21.12.11

Kispen 87: Tumpang

"Din, kata nak tumpang?" Azman capai kunci kereta. Sekali-sekala matanya mengerling skrin iPhone 4S yang baru dibelinya minggu lalu. Sanggup beratur enam jam, demi buah tangan terakhir mendiang Jobs.

"Kejap. Aku nak copy satu file lagi." Jari Bidin menari di papan kekunci.

15 minit berlalu. Azman beredar. Teman sekerjanya dinanti di ruang parkir.

"Sorry. Aku nak settle semua malam ni."

"No problem." Azman hidupkan enjin kereta. Dia mengerling ke arah Bidin. Sesudah tali keledar dipasang, barulah kereta diundur.

Kring! Kring!

Telefon Azman berdering. Segera Bluetooth headset disumbat ke telinga.

"Hello."

"Man! Kau dah gerak belum? Aku kat ofis lagi ni. Tunggu lima minit lagi boleh?"

Azman tak ingin menoleh. Dari hujung mata, terlihat penumpangnya tersenyum.

18.12.11

Hanya Sepuluh 88

"Pilihan raya hampir tiba."

"Tenang saja. Biar musuh tampak berlaga."

17.12.11

Kispen 86: Kebal

"Tak minum dulu, paknya?" Kening Esah berkerut. Jarang benar suaminya keluar awal pagi. Orang kampung selalunya berubat kala langit sudah hitam.

"Saya nak cepat ni." Ayob singgah di pinggir meja makan. Cawan berisi kopi panas dicapai. Sekali hirup. Cawan kontang.

"Awak ke rumah siapa?"

"Rumah Tam. Tam anak Pak Teh Punai. Katanya terkehel. Jatuh tangga."

Esah beredar dari dapur. Sela sejenak, dia kembali dengan sekaki payung.

"Bawa ni. Lebat hujan kat luar tu." 

"Dah berapa tahun kita bernikah? Awak tak kenal lagi Bomoh Akob? Saya ni tikam pun tak lut, kebal segala, kebal semua. Setakat hujan, tak payah berpayung."

"Yalah." Esah senyum dan geleng kepala.

Sekelamin bersalaman. Esah kucup tangan Akob. Seperti selalu. Setiap hari, sejak 20 tahun lalu.

"Satu lagi bang,"

"Apa lagi?"

"Ubat darah tinggi awak tu. Dah makan ke belum?"

14.12.11

Hanya Sepuluh 87

Semakin hampir tarikh memilih ketua, semakin buruk diserlah laku rupa.

Hanya Sepuluh 86

"Mama, ni Papa punya kan?" 

Mama pengsan. Anu lupa dibuang.

Kembali

Entah. Saya pun sudah lupa kali terakhir menulis di sini. Beberapa kali blog ini sudah mati, tapi saya tak pernah jemu menghidupkannya kembali.

Kerana rajuk aksara, tiada siapa peduli.

Salah Taip bernyawa kini.

Debu malas terlalu tebal berkapuk.

13.8.11

Kispen 85: Kereta

"Ibu, ni tahun lepas punya kan?" Farehah cebik bibir sambil belek langsir di ruang tamu. Takbir raya sayup bersipongang dari surau lama singgah ke telinganya.

"Ya. Kenapa?" Haidar pura-pura tak peduli. Tangannya masih sibuk memindahkan biskut dari kotak ke balang kaca warna-warni.

"Kenapa tak tukar?"

"Entah. Tanya ayah kau." Haidar tutup balang pertama yang penuh. Biskut emping jagung bersalut madu. Matanya sekali-sekala menjeling suami, Jalal, yang tenang menghirup teh sambil mengisi sampul duit raya. Rasa geram mendongkol.

Keesokan pagi, sesudah solat Subuh, Jalal sekeluarga bersalaman. Ucap maaf saling berganti.

"Eh? Mana ketupat, kuih semua? Kan awak dah siapkan semalam?" Jalal ternganga setibanya di dapur. Meja makan kosong.

"Oh, ya. Saya dah hidang semua dalam kereta baru awak. Pergi la, beraya kat dalam tu. Rugi beraya dalam rumah, kalau duit habis beli kereta!" Jawab Haidar penuh puas.

Takbir raya yang sayup bersipongang hampir ditelan nyaring suara Haidar.

9.8.11

Nota Ramadan #42

Sudah dua hari berturut-turut terlepas sahur. Ini tidak bagus. Tidak bagus.

7.8.11

Ludah Langit

Petang Ahad yang malas dihabiskan dengan menonton filem Heart, lakonan Nirina Zubir, Irwansyah, dan Acha Septriasa.

Ya, filem itu sudah lama kesohor. Saya saja yang ketinggalan, baru sempat menonton.

Sisi romantisnya tipikal, tapi berkesan. Dilema memilih dua manusia, cumbu cinta atau teman setia. Penyakit kronik jangan lupa.

Ironinya, saya kerap benar memperolok dan mengejek teman-teman yang sentiasa meladeni filem dan novel sebegini. Mass-produced love stories.

Tapi, saya tidak boleh menipu diri dan berasa sezarah haru dan hiba ketika menonton adegan meruntun jiwa. Bahawa Tuhan sejak azali menanam benih cinta dalam hati kita semua.

Saya berkira-kira, molekkah jika saya buat karya eksperimen - sebuah novel cinta?

Ada teman karib dan rakan Twitter yang mengusulkan. Setakat ini, masih dalam neraca minda. Belum tentu hujung pangkalnya.

Cuma andai dikarang, saya akan mengetawakan diri saya sendiri seumur hidup. I have to eat my own words, and so far, I'm not up for it.

Tunggulah.

Kispen 84: Mainan

Bunyamin dan anaknya, Yusri, berpimpin tangan ke kaunter. Pelayan dengan tanda nama 'Melissa' tersenyum manis. Soalan pertama, mahu makan di sini atau bawa pulang. Bunyamin mengesan alun sinis dalam suara Melissa.

Mentang-mentang bulan puasa.

"Take away, please." jawab Bunyamin. Dia mengerling jam tangan - 1:45 petang.

Melissa senyum lagi. Kali ini dia bertukar pandang dengan rakan di kaunter sebelah. Kening diangkat, menghantar tawa dalam hati.

"Yus nak Happy Meal yang mana?" soal Bunyamin sambil pegang bahu anaknya.

"Mana-mana pun boleh. Papa yang nak makan, kan? Yus nak toy tu je."

Bunyamin kelu. Suara nyaring Yusri mengundang pandang seisi restoran.

Nota Ramadan #41

Salah satu tabiat Abah waktu berbuka, makan kurma dan kuih dengan segelas air suam dan terus solat Maghrib. Sesudah itu, barulah dia menjamah hidangan utama.

Dia pantang benar kalau saya dan adik-adik makan nasi sebaik saja azan berkumandang.

Malah, andai sesiapa dijemput berbuka di rumah, tetamu perlu mematuhi rutin itu. Walau selazat mana pun hidangan utama, mesti tunggu.

Andai tidak berbuka puasa di rumah, saya selalu langgar pantang Abah. Saya makan apa saja saat Maghrib menjelang.

Hasilnya?

Apabila saya dihurung culas untuk solat atau termengah-mengah ketika sujud, saya terlihat wajah Abah tersenyum sinis.

6.8.11

Nota Ramadan #40

Entri ini ditaip kira-kira lapan minit sebelum iftar.

Masih terngiang-ngiang di telinga saya sepotong ayat dari khutbah Jumaat semalam. Kata khatib - perjuangan melawan nafsu adalah rahsia antara hamba dan Tuhannya.

Sehingga kini saya masih terpana, mencari maksudnya.

Ah, aroma murtabak dan mi goreng semakin galak menerawang. Kita jumpa lagi ya?


5.8.11

Nota Ramadan #39

Pembaca setia Salah Taip sedia maklum, saya memang malas kemas kini blog ini. Jadi, kalau kalian tertanya-tanya mengapa ada sampai lima entri semalam - saya tidak ada jawapan.

Barangkali kerana enaknya cucur udang yang saya nikmati sewaktu buka puasa.

Boleh jadi udara semalam kurang hingar.

Atau saja Ramadan menghadirkan tenang yang manis, untuk patah kata dikarang tulis.

Ini mungkin khayalan saya semata-mata, tetapi langkah masa, andai kakinya pada detik saat - pantas benar berlari pada penghulu segala bulan ini.

4.8.11

Hanya Sepuluh 85

Bisakah kita menari semula, atau lantai tarinya telah retak sejuta?

Hanya Sepuluh 84

Saya, sang jahil, bertanya: bolehkah diintip, dirusuh rumah ibadah lain?

Kispen 83: Mertua

"Ahhh!" Ikmal terjaga. Tubuhnya lencun, peluh di segenap liang roma.

Pintu biliknya terbuka. Salina meluru masuk.

"Sayang dah sedar? Rehat okey." Salina duduk di pinggir katil. Ikmal baring semula perlahan-lahan. Nafasnya naik turun, melaju. Tangan suaminya dipegang, dielus perlahan.

"I had a bad dream. Saya mimpi mak awak datang, then kita gaduh dengan dia. Pasal tanah tu. Lepas tu, saya...saya...saya tikam dia."

Salina tersenyum.

"Awak bukan mimpi. Lepas awak tikam dia tadi, awak pengsan. Darah banyak sangat." Salina ketawa kecil.

Ikmal kaget. Semakin lebar Salina tersenyum, semakin meremang bulu tengkuknya.

Hanya Sepuluh 83

8TV, bukankah fitrah media, ramai memerhati? Waspada, jangan main api.

Nota Ramadan #38

Setiap kali tiba waktu sahur, saya rasa malu pada Tuhan. Malu yang sungguh-sungguh. Terutama sekali di penghujung sahur. 

Saat azan Subuh berkumandang.

Kenapa?

Sebab hanya pada bulan Ramadan saya tekun merenung muka jam memastikan waktu Subuh benar-benar tiba lantas tunggang tunggit bersolat.

Kalau tidak, ikut bunyi jam. Kalau jadi manusia, maka awal. Kalau jadi syaitan maka lewat atau terlepas langsung.

Saya malu.

Semoga Ramadan terus mengajar kita. Semoga kita tidak pernah jemu memohon ampun pada Tuhan.

3.8.11

Kispen 82: Sorok

Kasyful perlahan-lahan mendekati kabinet dapur. Pintu kabinet di bawah sinki dibuka.

"Ha!" Kasyful melompat-lompat tanpa henti. Dia tahu adik bongsunya, Anas, mesti sembunyi di situ.

"Tak aci. Along tengok masa Adik datang sini kan?" Anas cebik bibir sambil mengekori Kasyful.

"Mana ada. Along tutup mata tadi."

Dua beradik tiba di kamar Kasyful.

"Angah mana?" Anas melompat ke atas katil, berguling-guling. Dia tahu abangnya, Mursyid, pandai bersembunyi. Jarang benar tewas.

Kasyful tarik lengan Anas. Pantas dia berbisik, "Along dah nampak dia. Ada bawah katil. Biar dia kat situ lama-lama."

Tubuh Kasyful tegak di pinggir katil. Dia berdehem dua kali, tanda lakonan bermula. "Entah. Dah puas Along cari dia satu rumah. Jom kita masuk bilik Papa."

"Jom." Anas tersengih-sengih tahan tawa.

