30.9.10

Hujan

Berbanding panas dan mendung, hujan lebih banyak mengundang memori. Bagi sayalah. Banyak sekali yang terlintas di benak saat aroma titis-titis dari langit mengucup bumi.

Semalam hujan. Kelmarin lebih lebat. Kenangan bertalu-talu hinggap.

Masing-masing punya kisah sendiri. Saat bertemu cinta hati, lencun bersama di pinggir pantai. 

Detik-detik tanah merah basah sekepal demi sekepal mengiringi jasad yang pergi buat selama-lamanya.

Gelagat zaman muda-muda, air mata berjujuhan - berlumba dengan hujan bercucuran pada jendela kamar. Di tangan, telefon bimbit memapar mesej si dia yang berpuluh kali diulang baca.

29.9.10

Demam

Perut bergejolak. Batuk tiada reda. Anak tekak ditikam-tikam. Sekujur tubuh membara. Bak kata Pendekar Bujang Lapok, "Cobaan!"

Nota kaki: Saya masih belum sempat menyediakan sup ayam Campbell kepada diri sendiri. Haish.

28.9.10

Hanya Sepuluh 9

"Kali kedua pun berdebar?" Kadi senyum.

Yang pertama muncul. Amuk.

Kispen 28: Kalau Tiada

Menara Persatuan Negara-Negara Dunia, New York.

"Seperti mana yang dijanjikan, hari ini kita sambung lagi perbincangan tentang kepupusan haiwan. Ya, soalan yang sama. Apa akan jadi jika haiwan tiada?" Ujar Pengerusi Persatuan, Kabir al-Mahzoumi, sambil merenung Sidang Utama yang hampir penuh.

"Ini bala bencana. Bala bencana. Haiwan ini sumber makanan kita." Mbetoltu Mbetolni memulakan sidang.

"Manusia mesti menangani kepupusan ini. Kitar ekologi akan terjejas. Yang akan mati, kitalah." Jack Sawyer mencelah. Ramai mengangguk.

"Rancangan TV pun akan berkurang. Animal Planet gulung tikar." Poloneiwcz Karsidzic bangkit dengan wajah serius. Terselit tawa kecil entah dari mana.

27.9.10

Abadi: Bahagian Akhir

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4)

Hilda, saya minta maaf andai surat saya terlalu rusuh tempoh hari. Tak patut saya bahasakan diri sebagai abang. Kita baru saja berkenalan. Semula. 

Saya harap awak sihat. Saya? Bolehlah. Batuk-batuk sikit.

Doktor Praveena kata awak nak baca lagi surat saya. Sebab itu saya hantar satu lagi.

Awak berambut pendek sekarang, ya? Dia juga yang beritahu saya. Saya masih ingat, dulu rambut awak separas bahu. Hitam coklat. Ikal.

Setiap malam, awak suka benar berlama-lama di depan cermin. Sisir rambut. Sekali-sekala awak jeling saya. Ya, rambut itu buat saya tertunggu-tunggu, dan cemburu.

26.9.10

Dari Papan Kekunci

Saya selalu tertanya-tanya, bilakah agaknya akan tiba satu hari tanpa entri di sini? Tak apalah. Sebelum hari itu tiba, saya coret apa sahaja. Selagi ada ide bersisa. Walau conteng selit sebegini.

25.9.10

Kispen 27: Autobiografi

Cikgu Habibah tenang melangkah ke 5 Tegas. Dia memang selalu awal ke kelas. Tak elok buat murid-murid menunggu, pesan ibu digenggam kemas-kemas.

Isi mesyuarat semalam masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia ditugaskan mengajar 5 Tegas kerana prestasi cemerlang sebagai guru Bahasa Melayu.

Kelas 5 Tegas terpilih dalam projek Kelaster - Kelas Terbaik. Kata guru besar, mesti ajar murid-murid secara kreatif. Mereka semua anak-anak pintar.

"Assalamualaikum, cikgu!" Salam serentak dilaung nyaring, seraya memadam angan Cikgu Habibah.

"Waalaikumsalam. Semua duduk." Cikgu Habibah memulakan kelas dengan seulas senyum manis. Lesung pipit menambah seri.

"Syafawi, baca doa."

24.9.10

Teknologi Bukan Musuh Bahasa

Sambil meladeni Twitter di Tweetdeck, saya terbaca satu kiriman dari seorang rakan. Lebih kurang beginilah:

Facebook dan Twitter ancam Bahasa Melayu - DBP

Dengan segera, saya tanya Pakcik Google tentang kisah sebenar. Rupa-rupanya, kiriman itu merujuk pada kenyataan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak.

Katanya, penggunaan bahasa pasar dan bahasa rojak tak mampu dibendung lagi sejak laman sosial (Facebook, Twitter) wujud. 

Setiausa kerajaan negeri Sarawak kata, mesti lebih giat untuk promosi bahasa Melayu. Kalau tidak, bahasa pasar akan ambil alih.

Saya tak setuju.

Pendirian sebegini, pada hemat saya, begitu aneh. Mengapakah wujud pandai bahasa yang menganggap evolusi dalam bahasa sebagai sesuatu yang jelek?

Abadi: Bahagian 4

(Bahagian 1 | 2 | 3)

"Masuklah." Samad senyum tawar.

Doktor Praveena kagum, hampir-hampir mulutnya terlopong. Segala-galanya teratur di apartmen ini. Segala-galanya.

Ruang tamu minimalis dengan dua sofa kulit hitam yang bertemu membentuk huruf L. Di tengah-tengah, meja kaca empat segi sama dengan kemasan logam di setiap sisi. 

Di bawahnya, permaidani merah garang. Rona dinding putih berbaur kuning cair, kosong. Tiada bingkai gambar walau satu. 

Rak buku agam menyeluruhi dinding. Majalah dan buku tersusun mengikut saiz dan tajuk, persis perpustakaan. 

Doktor Praveena terlopong.

Kispen 26: Kotak Bodoh

Di negara itu, semua orang ketawa berdekah-dekah bermula jam lapan hingga sembilan malam. Terkekek-kekek. Terbahak-bahak. Terbatuk-batuk. Semua berceratuk melongo, menonton komedi informatif nasional.

23.9.10

Abadi: Bahagian 3

(Bahagian 1 | 2)

"Samad mana?" Mak Su Nah mundar-mandir di depan kaunter unit kecemasan. Tidak ada sesiapa yang berani mendekatinya.

"Aku tanya, Samad mana?" Kali ini lebih nyaring.

"Mak, sabar mak. Duduk dulu. Kita tunggu doktor." Hirza dakap bahu Mak Su Nah. Perlahan-lahan mereka ke kerusi lantas melabuhkan punggung.

Mak Su Nah bungkam. Mata tiba-tiba terbelalak liar.

"Aku dah agak," Mak Su Nah bertempik sambil duduk, "si Samad jahanam ni memang menantu tak guna! Bawa kereta macam pelesit! Kalau anak aku mati, siapa nak ganti, ha? Siapa nak ganti?"

"Sudahlah, mak. Mengucap. Ini takdir mak. Bukan salah Abang Mad."

Pintu ruang rawatan terkuak. Doktor Maryam mendekati Mak Su Nah dan bersalaman. Tinggi lampai, anggun berkebaya ungu muda.

"Makcik, saya Maryam. Anak dan menantu makcik, dua-dua selamat. Cuma an---"

"Cuma?"

Segar

Tidur dua jam. Bangun pagi. Tiada lesu. Terima kasih, Tuhan. Bukan selalu begini.

21.9.10

Kispen 25: Tinja

Di negara itu, suasana aman damai. Tiada gaduh. Tiada rusuh. Tiada siapa yang bermusuh. Sekalian jelata taat patuh. Walau susah tiada mengeluh. Gelas sentiasa separuh penuh.

Yang resah dan gelisah hanya politikawan. Tiada isu. Kering modal. Sunyi sepi. Bagaimana mahu beli undi? Bagaimana mahu main momok?

Sehinggalah takdir Tuhan Maha Kuasa, tanpa disangka, setompok tinja lembu bertimpuh sopan di tengah-tengah jalan masuk ke Dewan Politikawan.

Maka bersorak-sorailah sekalian politikawan. Tiga hari, tiga malam di Dewan Politikawan, tiada lain yang dibincangkan melainkan tinja itu jualah.

"Bentuk tinja itu betul-betul bujur telur. Ini penghinaan pada parti kami. Sebab logo kami bujur telur. Musuh politik sudah main kotor!"

Abadi: Bahagian 2


"Boleh saya tolong encik?" Gadis genit di kaunter tersenyum. Kebaya moden merah hati membalut tubuh penambah seri. 

"Saya ada temujanji dengan Dr Praveena." Samsul membalas senyum. 

"Tunggu sekejap, ya. Encik duduklah dulu." Gadis kebaya merah mengangkat gagang telefon dan berbual pendek. Samsul renung dari sofa di ruang legar. Manis.

Dr Praveena muncul entah dari mana. 

"Encik Samsul?"

"Ya, saya." Samsul bingkas dan bersalaman.

"Kita bincang di sini saja, boleh? Air-cond bilik saya rosak. Belum repair." 

Hanya Sepuluh 8

Ting! Dua puluh sen? Ceh. Kedekut. Sambung nyanyi. Sambung buta.

Abadi: Bahagian 1

"Kau lambat." Ujar Samad sebaik sahaja mendengar pintu dikuak.

"Sorry. Jalan sesak." Samsul terus ke ruang tamu dan duduk. Kerling arloji. Tujuh lapan belas. Maghrib sudah hampir.

Samad keluar dari dapur seraya ke ruang tamu. Di tangannya secawan teh halia, bikinan sendiri. 

"Kau nak minum, buat sendiri."

"Tak apa. Tadi dalam kereta dah minum. Aku rasa aku dah jumpa tempatnya, tapi masih belum pasti."

"Kenapa? Namanya tak ada?"

19.9.10

Suku Kata Manakah Dalam Arahan "Tolong Senyap" Yang Mereka Tidak Faham?

Saya memang ada masalah tumpuan ketika membaca, menulis, menaip, dan sebagainya.

Kalau bising sangat, memang mudah benar terganggu. Kecuali muzik, tak mengapa.

Apatah lagi dalam perpustakaan, sebuah tempat yang direka oleh manusia untuk pengunjungnya menikmati suasana tenang tanpa sebarang gangguan.

Jadi, apabila ada manusia-manusia tolol (yang pada hemat saya sudah pasti tidak buta huruf kerana mereka ke perpustakaan untuk membaca kecualilah mereka ingin membuktikan ironi) yang gemar mengajak seisi perpustakaan mendengar isi gebang mereka tanpa mempedulikan papan tanda ingatan agar senyap, telinga saya pantas panas.

Sebagai marhaen yang kadangkala miskin sabar, saya terpaksa menoleh dan memberi ingat.

Andai tahap sabar saya berada pada tahap papa, nescaya tiadalah kata-kata yang tinggal melainkan makian semata-mata.

Maaflah. 

18.9.10

Kispen 24: Ramah

Barisan di kaunter masih panjang. Juruwang tegar menghulur senyum walau tenaga makin susut.

Akhirnya Dilla tiba di kaunter. Jualan murah, diharung juga walau berbadan dua. Maklum saja, menyambut anak sulung. Segala kelengkapan harus sedia.

Mata Dilla sempat menyambar tanda nama plastik merah tua yang tersemat di dada juruwang. FAUZIAH.

"Cantik baju ni, kak. Ramai yang dah beli."

Hikayat Melayur Pucuk: Bahagian Akhir

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 )

Tiba di anjung masjid, Mail Birahi capai pemalu beduk. Entah berapa kali tangannya dihayun deras.

Kulit kerbau yang diregang bergetaran, menghantar gema ke seluruh Melayur Pucuk. 

Belum sempat habis rokok barang sepuntung, sudah penuh laman masjid. Orang-orang kampung bergegas, bimbang ada kecemasan.

"Dengar sini, orang-orang kampung! Aku sudah bertemu Tok Khamis. Aku sudah berjumpa Tok Senain. Kedua-duanya tidak mahu menolong kita! Kedua-duanya sudah jadi tali barut pedagang-pedagang! Maka, Hari Undi esok aku akan membuat kejutan."

Mail Birahi menahan mengah.

"Ya, kejutan apa? Itu kalian tunggu sampai esok. Ya, tunggu Hari Undi esok. Ingat, pertahankan Melayur Pucuk! Ini tanah kita! Ini tempat tumpah darah kita!" Tangan digenggam menumbuk langit.

Mesti Mula

Mudah saja mencari Restoran Wak Chai di Taman Tun Dr Ismail. Tak sempat sesat. 

Mi goreng mamak. Limau ais. Devil's Place tulisan Brian Gomez. No God In Sight karya Altaf Tyrewala. Dan janji temu yang memberi ilham.

Thanks, bro. Such an honor to meet you in person. I shall start now, I guess.

Nama Di Facebook

Saya kagum dengan rakan-rakan yang tidak ada walau sezarah pun nama sendiri pada akaun Facebook mereka. 

Yalah, seperti Jejaka Tampan Milik Semua, Chenta Qaseh Abadiey, Menghisab Jiwa, Komander Kelakar. 

Mereka ini semua manusia masyhur. Tidak perlu dikenali dengan nama sendiri. Saya pun ingin jadi masyhur seperti mereka.

Tapi, saya masih belum ada frasa-frasa unik sedemikian.

Tak apalah, biar saya fikir dulu. Salah Taip? Tak bolehlah, itu nama blog.

17.9.10

Tersungkur

Saya solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling tengah hari tadi. 

