Aku tanya, Samad mana?" Kali ini lebih nyaring.
"Mak, sabar mak. Duduk dulu. Kita tunggu doktor." Hirza dakap bahu Mak Su Nah. Perlahan-lahan mereka ke kerusi lantas melabuhkan punggung.
Mak Su Nah bungkam. Mata tiba-tiba terbelalak liar.
"Aku dah agak," Mak Su Nah bertempik sambil duduk, "si Samad jahanam ni memang menantu tak guna! Bawa kereta macam pelesit! Kalau anak aku mati, siapa nak ganti, ha? Siapa nak ganti?"
"Sudahlah, mak. Mengucap. Ini takdir mak. Bukan salah Abang Mad."
Pintu ruang rawatan terkuak. Doktor Maryam mendekati Mak Su Nah dan bersalaman. Tinggi lampai, anggun berkebaya ungu muda.
"Makcik, saya Maryam. Anak dan menantu makcik, dua-dua selamat. Cuma an---"
"Cuma?"
"Anak dan menantu makcik, kami tahan dalam wad dulu. Makcik baliklah berehat. Staf saya dah ambil nombor telefon Hirza tadi. Bila dah boleh melawat, kami telefon."
Sejak itu Samad tidak pernah lagi melihat wajah isterinya, Hilda. Saat dia jaga dari lena yang panjang, hanya Samsul di sisi.
Sesudah Samsul menitip khabar, pipi Samad basah semena-mena. Jangan cari Hilda lagi. Biar kami yang jaga dia. Tunggu surat dari peguam.
"Kata Hirza, Hilda lumpuh dari pinggang ke bawah. Dia tak ingat kau, Mad. Amnesia. Dia cuma kenal maknya." Samsul mereguk liur, terasa onak.
"Ya Allah." Itu sahaja yang terletus dari bibir pucat Samad. Enam bulan dia terlantar tanpa sedar di rumah. Koma.
Mujur Samsul orang senang, digaji jururawat peribadi menjaga Samad. Makan pakai tak terabai.
Setiap kali pulang kerja, Samsul datang bergebang. Dia tahu Samad mendengar. Namun tetap jua hiba melihat tiub-tiub plastik keluar masuk dari tubuh abangnya.
Dan Tuhan memberikan ujian sebegini hebat sekembalinya Samad ke dunia nyata.
Samad menyeka air mata yang tumpah. Sudah terlalu jauh angannya menerawang kamar memori. Malam ini Samsul mahu singgah.
Katanya, Doktor Praveena pun ada bersama. Pesan Samsul, tak perlu bersusah. Mereka datang membawa hidangan makan malam.
Bersambung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan