Zahim dan Fisya berjalan seiring. Sedondon ungu. Masing-masing senyum tak putus. Ini hari pengikat cinta abadi. Kucupan Zahim di dahi Fisya masih hangat.
Ruang makan pengantin sudah bersedia. Kek tujuh tingkat jadi tumpuan di tengah-tengah.
"Sya beritahu Irma, cuma tiga tingkat bukan?" Zahim sempat berbisik.
Fisya angguk. Dia mahu balas, tapi Badar sudah umumkan sesi potong kek. Sepupunya yang ini memang petah. Selalu angan-angan jadi pengacara TV.
Fisya pegang pisau. Zahim genggam tangan Fisya seraya kek dipotong. Riuh tepuk sorak. Denyar kamera di mana-mana.
"Sya pakai cincin siapa tu?" Zahim bisik sambil senyum. Suap kek.
Cincin garam sebuku tersarung di jari manis kanan Fisya.
"Sya pergilah makan dulu. Im nak ke tandas sekejap."
Zahim keluar dari ruang makan pengantin. Berpuluh-puluh mata menikam. Ada yang berbisik-bisik.
Di dapur, Irma sibuk menyusun sajian. Jari tak henti menuding sana-sini. Hidangan mesti sampai ikut aturan. Biar sempurna, biar serba kena. Majlis ini, tauke turun padang. Untuk Fisya. Untuk Zahim.
"Kenapa kau beri pada Sya?" Zahim muncul di dapur.
"Beri apa?"
"Cincin itu, Ma. Cincin itu untuk kau. Tanda persa---"
"Aku tahu. Kenapa kau melatah sampai ke sini? Pergilah. Canggung makan beradab tanpa pengantin, tahu?"
"Apa yang kau mahu beritahu, Ma?"
"Tak ada apa-apalah. Pergi cepat. Tak baik biar Sya tunggu."
Zahim keluh berat dan berlalu. Irma pejam mata. Bibir digetap kuat-kuat. Pipinya segera basah.
Tujuh tahun, Im. Tujuh tahun.
abg bonsaiiiii! nak lagi~
BalasPadamNak apa? Haha.
BalasPadam