Paling mengujakan, khatib lancar menganyam bait-bait nasihat ringkas dengan ayat-ayat Tuhan dan pesan Nabi, tanpa teks.

Khutbah spontan. Saya pun sudah lupa kali terakhir saya mendengar khutbah spontan. Nanti dulu, khutbah berteks pun kadangkala terlepas. 

Datang lewat, atau sibuk tersengguk dalam saf.

Tema khutbah amat ringkas. Apa yang anda telah lakukan seminggu selepas Ramadan? Tajam. Berkali-kali saya mengangguk, tanda malu dan kesal.

Kata sahabat karib saya, Encik D, "smack down tahap bunuh-bakar-buang abu".

Semoga hidup kita tidak lagi diselangi gimik ibadah sebulan sekali. Tuhan menawarkan ganjaran berganda agar Ramadan membina tabiat.

Bukan bulan bodek Tuhan atau kredit pahala yang bakal susut sedikit demi sedikit dengan debit dosa nanti. Tiba Ramadan, masuk lagi.

Ya, ya, ini bukan ceramah. Ini bukan blog ustaz, bukan blog agamawan kesohor.

Ini bebelan terhadap diri sendiri.

Hikayat Melayur Pucuk: Bahagian 4


Berkumpullah Tok Khamis dan orang-orang kuatnya di gelanggang silat. Untuk menang kali ini, mereka mahu pertahan hak Melayur Pucuk. 

Masing-masing bersila, membentuk bulatan.

"Kita mesti beritahu orang kampung, Tok Khamis akan bantu kita dapatkan semula kawasan untuk berniaga. Walau apa cara sekalipun, Tok Khamis akan bela orang kampung." Pak Hitam mula bicara.

"Benar, tapi kita mesti jaga juga hati pedagang-pedagang. Ramai dah jadi orang sini. Jabbar, Ferreira, Ah Fatt." Ujar Adi Terlak. 

Ramai mengangguk.

"Aku tak setuju!" Mail Birahi berdiri. Adapun namanya Mail, cuma ditokok Birahi lantaran dia menjual herba buatan sendiri untuk suami isteri lebih gagah di kamar.

Seluruh gelanggang gamam.

16.9.10

Mohon Selamat

Jam sepuluh lima puluh minit malam. Bas (jam sepuluh setengah) saya belum sampai lagi. Biasalah, musim raya. Barisan kenderaan pasti masih merangkak-rangkak.

(Oh, saya bukan pulang ke mana-mana. Singgah ke ibu kota sebentar, memenuhi jemputan kenalan baru.)

Di stesen bas, saat paling syahdu pastinya saat ahli keluarga berpisah. Yang naik bas seorang dua, yang datang menghantar sekereta dua.

Percayalah, setiap yang hadir mengirim doa. Terutamanya anak-anak kecil. 

Walau kelihatan hanya mahu bersenda, saling berkejar sambil sekali-sekala bertanya, "Ma, bas Angah dah sampai belum?" - jernih mata anak-anak ini mengharapkan anda selamat tiba.

Percayalah.

Ada pembaca Salah Taip yang sudah mula bertugas beberapa hari lalu. Namun, masih ramai juga yang bakal memulakan perjalanan malam ini atau esok.

Dari kampung ke kota. Hati menampung cinta. Kembali mengharung cita.

Saya mohon semua selamat tiba.

Hikayat Melayur Pucuk: Bahagian 3


Arakian, Melayur Pucuk ini hampir nian duduknya dengan Pelabuhan Melaka. 

Malah, tersohorlah dalam kalangan pelaut dan pedagang, andai mahu melepas lelah selepas seharian memunggah muatan - di kampung inilah tempat mencari juadah paling lazat. Kuih-muih, manisan, gulai ikan darat, nira, tuak, semua ada.

Oleh kerana tidak terkira pesatnya Pelabuhan Melaka, maka terserak sebarlah kawasan jual beli hingga masuk ke sempadan Melayur Pucuk. 

Akan penduduk kampung ini perangai mereka tiadalah gemar akan pedagang-pedagang luar datang berniaga di tempat mereka.

Hanyasanya alasan yang diberi orang-orang kampung ialah pedagang-pedagang ini merampas hak mereka di tanah sendiri. 

Barang tentu orang Arab, orang putih, orang Benggali, orang tanah besar China dan India ini kaya-raya tiada terperi. 

Selamat Hari Malaysia

Kali keempat puluh tujuh.

Ada kawan tanya saya, macam mana nak sambut Hari Malaysia?

Terpulanglah. Ini tanda ingatan kita pada sebuah negara merdeka yang lahir dengan semangat kekitaan dan kesucian demokrasi.

Ini hari lahir negara yang kita cinta. Negara yang sanggup kita lindungi dari segala marabahaya. Ya, negara. N-E-G-A-R-A. Walau siapa pun musuhnya, kita tentang.

Bak kata Nathan Hale, "Satu-satunya yang kukesal, hanya ada satu nyawa untuk kukorbankan demi negara."

15.9.10

Hanya Sepuluh 7

Rumah agam untuk dijual. Separuh harga. Tanah percuma. Pawang disediakan.

Hanya Sepuluh 6

Dia menyua di sana agar bisa menyuap. Gadai. Tiada pilihan.

Masih Musim Raya

Setiap kali anak-anak kecil bertandang ke rumah sempena Syawal, saya pasti jadi orang terakhir yang mereka salam.

Barangkali wajah saya bengis, budak-budak ini takut. Atau naluri kebapaan yang rendah.

Kata orang, budak-budak boleh menghidu benda-benda macam itu.

Tapi, kalau saya capai dan dukung, tidak pula mereka menangis. Senyum. Sengih. 

Mungkin sebab tangan saya kosong. Tiada sampul berisi wang.


Hikayat Melayur Pucuk: Bahagian 2

(Bahagian 1)

Maka diisytiharkan oleh Bendahara bahawa penduduk Melayur Pucuk mesti mengundi.

Setiap enam purnama, berkumpullah sekalian warga Melayur Pucuk di padang datar untuk Hari Undi.

Didirikan khemah kecil siap bertabir. Sesudah subuh, masing-masing beratur menunggu giliran. 

Tiba di khemah, diberi sekeping kertas kecil sebesar tapak tangan. Maka perlu ditulis satu antara dua huruf.

Huruf 'tha' untuk Tok Senain. Huruf 'kha' untuk Tok Khamis.

Kertas-kertas undi kemudian dikira dan pemenang diumumkan di masjid selepas selesai solat Maghrib. 

14.9.10

Kispen 23: Nujum

"Assalamualaikum dan selamat pagi," So'od Juling senyum sumbing, "pada pagi ini kita semua akan menyaksikan satu sesi soal jawab."

"Encik Adi, anak jati kampung kita - baru pulang dari Australia dan sudah tiga bulan di sini, bercuti. Dia mahu bersoal jawab dengan Wak Karman. Katanya, Wak Karman ini sesat."