Belum sempat mereka melangkah, pintu kamar terbuka.  

"Angah kat belakang langsir kat ruang tamu la. Lama dah tunggu. Along tak jumpa pun." Mursyid tercegat di depan pintu dengan senyum melebar.

Along dan Adik kejur, kaku. 

Nota Ramadan #37

Waktu berbuka puasa semalam, mata saya tertumpu pada sebuah meja yang dihuni tiga kanak-kanak. Dua lelaki, satu perempuan.

Riuh, masing-masing berebut kurma, ayam goreng, dan burger. Lebih comel, mereka hanya mahu cup saja. Bukannya makan pun.

Semuanya tertib menunggu azan menerobos udara.

Sebaik sahaja suara bilal bergema, mereka tadah tangan beramai-ramai. Abang paling sulung, pada hemat saya, mulut kumat-kamit baca doa.

Dan mereka jamu selera, tanpa suara. Hanya sekali-sekala tawa terselit.

Oh ya, mereka ditemani sang ibu yang mengatur segala. Serta-merta saya teringat Mama.

Ramadan, intim benar dengan manusia bergelar ibu. Yang paling tabah mengusir kantuk dari mata, demi anaknya terjaga dan bersahur. Yang paling gusar akan juadah yang dikecap anaknya di perantauan.

Maka ayuh, kita pulangkan selaut kasih ini, paling tidak, dengan setitis ingat.

2.8.11

Nota Ramadan #36

Saya cuba menghindar rasa cemburu beberapa jam sebelum berbuka semalam, tapi gagal. Hati saya diserang iri bertalu-talu.

Cemburu dengan kecekapan teman saya, Azmi, memasak.

Semalam perut saya diisi galak dengan gulai ayam dan ikan goreng ala-apa-saya-tak-tahu. Sekali tambah, berkali-kali kenyang.

Dia cekatan benar di dapur. Dua tiga kali juga perut saya meronta dan merusuh setiap kali aroma bugar masakannya terbang ke ruang tamu.

Terima kasih teman.

1.8.11

Nota Ramadan #35

Terlepas sahur.

Nota Ramadan #34

Ini entri Nota Ramadan pertama untuk 1432 Hijri. Semoga kali ini Ramadan mengajar kita semua tentang kerendahan hati.

Saya tidak setuju, malah kurang selesa apabila ramai yang cuba melabel Ramadan sebagai bulan 'berlagak alim', yakni Muslim tiba-tiba insaf dan rajin beribadah.

Pada hemat saya, biarlah kita mula merapatkan diri dengan Sang Pencipta walau apa cara sekali pun. Lewat atau cepat, bermusim atau tekun - tidak perlulah pantas kita menuding jari.

Malam terlalu lewat, sehingga merangkak ke awal pagi. 

Menu sahur saya masih kosong. Tengoklah, saat terjaga kelak.

Buat semua pembaca Salah Taip, selamat berpuasa!

31.7.11

Hanya Sepuluh 82

Sepurnama tanpa syaitan.

Hanya kita, gejolak jiwa dan rahmat Tuhan.

Kispen 81: Rindu

"Mak, dah nak berbuka ni." Adila separuh melaung dari dapur. Lengan bajunya masih tersingsing.

Dua-dua Abang suka, bisik hati Adila. Dia tak sabar menunggu senyum suaminya, Hatta, sesudah menjamu selera dengan juadah kegemaran.

Nik Leha tangguhkan kerja-kerja menjahit. Menantunya yang seorang ini rajin benar, bahkan cekatan di dapur. Kalau dia yang memasak, Nik Leha biarkan saja. Adila biasanya enggan dibantu.

Tiba di dapur, Nik Leha tercengang merenung meja makan.

Lima kerusi, lima mangkuk berisi pengat pisang. Di tengah-tengah meja, sepinggan onde-onde yang diapit dua piring, masing-masing berisi sotong sumbat dan popia basah.

"Ala kadar, Mak." Adila tersenyum, seraya menjemput Nik Leha duduk.

Nik Leha masih tercegat. Dia lantas memeluk Adila erat-erat dan menangis semahu-mahunya.

Di matanya masih terbayang tanah kubur anak dan dua cucu perempuannya yang masih merah. Kemalangan itu mengubah segalanya.

30.7.11

Puasa Dah Dekat

Ramadan hampir tiba. Maknanya topik "Nota Ramadan" akan kembali aktif. Nantikan entri-entri bersadur erang lapar dan (barangkali) sehama insaf, bulan puasa nanti.

Kispen 80: Upah

Kamalia merenung wajah Thaqif, anak sulungnya yang tekun menonton Discovery Channel. Kepalanya tersandar pada perut bocah Lokman yang sudah lena.

Bahu Thaqif dicuit.

"Kenapa, Ma?"

"Along kena puasa esok. Boleh?" Kamalia tersenyum. Thaqif beralih dari hadapan televisyen, menghadap ibunya.

Tiada jawapan dari Thaqif.

"Papa pun puasa, tau?" Telunjuk Kamalia tepat membidik Lokman yang sudah mula bergema dengkurnya.

Thaqif masih membisu.

"Okey. Macam ni, Thaqif puasa sehari, Mama bagi hadiah RM2."

Thaqif geleng.

"RM5?"

Geleng.

"RM10?"

Geleng.

"Thaqif nak apa, sayang? Cuba bagitau Mama." Kamalia usap kepala anak sulungnya.

"Nak pahala." Thaqif sengih paling lebar. Kedua-dua telapak tangan ditadah pada Kamalia.

Lokman terjaga.

Kispen 79: Akhir

"Dah?" Reza angkat kening. Ini bukan kali pertama. Rutinnya sebagai pengawal penjara, sama. Serah borang pada banduan untuk diisi. Biar mereka berfikir dalam tenang.

