1.9.10

Kispen 12: Pisau

Tangan Darwina menggeletar. Kilau mata pisaunya sudah kusam dilitup darah. Panas air mata di pipi. Puas. Gerun. Lega. Hiba.

Sudah lama dia bertahan. Siapa mampu sabar andai mata sendiri tertancap pada henjut suami bersama betina di ranjang sendiri?

Mata dan hati bagai dicacah. Jijik tak terucap. Dengus itu milikku. Keringat itu untukku. Titis baka itu buatku. Bukan jalang itu!

Darwina melangkah lemah ke bilik air. Pisau dibalut kemas dengan tuala putih, disumbat ke dalam plastik hitam. Letak di pinggir singki. 

Darwina pulas kepala paip bertanda merah. Kepala biru dipulas jua sedikit. Biar suam. Jari demi jari digenyeh. 

Satu demi satu rodokan menjelma di mata. 

Yang pertama di leher. Mesti pantas. Suami cuba bangkit melawan, menggapai tangan. Pisau dibenam di dada. Merah membuak-buak. Benam lagi.

Tiga. Empat. Lima.

Tangan suami layu. Wajah betina jalang menahan ghairah terlintas. 

Benam di perut pula. 

Enam. Tujuh. Lapan. Hela nafas. Sembilan.

Suami sudah kaku. Rengek rintih betina jalang bersipongang. 

Benam lagi. Kali ini di situ. Biar lumat za--

"Sayang, tak mahu tidur lagi?" Amrin mengucup lembut leher Nurah. Taipannya terhenti seraya ditutup skrin komputer riba. 

"Abang tidurlah dulu. Saya dah nak siap ni."

"OK."

Nurah kuap. Esok boleh sambung lagi. Dia meninggalkan ruang tulis dan kembali ke kamar. Amrin sudah nyenyak.

Nurah baring dan hela nafas panjang-panjang. Esok penerbit mahu lihat draf pertama. Dia meraba-raba bawah tilam. 

Walau tersarung kemas, terasa jua dingin mata pisau. Pertama, leher.

5 ulasan:

  1. abg bonsai -
    1. kalau lah ini literally cerita yang ingin di ketengahkan, meremang bulu roma .

    2. kalau lah ada maksud 'tersembunyi' di sebalik cerita ini, maka saya percaya itu satu cerita yang menarik.

    BalasPadam
  2. prince rayme lala: Macam biasalah Rayme, pastikan hanya bulu roma saja yang meremang ya? Haha.

    BalasPadam
  3. persis Repo-men ah!

    zap zap zass!

    BalasPadam
  4. Repo-men tu siapa? *google* Oh, OK. Dah tahu. Hahaha.

    BalasPadam
  5. ngeri~minta dijauhkan semuanya~ huhu

    BalasPadam