Hadirin mengilai. Budak Adi ini memang mahu ditimpa sial.

"Tanpa melengahkan masa, saya persilakan Wak Karman untuk memulakan sesi soal jawab."

"Assalamualaikum," Wak Karman senyum tenang sambil jari meniti tasbih teras kemuning hitam, "saya tak ada banyak nak cakap. Orang kampung semua tahu siapa saya. Berapa banyak nyawa saya sudah selamatkan? Berapa banyak orang kampung sudah jadi kaya?"

Wak Karman reguk liur.

"Berapa banyak laki bini saya selamatkan daripada cerai-berai? Berapa banyak laki bini saya bikin mereka cerai supaya selamat? Tuan-tuan semua tahu, ini semua bukan kuasa saya. Ini kuasa Tuhan beri, supaya saya tolong tuan-tuan."

"Waalaikumsalam, Wak. Saya bukan nak cari gaduh. Saya cuma nak tanya soalan. Wak jawab dengan jujur. Tuhan saksi kita. Itu saja. Tak lebih, tak kurang."

"Silakan."

Hanya Sepuluh 5

Jam tiga. Tempat biasa. Tekan hantar. Bangsat, itu nombor suaminya.

13.9.10

Hikayat Melayur Pucuk: Bahagian 1

Ada pun Melayur Pucuk ini masyhur sekali dalam kalangan orang-orang Melaka. Masakan tidak, inilah hanyasanya kampung yang berkepalakan dua penghulu.

Tiadalah diketahui orang akan sebab mahu pun musabab wujudnya dua ketua dalam satu kampung yang sama. Adalah yang berlabun bahawa pecahnya kampung ini bermula apabila dua beradik, Tok Senain dan Tok Khamis tiadalah lagi mampu bertemu mata.

Entah di mana silapnya, berpatah arang dua beradik tiada menyapa. 

Barangkali kerana cintanya Tok Khamis pada Silat Sambar Helang, ditolak mentah-mentah ura Tok Senain, mahu membina pondok buat budak-budak mengaji Quran dan kitab-kitab. 

Kata Tok Khamis, hidupkanlah masjid. Tempatkan agamawan di situ. Tidak perlulah berpondok-pondok. Ada pun silat itu tiada mungkin dibuat laku di belakang rumah atau di pasar. Wajib ada gelanggang. Tidak boleh tidak. Demi pertahanan kampung.

Satu lagi khabar angin, konon Tok Senain dan Tok Khamis ini masing-masing menaruh hati pada Melati Sari, janda anak satu di hujung kampung.

Hanya Sepuluh 4

Mortar luruh. Siling roboh. Si kecil serta-merta bertukar piatu.

12.9.10

Komputer Riba Biasa-Biasa Saja

"Sini boleh guna Wi-Fi?"

Pekerja Big Apple saling berpandang. Angkat kening. Angkat bahu.

"Boleh, bro. Guna Wi-Fi KFC." Saya mencelah.

"OK. Terima kasih."

Muka pemuda ini macam biasa dilihat. Macam artis. Saya cuba tanya pakcik Google. Taip di ruang carian:

Fizo Omar.

Terpapar gambar-gambar. Oh, betullah.

"Bro, laju tak Wi-Fi?"

"Bolehlah nak blogging, Facebook."

"Tak boleh connectlah." Dia beri isyarat minta dibantu.

Saya ke mejanya. MacBook Pro. Saya guna Acer Aspire 4736Z saja. Sudah karang dua entri blog.

Nota Kaki: Seluruh dialog di atas berlangsung dalam dialek Kelantan. Saya terjemahkan untuk bacaan umum. Kecuali perkataan bro.

Entri Ke-100

Biasalah. Manusia memang suka angka-angka begini. 10. 50. 100. 1000. Ada tanda. Ada kisah.

Saya cuma mahu berterima kasih pada semua pembaca. Harap-harap Salah Taip boleh bertahan 100 entri lagi.

Atau lebih.

Hanya Sepuluh 3

Jebat enggan amuk. Tuah kekal di belantara. Lenyap tanpa dikenang.

Gemulah Sosilawati

Belasungkawa.

Masih ada lagi manusia yang lebih iblis daripada iblis. Simpati dan doa kita biarlah kerana kemanusiaan yang semakin mati. Biar sayu dan amarah ini kekal sama andai pembunuhan sebegini menimpa siapa-siapa, di mana-mana sekali pun.

Bukan kerana ini kisah sensasi.

Bukan kerana siapa gemulah.

Al-Fatihah buat gemulah dan tiga lagi mangsa. Simpati buat keluarga mereka.

Belas dan doa buat sekalian mangsa kekejaman, yang dibikin atas nama apa sekali pun.

Nota Kaki: Saya terkilan membaca tweet salah seorang politikawan Malaysia. Kesal sungguh.
Pmbunuhan Sosilawati & 3 lagi disebarluas tetapi kenapa insiden membunuh/ bunuh diri pimpinan & wanita UMNO S'gor (Aziz & Rohana) blackout?
Yang Berhormat, jangan jadi bodoh. 

Bukan semua perkara di bawah cahaya matahari mampu dijadikan bekal ubat bedilmu. Berhentilah menjadi politikawan sekali-sekala, dan bertukar menjadi manusia.

Hanya Sepuluh 2

Salma menangis di pusara. Luka masih pedih. Ma terpaksa, Abang.

11.9.10

Kispen 22: Walau Dari Jauh

Zahim dan Fisya berjalan seiring. Sedondon ungu. Masing-masing senyum tak putus. Ini hari pengikat cinta abadi. Kucupan Zahim di dahi Fisya masih hangat.

Ruang makan pengantin sudah bersedia. Kek tujuh tingkat jadi tumpuan di tengah-tengah. 

"Sya beritahu Irma, cuma tiga tingkat bukan?" Zahim sempat berbisik.

Fisya angguk. Dia mahu balas, tapi Badar sudah umumkan sesi potong kek. Sepupunya yang ini memang petah. Selalu angan-angan jadi pengacara TV.

Fisya pegang pisau. Zahim genggam tangan Fisya seraya kek dipotong. Riuh tepuk sorak. Denyar kamera di mana-mana.

"Sya pakai cincin siapa tu?" Zahim bisik sambil senyum. Suap kek.

Hanya Sepuluh 1

Hemingway gajah. Saya hama. Mana sempat tamat cerita enam perkataan.

Belas Sebelas September

Sembilan tahun lalu, ketakutan manusia terhadap Islam dinyalakan kembali. Momok di mana-mana. Islam agama maut. Dogma ganas.

Robohnya dua menara itu mencarik luka pada mangsa dan keluarga, jua sayat pada hati Muslim yang tiada henti dituding jari.

Ini bukan lagi masa mencari kepul asap berwajah syaitan timbul saat dua menara menyembah bumi. 