Memilih hidangan terakhir bukan mudah. Seolah menghimpun segala mimpi ke alam nyata.

"Dah." Zali hulur borang. Dia pasti yang dicoretnya tepat. Reza baca semula setiap ruang yang terisi. 

Keesokan harinya, Reza tiba di bilik menunggu. Zali berdiri kaku menghadap dinding. Saat-saat hujung sebelum ke tali gantung.

"Makan cepat." Dulang dari tangan Reza mendarat ke meja di tengah-tengah bilik. Dua lagi pengawal bersenjata di pintu memerhati tanpa kerdip.

Sekeping roti bakar sendirian di tengah-tengah dulang dengan wajah diselaputi mentega kacang.

Zali dekati meja. Roti dicapai, dilipat. Semerta hidangan terakhir lenyap. 

Tiba-tiba wajah Zali merah padam. Nafasnya tersekat-sekat. Tangannya menggenggam leher. Zali rebah dan menggelupur.

"Panggil doktor cepat!" Reza mengarah. Salah seorang pengawal bersenjata berlari keluar. "Kau allergic ya? Kenapa kau minta makan benda ni?"

Zali cuba bersuara, namun hanya bibir menutur makna. Kalau aku kena mati, biar aku sendiri yang ambil nyawa. Bukan kau. Bukan siapa-siapa.

29.7.11

Nota Debat

Saya telah memindahkan semua entri berkenaan debat dan pengucapan awam ke blog Nota Debat. Semoga saya lebih rajin (angan-angan) menambah sedikit demi sedikit sehama pengalaman saya untuk para pembaca.

Jemput singgah!

27.7.11

Kispen 78: Copet

Kamsan meraba kaki lima dengan hujung tongkat. Dia sudah tiba di pinggir jalan. Telinganya menjala segala bunyi. Tiap derum berbeza. 

Mercedes S320, Honda C70, Perodua Alza - semuanya ada.

"Biar saya tolong pakcik, ya."

Kamsan mengesan sentuhan di tangannya. Ada yang mahu membantunya melintas jalan. 

"Terima kasih, nak. Nama siapa?"

"Talib."

Lampu isyarat berbunyi, tanda pejalan kaki boleh melintas. Telinganya menjala segala bunyi. Tiap derap berbeza.

Manolo Blahnik, selipar getah, Vincci - semuanya ada.

"Dah sampai, pakcik."

Kamsan pantas mengangkat tongkat. Wajah Talib dilibas sekuat hati. Dia rebah. Kamsan sebat tangan Talib kiri kanan. 

"Kenapa ni pakcik? Gila ya?" Talib mengerang tahan pedih.

"Aku ni buta, bukan bodoh." Kamsan tusuk hujung tongkatnya ke halkum Talib. "Bagi balik dompet aku, sebelum aku panggil orang kat sini belasah kau."

Hanya Sepuluh 81

Tahniah. Kalian telah buktikan, bahawa empayar muda ini terus bernyawa.

22.7.11

Hanya Sepuluh 80

Bahawa mata pembicara paling petah. Tiap renung punya kias kisah.

Hanya Sepuluh 79

"Pernah mencuri?"

"Tak pernah. Haram."

"Pernah download MP3 percuma?"

"Erm..."

14.7.11

Kispen 77: Motivasi

Wajdi betulkan kotnya. Dewan Merdeka ditenung yakin. Segenap kerusi terisi. Dia semakin masyhur, kini sesi motivasinya perlu dibikin di pusat-pusat konvensyen utama, termasuklah Pusat Dagangan Dunia Putra.

"Assalamualaikum dan selamat malam semua." Wajdi buka gelanggang bicara.

Ucap balas salam bergema. Seribu doa, sejuta wang.

"Malam ini kita semua akan mengembara, kita semua akan mengenal?" Wajdi dekatkan telapak tangan ke telinga, isyarat pinta jawapan paling gempita.

"Kuasa minda!" Dewan Merdeka bergegar. Sekalian pengunjung jawab dalam sorak.

"Kita mahu hidup bahagia dengan keluarga, kita mahu senang dalam kerjaya, kita mahu segalanya." Wajdi turun semula ke pentas utama sesudah berlegar dalam kalangan pengunjung.

"Sebelum saya mula, ada sesiapa yang nak tanya soalan?" Wajdi senyum lebar. Para pembantunya mula berlegar dalam dewan, bawa mikrofon.

Seorang wanita berdiri di barisan paling belakang, paling atas. Wajdi kerut dahi, cuba melihat wajahnya dari pentas.

"Boleh perkenalkan diri?"

"Abang tak kenal saya? Tak nampak ya dari bawah tu? Kenapa abang tinggalkan saya? Tinggalkan anak-anak? Lepas tu nak mengajar orang lain sekarang."

Seisi dewan sunyi.

13.7.11

Hanya Sepuluh 78

"Bang, derma."

Aidid renung pengemis, buka beg. "Ni kawasan aku."

Hanya Sepuluh 77

Makin dicari jalan ke hatimu, makin aku sesat. Sayang, pandulah.

12.7.11

Hanya Sepuluh 76

Lina asah pisau, siang daging. Suaminya dalam lima baldi, segar.

Kispen 76: Racun

Sheikh Nawar mundar-mandir. Tiadalah hari melainkan hari ini yang benar-benar membawa walang dalam segenap sudut hati, malah terserlah pula muram durja.

"Akan mengapakah wajah Sheikh sedemikian? Khabarkan pada hamba, andai tiada usai masyghul di dada, setidak-tidaknya sanggup hamba menadah telinga." ujar Zamin, pengikut Sheikh Nawar paling setia.

"Semakin hari, semakin kurang pengikutku di sini. Apa yang kurang? Kuajar segalanya. Silat, tarekat, malah pahala mudah andai memujaku siang malam." kerut kening Sheikh Nawar makin ketara, ibarat dua ayam bersabung hampir bertemu paruh kedua-duanya.

"Tidakkah tiba pada pengetahuan Sheikh, bahawa Tuanku Sultan sudah bertitah bahawa tiada moleknya bergurukan Sheikh di bumi Melaka ini. Segala sesat, segala bangsat."

"Biadap!" Sheikh Nawar hunus keris ke udara. "Harus kita bertindak, jangan dibiar Tuanku Sultan bermaharajalela."

Malam itu, seluruh pengikut Sheikh Nawar berjejal umpama laut manusia di laman rumahnya. Ada juga yang tak ketahuan, sengaja mengekor dek dijanji orang jamuan percuma. 

Bahkan segenap pengikutnya tiada yang diam melainkan bertempik marah. Marah pada Sultan, marah pada dunia. 

"Dengarkan wahai pengikutku. Hanyasanya yang aku ingin khabarkan, bahawa seisi istana membenci kita semua. Kononnya kita pembawa faham sesat, kononnya aku mahu menjatuhkan Tuanku Sultan. Ini semua dusta!"

Sheikh Nawar. Sheikh Nawar. Sheikh Nawar. Laungan gegak gempita.

Zamin tampil dari dalam rumah dengan dulang berisi bekas air dan pisang rebus.

"Aku mahu kalian menjamu selera dahulu. Kemudian akan kukhabarkan apa yang perlu kita lakukan. Silakan." Telunjuk Sheikh Nawar menuding ke arah jujuk meja di pinggir laman rumah. Segala makanan yang terbayang di minda, terhidang di depan mata.

Namun pengikutnya tidak berganjak. Ajaran Sheikh Nawar, biar dia menjamah hidangan dahulu, barulah yang lain menyusul.

Dia reguk air perlahan-lahan, kemudian terbatuk-batuk. Darah hitam merah pekat terpercik keluar dari rongga mulut.

"Lihat! Lihat! Ini pasti angkara panglima rahsia Tuanku Sultan. Sanggup meracuni pisang rebusku. Ayuh sekalian pengikut, amuk ke istana. Merusuh ke sana!" Sheikh Nawar meramas dada, tersandar pada tiang rumah.

Pengikut Sheikh Nawar berlari keluar. Jamung, parang, tombak, segala dijulang. 

Kecuali seorang anak kecil yang tercegat di laman rumah. Matanya terkandung seribu soal.

"Wahai Sheikh yang hamba puja, kata Sheikh, Tuanku Sultan meracuni pisang rebus. Tapi, tidak pula hamba terlihat Sheikh menjamah pisang itu, melainkan seteguk air."

Zamin terlongo. Sheikh Nawar menusuk renung bengis padanya. Helah bahlul dipercayai sekalian pengikut, kecuali cilik paling pintar.

Hanya Sepuluh 75

Batil tetap batil, walau ada lebih batil, tak menafikan kebatilan.

11.7.11

Kispen 75: Adegan

Ruang tamu mulai penuh. Di tengah-tengahnya jenazah terbujur dalam kafan. Pengunjung mengelilingi jenazah, masing-masing tekun mengalunkan bacaan Yasin. 

Atau mana-mana ayat suci yang masih terlekat di cepu kepala.

Bacaan Yasin semakin nyaring. Isteri si mati menangis sedu-sedan sendiri, sambil ditenangkan teman dan jiran.

"Cut!" Brando angkat tangan. "Bagus. Bagus. Kita wrap dulu hari ni."

Anis lap air mata. Bukannya sukar menangis di depan kamera. Dia sudah mangli, bahkan digelar Ratu Air Mata Baru dalam gelanggang filem.

Pelakon tambahan bersurai. Anis mendekati tunangannya, Azril yang masih terbujur kaku.

"Baby, dah habis la." bahu Azril digoncang. Dia masih terbaring.

"Baby, jangan main-main. Tadi kata nak dinner sama-sama, kan?" Degup jantung Anis seraya deras. "Baby, bangun! Bangun!"

Anis menangis semahu-mahunya. Brando berlari masuk semula ke rumah. Jarinya pantas mengesan nadi di pergelangan tangan dan leher Azril. Telinganya mendarat ke dada Azril.

Azril masih kejur. Brando geleng kepala.

Malam itu, ruang tamu penuh semula. Jenazah sama di tengah-tengah para pengunjung.

Bezanya, alunan Yasin bergema tanpa kamera.

10.7.11

Kispen 74: Ros

"Dapat lagi, Amrul?" Hariz ketawa besar sambil lintas kubikel teman pejabatnya.

Amrul buntu. Entah berapa kali kepala digaru. Setiap kali dia tiba di pejabat, pasti ada sekuntum ros putih di meja pejabatnya. Puas dia bertanya rakan-rakan, tiada yang mengaku.

Sudah hampir dua minggu begitu. Kalau anginnya baik, dia bawa pulang ros ke rumah. Diletakkan dalam pasu kaca berisi air. 

Kalau tidak, Amrul buang saja ros putih ke dalam bakul sampah. 

"Nah, kopi." Hariz kembali ke kubikel Amrul. Gelas merah dengan tulisan Nescafe bertukar tangan. "Kalau kau nak tau siapa yang bagi kau bunga ni, senang. Malam ni kau stay kat ofis. Tunggu sampai dia datang."

Amrul terlongo. Ada juga benarnya. Lagi pun, dia sentiasa membawa pakaian lebih di dalam kereta.

Malam itu, Amrul menahan kantuk dengan menyemak kertas kerja dan mengisi beberapa borang penting. Malam berganti pagi. Tiada tanda sesiapa berkunjung.