Ini bukan lagi masa merungut rengek tentang zalim-jahil-angkuh kerajaan terbesar di dunia menyerang buta tuli demi menuntut darah yang tidak pernah menjadi miliknya.

Sembang Raya Jam Sebelas Malam

Semalam saya ke rumah Tok Su lebih kurang jam 10.15 malam. Jalan kaki. 150 meter saja dari rumah saya.

Walau perut sudah sebu, senyum juga saat Tok Su hidang ketupat pulut dan rendang ayam. Wap bawa aroma berkepul-kepul. 

Anak gadisnya tujuh orang, maka hidangan serba pantas. Ya, dan lazat.

Ayah Long pun ada sama. Macam-macam digebangkan. Dari kisah Sosilawati hinggalah politik UMNO dalam Jabatan Pelajaran Negeri (Ayah Long pegawai di situ).

Bercakap soal UMNO, Tok Su memang orang kuat. Tiap-tiap tahun pergi PWTC. Cuma belakangan ini kurang aktif.

Saya cuba basa-basi, "Tok Su pergi tak open house Tok Pa (Mustapha Mohamad) raya keempat ni?"

Tok Su sedut hembus Gudang Garam Surya. Senyum.

"Aku dah close house dengan benda ni semua."

Kami semua tertawa dan serang meja makan.

10.9.10

Kispen 21: 1 Syawal 1531H

Hari ini, Menteri Perdana negara itu buat rumah terbuka macam biasa. Seisi negara dijemput bertandang. Ramai, malah terlalu ramai yang hadir.

Robot-robot penyajian dicaj bergilir-gilir. Tak menang tangan melayan nafsu makan jelata. Makin lama makin sesak.

Menteri Perdana memandang dari anjung rumah kediaman rasmi. Rakyat berhimpit-himpit di khemah makanan.

"Tuan Cadang Pandang, mengapa terlalu ramai rakyat yang datang? Bukankah selalunya hanya orang kota, pekerja asing, dan pelancong tak ketahuan sahaja yang singgah?" Menteri Perdana kerut dahi.

Kispen 20: Tunggu Ilham

Pak Su Him tarik nafas dalam-dalam. Tersekat. Dada ditikam-tikam pedih. Rengkung kontang terbakar. Haus.

Sudah tiga hari terbujur di kamar. Tidur berak semua di situ. Anak-anak bergilir jaga.

Di sisi kepala, anak sulungnya, Napi. Kumat-kamit meletus Yasin cair di mulut sambil tangan elus dahi Pak Su Him. Mata Napi direnung dalam-dalam. 

Di hujung kaki, Ilah, paling bongsu. Dari tadi tunduk tanpa esak. Kelubung hitam litup muka. Kaku.

Faridah dan suami di sisi kanan. Masing-masing berteleku dengan buku Yasin di tangan. Mukhlis gelisah di riba Faridah, mulut terlekap botol susu.

Di sisi kiri, Adnan dan Azman. Kembar. Dari semalam tak kalih dari bilik Pak Su Him, melainkan solat dan jamah kuih. Baca ayat Tuhan.

Pak Su Him tarik nafas dalam-dalam. Masih pedih.

Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar.

Salam Syawal

Saya harap entri ini tidak diakses pada hari raya pertama. Jangan sibuk di atas talian. Pergi berayalah. 

Saya lain, saya penagih blog. Jadi mesti tulis juga walau terkial-kial meriba komputer di dalam kereta dalam perjalanan ke rumah Tok Ayah Mamat bersama Angah dan Adik.

Satu Syawal paling istimewa lantaran kemuncak ria dan hiba yang berbaur sempurna, walau apa pun asbabnya.

Masing-masing punya cerita.

Jangan lupa dengan Ramadan yang baru beberapa jam kita tinggalkan. Doakan agar andai tidak banyak, sedikit giat amal Ramadan menjadikan kita manusia yang lebih manusia.

Doakan agar pasti banyak, bukan sedikit dosa sesama manusia gugur di celah-celah sentuhan jari saat bersalam dan senyum tunduk bertemu mata.

Salam Syawal buat semua pembaca Salah Taip!


9.9.10

Nota Ramadan #33

Angah dan Adik masih di hospital. Temankan Tok Ayah. Dia telefon waktu sahur tadi. Katanya ubat sudah habis. Hari ini mahu ganti baru.

Mama sibuk susun kuih tunjuk-tunjuk. Abah di luar rumah. Suka sangat dengan mesin rumput barunya. Jangan sampai botak pula dimesin laman rumah.

Saya sejak usai Subuh tadi (cuba) mengemas rumah. Sekali-kala curi-curi jengah Facebook dan tonton Tenis Terbuka Amerika. Suku akhir: Federer lawan Soderling. Dua-dua saya tak suka.

Termasuklah curi-curi tulis entri ini. 

Kuasa Kicau

Sewaktu menulis di Wordpress dulu, saya penagih statistik blog. Buat apa saja supaya ramai orang singgah dan baca. Ah, tak baca pun tak apa. Asal klik.

Di sini, saya sudah tidak peduli. Saya mahu tulis untuk orang yang mahu baca. Tidak kiralah walau hanya saya dan beberapa teman.

Pun begitu, saya masih kagum apabila statistik akses ke Salah Taip tiba-tiba mencanak beberapa hari lalu. Saya periksa. Rupa-rupanya pautan blog saya telah di'kicau' oleh dua orang penulis prolifik dalam bidang masing-masing, Amir Muhammad dan Ajami Hashim.

Oh, ya. Maksud kicau ialah mereka guna Twitter

Kalau kalian tidak tahu apa itu Twitter, maknanya kalian wujud pada zaman ini setelah tiba dengan mesin masa, dari zaman Friendster (perkataan lain untuk masa lampau).

8.9.10

Nota Ramadan #32

Alhamdulillah. Satu hari lagi. Panjangkan usiaku, Yang Maha Mengasihani!

Nota Ramadan #31

Jumpa lagi, andai Tuhan masih izinkan aku untuk bersamamu.

Pening Kepala

Tonton Tenis Terbuka Amerika Syarikat dari jam 11 malam hingga 1.30 tengah hari. Padahal lusa raya. Eh, lusakah? Atau esok? Mahu tidur.

Kispen 19: Bukan Flatulen

Hari ini hari ketiga Persidangan Bijak Pandai Kebangsaan (PERBIDA) di negara itu. Lebih lima ribu cerdik pandai berhimpun di pusat konvensyen paling kesohor di ibu kota. 

Jam sembilan pagi. Dr Mira Zafra sudah bersedia. Beg bimbit warna perak digenggam erat. Dia melangkah yakin ke pentas ucapan untuk persiapan awal.

Dewan Konferensi Satu semakin terisi. Para bijak pandai berjejal masuk, melongo kagum.

Ruang penonton persis Coliseum di kota Rom. Kerusi disusun menaik, melingkari pentas. Di tengah pentas, empat skrin LCD cembung tergantung bagai candelier, satu bagi setiap 90 darjah.