Amrul terlena dalam gelita, yang tinggal cuma cahaya dari skrin komputer riba.

Waktu Amrul terjaga, ros putih terlayah tepat di depan mata. Namun kali ini dengan sekeping nota. Sambil menghalau kantuk, Amrul baca nota perlahan-lahan:

TERIMA KASIH. SAYA GEMBIRA SEPANJANG MALAM BERSAMA AWAK. 

9.7.11

Hanya Sepuluh 74

Hari ini sejarah. Doa saya pasrah, agar penghujungnya bukan merah.

7.7.11

Hanya Sepuluh 73

Angkara warna, senegara gila. Tak dihirau titah baginda, kuasa maharajalela.

Hanya Sepuluh 72

Rahsia bukan isi, namun dengan siapa kata dikongsi. Hubaya hubaya.

6.7.11

Kispen 73: Cari

"Kau kena cari Mulya. Ibu suka dia." Ruhani renung wajah anak sulungnya dalam-dalam.

"Itu semua cerita lama, Ibu. Zaman budak-budak. Dah 20 tahun saya tak jumpa dia. Entah-entah dia dah kahwin, dah beranak-pinak." Padli tunduk. Dia sudah habis daya bertegang urat dengan Ruhani.

"Ibu yakin, dia tunggu kau." Ruhani senyum lantas meninggalkan ruang tamu.

Keesokan harinya, Padli bingung. Rumah agamnya tiba-tiba saja diisi puluhan wanita jelita. Rata-rata berperawakan serupa - mata coklat, rambut lurus separas bahu, dan bertahi lalat di dagu.

"Apa semua ni, Ibu?" Padli tanggalkan tali leher. Lelahnya di pejabat masih belum surut.

"Mulya kamu ada kat sini. Cari cepat. Bawa mereka pergi taman belakang rumah. Interview satu-satu."

Padli geleng kepala. Pasti saja wanita-wanita ini datang. Siapa tidak mahu bersuamikan anak Tan Sri Aman dan Puan Sri Ruhani.

Padli tunggu seorang demi seorang tiba di buaian yang diteduhi pohon beringin. Mahu saja dia halau semua namun ibunya masih tercegat di pintu dapur. 

Gebang demi gebang. Padli sudah mual, sehinggalah tiba seorang gadis.

"Awak ingat kita lagi, Li?"

Padli terlopong. Sinar mata gadis ini benar-benar benar. Ini Mulya. Jantung Padli berdetak pantas.

"Li tak percaya, kan? Ini Mulya." ulas senyum Mulya seolah bercahaya.

"Tapi, ini mustahil. Tak mungkin." tangan Padli menggeletar.

"Apa yang mustahil?"

"Tak mungkin kau ada di sini, Mulya. Aku dah tanam kau di sana." telunjuk Padli tegak, menuding ke arah perdu pohon beringin. 

2.7.11

Hanya Sepuluh 71

Elok demam. Biar tubuh rehat, biar lebih acap Tuhan diingat.

1.7.11

Ganti

Versi bahasa Inggeris cerpen ini, The Replacement, telah disiarkan di Selangor Times keluaran ke-30 (24-26 Jun 2011). 

Aida hela nafas paling panjang. Baru dua minggu dia bekerja, ini kali kedua dia dipanggil masuk ke bilik bos. Kali pertama, sewaktu temuduga. Pintu bilik diketuk tiga kali. Rambutnya ditocang kemas.

“Masuk.”

Pintu bilik dibuka. Fakarudin sibuk menaip. Kerut di dahinya seolah berdenyut senada dengan hentaman jemari di papan kekunci.

“Tiya cuti hari ni. Ada emergency. So awak kena ganti dia. Ada interview.”

Kali ini dahi Aida pula berkerut. Setahunya, Tiya pengarang majalah Siasat – majalah terbaru terbitan Karangkraf. Tak ada kena-mengena dengan dia yang baru bertugas di Media Hiburan.

“Interview apa, bos?”

“Kamu ingat kes bunuh di Puchong tahun lepas? Abi Nazrel, dia tembak tiga orang perempuan dalam bas. And he was acquitted. Guna alasan insanity. Lawyer dia kata, dia ada skizofrenia. Dia dengar suara orang lain dalam kepala, katanya suruh dia bunuh perempuan tu semua. Saya dah e-mail semua details. Cepat. Interview ni sepatutnya minggu lepas dah siap.”

Hanya Sepuluh 70

Separuh tahun sudah berlalu. Kamu semakin manusia, atau seperti dahulu?

30.6.11

Kispen 72: Tahan

Punggung Rahim berdenyut-denyut. Perutnya pedih seolah ada tangan yang meramas-ramas ususnya. Sudah hampir sejam dia menahan tujah tinjanya.

"Cepat, Lan." dahi Rahim kerut sejuta. 

"Dah, dah. Dah sampai." Mazlan hampir tertawa sebaik sahaja stesen minyak terpapar di pandangan.

Rahim berlari keluar dari kereta. Dia meluru ke belakang stesen minyak. Tandas orang cacat berkunci. Sial. Bila-bila masa saja isi perutnya boleh berpindah, melumuri seluar.

Tandas lelaki penuh.

Rahim nekad. Dia masuk ke tandas wanita. Seorang perempuan lewat 40-an menjerit kecil. Dia berhenti membetulkan tudung sarat labuci. Dua remaja yang bertukar-tukar pelembap bibir cuma senyum sinis.

"Sorry. Sorry. Saya tak tahan." Rahim jerit dari dalam tandas. Lega paling langsai sebaik mencangkung.

Sambil khusyuk meneran, Rahim rasa diperhatikan lantas dia mendongak. Dua orang tukang cuci, lelaki dan wanita, terjulur kepala dari atas dinding tandas. Mereka kongsi tawa.