Sesi pertama, hari ketiga PERBIDA. Dr Mira Zafra membentangkan ciptaan terbarunya, Sistem Penggera Tipu Dalaman (SIPENIPUDA).

"Kita kerap kali berhadapan dengan penipu. Teknologi poligraf dan pengesan denyut otak sudah lapuk. Ini semua alat yang memberi peluang kepada manusia untuk bersedia menipu sebelum diuji."

Hadirin mengangguk, ada yang tunduk mencatat. Dr Mira Zafra menjilat bibir bergincu merah hati. Udara pendingin hawa sedikit kering.

"SIPENIPUDA menghapuskan peluang itu. Teknologi ini mengesan dan membunyikan amaran sebaik sahaja penipuan berlaku."

"Jadi, apa beza dengan teknologi sebelumnya?" Pengasas Institut Ramalmasadepan, Azral Junaidy bangkit dan mengangkat tangan lantas menyerlahkan baju batiknya, kuning terang dengan motif abstrak ungu.

Suara Yang Saya Akur

Tulis sajalah. Ini blog kau. Peduli apa dengan raya.

7.9.10

Suara Yang (Lebih) Rasional

Berhentilah seminggu. Kau tulis banyak-banyak, bukan ada orang baca sekarang. 

Semua sibuk gentel kuih, gantung langsir, salin perabot, cuba baju, padan tudung, acu selendang, telek songkok, ganti gelang, tukar kereta, jumpa saudara, salam maaf, kira duit, beri wang, makan ketupat, hidang lemang, kunyah biskut, telan rendang, reguk sirap, umpat keji, maaf zahir, ampun batin, lawat kubur, doa selawat, tabur mawar, serak kemboja, tumbang lembu, palu kompang, pandu kereta, tahan kantuk, baca kad, buka rumah, tutup balang, jumpa saudara, temu kekasih, cari cinta, buang benci, tambah suka, senda tawa, sela sendawa.

Mana ada orang baca blog?

Kispen 18: Baca (Betul-Betul)

"Ujian semester dah dekat. Jangan lupa ulangkaji, ya?" Profesor Zadri mengemas fail yang sedikit berserak. Komputer riba dimasukkan dalam beg.

"Prof, boleh saya tanya sesuatu?" Ameera senyum nakal.

"Apa dia?"

"Selain nota Prof dan buku teks yang Prof cadangkan, boleh tak saya baca nota dan buku lain untuk ujian?" Ameera terkernyih. Tabiatnya dikenali semua.

"Tak boleh!' Mata Profesor Zadri terbeliak.

Seisi Dewan Kuliah A sunyi.

"Apa salahnya nota saya? Kenapa awak tolak kebenaran nota saya dan dewa-dewakan yang lain? Nota siapa awak baca? Profesor Madya Syamsuri? Puan Lee? Siapa?" 

Suara Ameera terketar-ketar, "Saya cuma nak..."

Nota Ramadan #30

Sambil ronda-ronda Kota Bharu, Mama telefon. Pesan beli udang. Usai berbuka, saya ke pasar raya besar. Yalah, mahu beli di mana lagi kala malam menjelma? Tok Bali jauh.

RM 9.79 sekilo. Saya ambil dua plastik. Satu sarung tangan. Satu isi udang.

Turut bersama dalam persaingan memilih udang, sebuah keluarga yang cukup comel. 

Seorang bapa dan tiga anak gadis. Oh, empat. Seorang lagi bermain dengan anak patung, tercegat dalam troli beli-belah.

"Pa, Mami suruh beli udang apa tadi?" Barangkali si sulung. Berkaca mata, rambut bertocang paras bahu. Sekali-sekala kerling adik yang bergebang dengan anak patung.

"Yang inilah." Pa ambil plastik.

Seorang lagi gelak kecil. Tudung putih, baju T Kim Possible. "Pa, kenapa Pa pilih seekor-seekor? Kalau Mami," tangan digenggam kecil, "ambil secekak ni masuk dalam plastik."

"Yang ni, Pa. Yang ni." Anak gadis nombor tiga agaknya, berdiri di samping Pa sambil tuding jari pada udang yang difikir kelak enak dimakan. Tudung ala Ariani.

Si ayah pandang saya. Senyum, seolah memberitahu, isteri di rumah. Buat kuih.

"Pa," gadis sulung menyudahkan taipan mesej ringkas, "macam mana nak tahu udang tu segar?"

"Pilih yang besar."

Saya ambil satu lagi plastik. Bungkus dua lapis.

6.9.10

Nota Ramadan #29

Kali pertama saya pulang ke kampung waktu kecil dulu, sungguh janggal. Tiada sepatah pun kosa kata dialek Kelantan yang saya tahu. Anak Kuala Lumpur, konon.

Dua atau tiga hari sebelum Syawal, Mama akan bawa kami adik-beradik jalan-jalan di kampung. Ketika itu, saya dan Angah sajalah. Adik belum ada.

Sambil Mama gebang dengan jiran-jiran (yang kebanyakannya ada bau-bau bacang), saya dan Angah terlongo sajalah. Mata terkejip-kejip.

Sehinggalah keluarga mengambil kata putus untuk terus tetap di bumi Kelantan. Rakan-rakan sedarjah begitu mesra dan membantu. Sekejap saja, lidah saya sudah fasih dan ada bau budu.

Mama pernah cerita, waktu balik kampung, kami lalu kawasan sawah. Saya dan Angah tiba-tiba meloncat-loncat dalam kereta. Tuding jari.

"Mama! Abah! Badak! Badak!"

Abah jawab, "Kerbaulah."

Nota Ramadan #28

Berapa hari lagi? Dua? Tiga? Ah, ketika inilah saya mahu hentikan masa. Masih belum puas puasa. Demikianlah Tuhan memberi kurnia pada manusia. Didatangkan setahun sekali agar bijak kita hargai.

Adik-adik mahu keluar membeli-belah hari ini. Ikut sajalah. Boleh cari juadah berbuka. Atau kain pelikat baru sehelai dua, buat ganti yang lusuh. Musim raya begini, murah sedikit.

Semalam, Bilal Bersuara Lemak bertugas seperti biasa. Masih meremang bulu tengkuk saya mendengar azan dan selawat darinya.

5.9.10

Kispen 17: Dengar

"Abang, Kaisar belum sampai lagi. Esok dah raya." Jamilah genggam tangan Rasyad kuat-kuat. 

"Dia yang pilih jalan itu, Milah. Salah abang juga menghalau dia dulu." Rasyad tunduk.

"Kalau dah hisap benda tu, ibu bapa mana yang tak marah, bang? Saya faham kenapa abang buat begitu. Cuma, saya rindu sangat dengan dia. Dah dua tahun, tak ada khabar berita." Kolam mata Jamilah mulai bergenang.