"Hoi! Tak malu mengintai orang berak!" Rahim cemas.

"Sorry, abang. Saya pun tada tahan. Mau tengok."

Kali ini Rahim dengar tawa dari seisi tandas. Dia pulas kepala pili. Tiada air keluar dari hos getah.

27.6.11

Kispen 71: Kek

"Abang kena pergi, sayang. Kak Mah awak dah tunggu." Izdihar kucup pipi Sheila.

"Bila saya nak abang stay, mula la macam-macam. Birthday Kak Mah la, anak sakit la. Saya ni pun isteri abang tau?" Sheila olah rajuk paling comel. Bibirnya dimuncung sehabis panjang.

"Today's her birthday, sayang. Mati abang kalau tak balik sekarang. Nak beli kek lagi." Izdihar sarung jean. Jersi Liverpool yang sedikit kerunyut diregang.

Bibir mereka sempat bertemu sebelum Izdihar melangkah keluar dari pintu utama. Hampir saja Izdihar tertukar kasut kiri-kanan. Rusuhnya jelas benar.

Sesudah singgah di Secret Recipe, kereta Izdihar meluncur pulang ke rumah. Semerbak aroma coklat menujah deria.

Di halaman rumah, Nasimah khusyuk belek novel sambil bersantai di buaian. 

"This is for you." Izdihar terpa isteri sulungnya dengan kotak kek.

"Susah-susah je abang ni." balas Nasimah.

Mereka berjalan beriringan ke ruang tamu. Sebelum sempat Izdihar buka penutup kotak, tangannya dihalang Nasimah.

"Kita buka sama-sama la." Nasimah patuk kucup di leher Izdihar.

Kotak kek dibuka perlahan-lahan. Chocolate Mud Cake sedikit demi sedikit terdedah.

Rahang Izdihar kekal terbuka. Hatinya sarat sumpah seranah diri. Mata Nasimah semerta terbeliak. Berkali-kali dia baca tulisan aising pada muka kek:

HAPPY BIRTHDAY SHEILA

22.6.11

Kispen 70: Kerenah

"Akak, boleh tolong tengokkan borang saya ni?" Zarul hulur sampul surat coklat saiz A4 ke kaunter.

"Kejap ya, dik." Wanita di kaunter langsung tak memandang. Matanya ditambat di skrin komputer. Bunyi klik tetikus selang-seli dengan lagu Siti Nurhaliza di pembesar suara komputer.

Zarul cuba intai. Skrin komputer wanita di kaunter kelihatan hijau, dengan deret daun terup di atas. Bangsat. Penjaga kaunter di sebelahnya asyik dengan telefon, berbual dengan entah siapa tentang resipi rempah perapan ayam golek sempena Ramadan.

Kaunter ketiga kosong. Kaunter keempat, dua lelaki sedang berbual sambil membelek-belek katalog sarat dengan gambar jam tangan mewah tiruan.

TAM! TAM!

Cermin penghadang kaunter berderai. Monitor padam, berasap.

Tangan Zarul menggeletar. Pistol di tangannya cuba digenggam kemas.

"Sekarang ada siapa yang nak tengok borang aku? Ada?"

Seisi pejabat kaku. Wanita yang berbual tentang resipi letak gagang telefon, dan angkat semula sambil dail 999.

21.6.11

Kispen 69: Madu

"Mana Kak Munah?" soal Jamila.

"Eh, awak ni. Masa ni la awak nak bersembang." Johan separuh berbisik. Peluh di dahi dikesat Rahim, pengapit lelaki.

Tetamu makin ramai berjejal ke ruang makan. Pentas nyanyian diisi jejaka berkemeja merah, mendendangkan lagu Maher Zain sambil diiring dentum irama karaoke.

"Awak tak pernah bawa saya jumpa dia. Yang saya tau, dia izinkan awak kahwin dengan saya." Jamila abaikan tetamu yang memerhati.

"Pengantin jangan bersembang." Pengapit perempuan mencelah. "Dah selesai nanti, Mila jumpa akak ya. Kita berkenalan, boleh berbual lama-lama." 

Jamila terkedu.

20.6.11

Entri ke-300

Salah Taip terlalu kecil. 

Saya cuma harap conteng coret saya di sini bermanfaat walau sedikit, atau setidaknya bikin masa kalian terisi.

Selagi mampu, saya cuba berkongsi.

Hanya Sepuluh 69

Siapa berimu lesen agar berlaku buas, Ibrahim Ali? Ingat Tuhan.

19.6.11

Kispen 68: Songlap

"Ada apa tuan panggil saya?" Dali terpinga-pinga. Bukan selalu dia diarah masuk ke kamar Timbalan Pengurus.

"Duduk dulu." Azmil senyum kambing. 

Dali bersandar, namun hati melimpah debar.

"Tahniah. Awak naik pangkat." Sekeping sampul surat putih bertukar tangan.

Dali baca tiap patah kata. Noktah terakhir ditenung keliru. "Saya ganti tempat tuan? Jadi tuan naik pangkat juga?"

"Tak." 

Azmil berjalan keluar. Wajahnya merah padam.

Sejenak menaakul, Dali buang pandang ke jendela. Di ruang parkir, kelihatan BMW 3 Series yang baru dibeli Azmil dua minggu lalu.

Barulah isi surat difahami. Baru Dali mengerti.

Harap

Petang semalam saya diajak bergebang dengan dua individu yang mungkin akan bertanggungjawab menjadi pengarah dan penulis lakon layar untuk Pecah, novel saya yang bakal difilemkan.

Saya katakan mungkin sebab masih dalam perancangan. Nanti kalau heboh yang bukan-bukan, besar pula aibnya.