"Sabar, Milah. Kita doa sama-sama, moga Kaisar selamat. Moga Tuhan buka pintu hati dia untuk pulang."

Jamilah angguk. Kepalanya longlai mencari bahu Rasyad.

"Mak! Jom berbuka!" Nyaring suala Sheila dari dapur. Jamilah kerling Rasyad, isyarat turun bersama berbuka.

Di dapur, Sheila tangkas. Kata Rasyad, saling tak tumpah Tok Wan. Masak apa saja, semuanya boleh. Jamilah bangga dengan anak sulungnya.

Jamilah buka tudung saji. 

Baru Bangun

Sebab itu hanya surih tampal nota dari Facebook.

Pergi baca blog lain dahulu. Saya mahu sambung. Lima minit.

Beca Terbang Sinari Lebaran TV3

Ini nota yang saya muat naik di Facebook pada 5 September, kira-kira jam 8.13 pagi. Maaflah, bahasa rojak. Biasalah, di Facebook.

Saya tertarik dengan iklan Hari Raya terbitan TV3 tahun ini. Ramai sekali yang membincangkan imej-imej yang dipaparkan dalam iklan tersebut. Kepada yang belum tonton, sila tunggu iklan tersebut muncul. Kalau malas tunggu, cari di Youtube. Macam biasalah.
Secara ringkas, iklan tersebut memaparkan seorang tua bersongkok putih dan berambut putih mengajak anak-anak kecil (presumably his grandkids, doesn't matter anyway) menaiki beca berkerusi merah dihias lampu-lampu kecil. Apabila anak-anak itu naik, seraya beca terbang ke udara - meneroka indah langit malam ditabur bintang.
Beca terbang melintasi Jambatan Pulau Pinang dan Menara Condong Teluk Intan, among others, dan akhirnya tiba ke destinasi sambutan hari raya. Ramai sekali saudara-mara bergembira. Bersalam-salaman dalam indah cahaya, kebanyakannya dari pelita yang bersinar dari dalam kelopak teratai.

4.9.10

Kispen 16: Komedi

Dengan tiba-tiba, negara itu sunyi. Tunabunyi. Melainkan siren polis bersipongang tanpa henti. Ramai yang diberkas. 

Malam itu semua lokap polis sesak padat. Suspek rogol, curi, bunuh, samun, raba - semua beri laluan. Ramai lagi yang mahu masuk. 

Ada yang berbaju pancawarna. Ada yang muka berbedak tebal. Celoreng aneka gaya. Hidung bulat merah. 

Ada yang biasa-biasa saja. Berkemeja T. Malah dua daripadanya menggayakan padanan singlet-pelikat. 

Malam itu paling riuh di semua lokap. Ketawa sampai pagi. Polis sudah tiada upaya melarang. Sekali ditegah, seribu hilai menyergah.

Di negara itu, menteri perdana sudah bersabda, "Di negara ini, jenaka dan ketawa tanpa lesen adalah jenayah! Kalau satira pada kerajaan - hukumnya mati mandatori!"

Sekalian badut, pelawak, penulis lakon layar komedi, pemilik saluran televisyen bertema jenaka, marhaen gembira, orang gila-gila bahasa - semuanya sudah ditahan.

Bertemu di lokap, masing-masing bertarung siapa pencetus tawa paling cekap.

Kerana di luar sana mereka berjenaka tanpa lesen. Kerana mereka mentertawakan kerajaan.

Kispen 15: Nang Awi

Petang itu manusia kembali sesak di pasar Melaka. Kumpul ramai-ramai. Dengar ramai-ramai. Konon di pasar muncul seorang pemuda kerjanya tiada lain, hanyasanya mengeji dan mencarut.

Di tengah-tengah alir manusia sibuk menjengah dan memunggah barang jual beli, pemuda itu menimbunkan tanah sehasta tinggi agar tampak dirinya pada semua.

Pemuda itu berdiri di atas timbun tanah yang dipadat-padat, bagai peteranalah layaknya dalam fikir beliau. Tiga orang budak pegun di hadapan sambil menunjal timbun tanah.

Dengar sini jangan buat tuli
Aku nak cerita orang yang kubenci
Ramai perangai bagai babi
Sudahlah bebal berlagak bestari

Dua orang wanita separuh usia membetulkan kelubung batik sambil menggeleng-geleng kepala. Tangan anak diheret perlahan. Gila. Masih ramai yang berkerumun menunggu hamun.

Dengan siapa ibumu berkapuk
Mani dikandung keluar beruk
Di rumah malas terhangguk-hangguk
Di pasar Portugis girang merampok

"Diamlah, bangsat!" Jemang, penjual ikan, menghanding seekor selar kuning ke muka pemuda itu namun sempat dielak. Kecai selar kuning menabrak tiang pangkin.

Nota Ramadan #27

Matahari terik. Namun cuaca redup. Udara dingin. Mungkinkah semalam?

Ah, itu bukan urusan kita. Itu urusan Dia. Kita buat sahaja apa yang mampu. Usah culas. Malam-malam terakhir meraih belas.

Nota Ramadan #26

Cuti sekolah. Cuti IPT. Cuti pejabat. Sudah ramai yang mula berpusu-pusu pulang ke kampung halaman. Keseronokan menyambut Syawal semakin membuak-buak.

Tetapi, yang lebih saya rindukan ialah kemeriahan berpuasa bersama seluruh anggota keluarga.

Memang klise sekali apabila kita melabelkan persiapan Syawal sebagai 'sederhana'. Persoalannya, benarkah sederhana?

Saya boleh katakan keluarga saya memang sederhana dalam menyambut hari raya. Seingat saya, boleh dihitung dengan jari berapa kali kami menukar langsir atau perabot.

Guna yang lama saja. Jarang sekali ditukar.

Saya juga tidak pernah ada pengalaman berjaga malam adun-uli-bentuk-hias kuih raya. Waktu saya di sekolah rendah, adalah buat sikit. Itu pun waktu petang sebelum berbuka. Kuih-kuih ringkas.

Sekarang, semuanya beli. Itu pun sedikit. Kata Abah, tak perlu beli banyak-banyak. Membazir. Kita yang banyak berjalan ke rumah orang. Orang datang ke rumah kita pun, selalunya jamah nasi.

Saya cemburu juga mendengar cerita kawan-kawan yang meriah sekali persiapan Syawal mereka. Pendek kata, minggu terakhir Ramadan itu memang berhabis untuk Syawal.

Entahlah. Tahun ini pun sama. Sederhana. Kata Mama, yang lebih penting ialah to end Ramadan on a high note. Saya suka.

Saya cuma kongsi cerita. 

3.9.10

Lepas Gian

Apabila ada anggota parti yang beria-ia menyambut ulangtahun pemimpinnya keluar dari penjara, nyatalah parti tersebut masih belum keluar dari kepompong penyembahan individu. Untuk rakyat, konon.

(Ya, saya pernah beritahu saya sudah tidak mahu tulis tentang politik. Sekali-sekala, tak apalah.)

Mencari Peribadi

Saya pernah rasa resah. Amat bimbang. Kadangkala sudah tidak kenal siapa diri yang sebenar. Hadap cermin pun tak guna. 

Kalau nak baca buku motivasi, saya malas. Banyak sangat teknik. Kenal diri. Teroka peribadi. Siapa anda? Faktor X. Faktor W. Rimaslah. 

Saya mahu dan saya perlu cara mudah untuk saya kembali tahu siapakah diri yang sebenar. Kata orang, kalau tak kenal diri, bagaimana mahu hidup berdikari?

Kispen 14: Nombor Lain

(Kispen 13: Nombor)

03 September 2012

Pedih. Raqam cuba lagi. Pedih. Cahaya berlumba-lumba tikam mata. Entah berapa lama dia sudah lena. Lengan, bahu, tengkuk - semuanya sakit.

Raqam cuba lagi. Kali ini perlahan-lahan. 

Siling kapur bermotif abstrak. Kerawang entah apa jadi sempadan antara siling dan dinding. Lampu bentuk kubah terbalik di tengah-tengah di siling. Terang.

Raqam bangkit perlahan-lahan dan bersandar di kepala katil. Selesa betul tempat tidur ini, bisik Raqam. Punggung aku tenggelam semahu-mahu. Bantal gebu macam bebola ikan Letchumi.

Kerling arloji. Pukul lima. Bodoh. Dari tadi pukul lima.

"Di sini, Tuan Tama-Tama." Raqam terdengar suara. 

Dia bingkas berdiri di bucu katil. Rupanya ada lorong kecil di hujung bilik. Ada pintu terkuak di hujung lorong.

Dua orang lelaki tubuh-tegap-sasa-kaca-mata-hitam-busjaket masuk diikuti tiga orang berkemeja putih berlogo kecil di dada.

Di belakang mereka, seorang lelaki separuh abad berkemeja T. Perut bocah menolak-nolak fabrik. Raqam tahu siapa ini. Akhir sekali, dua orang lagi lelaki tubuh-tegap-sasa-kaca-mata-hitam-busjaket.

Berbaris macam orang mahu naik bas pula. Raqam senyum. Dia masih terpinga-pinga.

"Kau tahu kenapa kau di sini?" Lelaki Sasa 1 beri isyarat agar Raqam duduk. Dia pilih tilam tenggelam punggung. Yang lain berdiri di ruang santai sebelah kanan katil.

2.9.10

Nota Ramadan #25

Seperti baru semalam saya menonton Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan tarik permulaan puasa.

Seperti baru semalam saya bergulat dengan kantuk demi sepinggan mi segera dan dua gelas air kosong.

Seperti baru semalam menahan kecur walau di hadapan mata hanyalah semangkuk cendol.

Hari ini orang sudah mula bising-bising tentang hari lain. Baguslah. Bahkan hari itulah menjadi tanda girang sesudah bertarung dengan syahwat.

Saya cuma mahu pesan pada diri sendiri, simpanlah sedikit rasa sayu dan syahdu pada bulan ini. Terawih yang masih bersisa, kerjakanlah.

Tahun hadapan, belum tentu ada masa bersamanya.

1.9.10

Kispen 13: Nombor

"Tiga! Satu! Enam! Tujuh!"

"Ya! Ya! Tiga! Ya! Satu! Ya! Enam! Ya! Tujuh!"

Raqam angguk-angguk. Di pinggir ruang parkir itu tiada siapa yang mengganggu. Aku buat kerja aku. Kalian semua rusuh naik kereta api. Eh, komuter. Eh, elarti.

Ah, samalah. Sama lambat.

Mata Raqam terkejip-kejip. Dikerling arloji kecil terlilit kemas di pergelangan tangan. Pukul lima. Bodoh. Dari tadi pukul lima. 

Raqam pusing jarum pendek merah jambu berhias kartun entah apa. Langit merah kelam begini tak mungkin pukul lima.

Bodoh. Dari tadi pukul lima.

Pang! Seekor nyamuk kecai di lengan Raqam. Garu. Bintat. Sudah lama Raqam tunggu Alan. Dia kata dia mahu datang lagi hari ini. Mahu nombor.

Nota Ramadan #24

Sahur. Bahagian Dua.

Air kosong. Roti kismis.

Moga-moga tak terlena sebelum Subuh.

Kispen 12: Pisau

Tangan Darwina menggeletar. Kilau mata pisaunya sudah kusam dilitup darah. Panas air mata di pipi. Puas. Gerun. Lega. Hiba.

Sudah lama dia bertahan. Siapa mampu sabar andai mata sendiri tertancap pada henjut suami bersama betina di ranjang sendiri?

Mata dan hati bagai dicacah. Jijik tak terucap. Dengus itu milikku. Keringat itu untukku. Titis baka itu buatku. Bukan jalang itu!

Darwina melangkah lemah ke bilik air. Pisau dibalut kemas dengan tuala putih, disumbat ke dalam plastik hitam. Letak di pinggir singki. 

Darwina pulas kepala paip bertanda merah. Kepala biru dipulas jua sedikit. Biar suam. Jari demi jari digenyeh. 

Satu demi satu rodokan menjelma di mata. 

Nota Ramadan #23

Sahur. Bahagian Satu.

Gardenia Twiggies Cream Dream Vanilla.

Dua biji. 

Oh, sudah September rupa-rupanya. Moga Tuhan kurniakan ide berpanjangan untuk mengarang dalam ST. Gembira berkongsi fikir dan rasa bersama kalian.

Nota Ramadan #22

Terjaga sekitar jam satu dua puluh lima pagi dan meraikan heningnya menyebabkan saya serta-merta teringat seorang guru saya dahulu.

Dia bukan guru agama, tapi guru kimia. Namun, beliaulah yang tidak pernah lekang mengejutkan penghuni asrama untuk solat Subuh. 

Krit. Krit. Bunyi perlahan hon Honda EX5 (kalau tak silap) beliau sudah cukup membuatkan rakan-rakan dan saya bingkas seraya berjejal ke bilik air. 

Kemudian solat berjemaah. Tahan kuap. Tahan kantuk.

Begitu jua qiamullail. Kalau sudah ada program, memang beliau akan pastikan semua bangun. Semua ke surau. Biar dalam sengguk, perang dengan syaitan penggayut mata.

Bagus juga paksa begitu. Sekurang-kurangnya masing-masing ada pengalaman. Pernah bangun malam untuk istighfar dan sujud.

Sekarang, mana ada orang paksa. Jarang sekali berjaga malam untuk berhubung dengan Maha Pencipta. Malam-malam terakhir ini kita cuba sama-sama, ya?

Saya berkongsi pesan. Saya doa pada Tuhan agar dibuang jauh-jauh walau sekelumit lintas hati bangga diri. Buang jauh-jauh.