Harapan saya? Agar sekalian pembaca doakan agar Tuhan permudahkan segalanya.

Jauh lebih mahal daripada semua itu, banyak butir ilmu yang saya kutip sepanjang dua jam bergebang dengan mereka.

Terasa benar diri terlalu kerdil, dan bersyukur pada Tuhan kerana sering saja dipertemukan dengan guru baru.

16.6.11

Kispen 67: Tuah

"Kenapa Tuah? Masih teringat kampung halaman?" soal Profesor Adib.

"Tidak. Tidak."

"Sabar, ya. Mesin ini saya akan baiki secepat mungkin. Baru Tuah boleh pulang semula ke Melaka." Profesor Adib sibuk menekan seribu satu punat dan kekunci di panel kawalan mesin masa ciptaannya.

"Bukan. Bukan itu punca gelisah hamba."

"Jadi?"

"Sesudah matari tegak barang segalah tadi, hamba ke kota. Ada pun takjub hamba yang tak berkesudahan pada manusia zaman tuan hamba yang tekun benar tunduk sambil berjalan. Seolah tiada beringat-ingat, tiada hubaya-hubaya pada mereka akan barangkali merempuh tiang atau tersadung akar."

Profesor Adib senyum simpul. Rajin Tuah ke kota.

"Akan jari-jemari mereka pula pantas menekan akan alat entah dari mana usulnya penuh warna-warna malah dihias pula rencam bunyi dan lukisan. Kecil, namun yang satu itulah dihadap manusia zaman tuan hamba saat makan, saat berkendera, malah ketika hamba berkemih di dalam tandas pun masih kedengaran bunyi dari alat ajaib itu."

"Oh. Telefon." 

"Tiadakah lagi hidup manusia bergebang ria, tegur sapa sehingga ralit benar hamba melihat mereka seolah-olah menjadi sembahan pula alat ajaib itu?"

"Diorang main Twitter, Tuah. Kau apa tau?" Isteri Profesor Adib, Syida muncul dari pintu belakang bengkel dengan dulang berisi dua gelas teh o ais dan keropok lekor.

Sesudah meletakkan dulang di meja, Syida capai iPhone dari dalam kocek apronnya. Dia menaip di ruang kosong untuk tweet terbaru:

Letih aku nak dengar Hang Tuah membebel. Ish.

15.6.11

Hanya Sepuluh 68

Berarak, kamu marah. Menegur, kamu penjara. Maka bagaimana harus bersuara?

10.6.11

Hanya Sepuluh 67

Prema, pasti nafsumu besar gadang. Bahkan di dapur kau menggelinjang.

9.6.11

Hanya Sepuluh 66

Dari melaga tiga seteru; lebih baik baiki labumu, rakyat dibantu.

8.6.11

Hanya Sepuluh 65

Sambil dengar labun di Kazakhstan, jangan lupa tempik anak watan.

Kispen 66: Syurga

"Sheikh Umar Imam Mahdi. Sheikh Umar Imam Mahdi. Sheikh Umar Imam Mahdi."

Liuk lentuk para pengikut Umarul Yaqeen belum berhenti. Walau dentang bandul jam tua di penjuru anjung sudah bergema dua kali, tanda jam 2:00 pagi - mereka masih beratib. Ini amalan biasa hujung minggu. Ratib nama Pak Umar sampai terlena, sampai hilang tenaga. Esok pagi menjelma, tambah saham ke syurga.

Saat mentari terik, para pengikut di anjung rumah agam milik Umarul Yaqeen mula terjaga. Masing-masing menggeliat sambil membetulkan urat sendi nan berselirat. 

"Dah bangun semua?" Umarul Yaqeen tampil di pintu utama. Jubah rona merah labuh hingga ke buku lali.

"Dah, Sheikh Umar!" sekalian pengikut serentak menyahut.

Umarul Yaqeen tepuk tangan tiga kali. Dari pintu utama, dua orang pengikut sorong troli lasak berisi peti kaca Plexiglass sebesar peti aiskrim kedai runcit yang sarat berisi wang.

"Kamu semua nampak ni?" soal Umarul Yaqeen.

“Nampak, Sheikh Umar!”

"Ini semua taruhan kamu pada Umarul Yaqeen. Pada syurga! Lebih banyak, lebih mudah kamu bertemu bidadari dan emas permata. Siapa aku?" Umarul Yaqeen mendongak. Tongkat kayu lurusnya ditujah ke udara.

"Sheikh Umar Imam Mahdi. Sheikh Umar Imam Mahdi. Sheikh Umar Imam Mahdi."

"Ini pertaruhan pasti untung. Ini judi kaya melambung." Suara Umarul Yaqeen lebih lantang.

"Kalau begitu, aku mahu terus ke syurga." Dato’ Ahmaq bingkas berdiri dan mara ke arah peti kaca. Dia seluk kocek, di tangannya dompet dan buku cek.

"Ambil semua, ambil." Air liur berjujuh dari bibir Dato’ Ahmaq saat dia sumbat kepingan wang RM50 ke dalam peti kaca. Pengikut lain terlongo. Terlalu banyak. Pertaruhan begini, pasti Dato’ Ahmaq ke lapis syurga tertinggi.

7.6.11

Kispen 65: Blog

"Cepat. Abang sewa bilik ni sejam je." Borhan rungkai tali pinggang cepat-cepat. Seluarnya luruh, bergumpal di lantai. Boxer dengan kolaj Spongebob Squarepants rencam warna terdedah.

"Gelojoh." Nadya cium pipi Borhan. Leggings yang membalut kaki terlucut.

Pendingin hawa menderu. Dari celah siling, terdengar decit tikus berkejaran. Sejuk jadi hangat. Peluk tambah erat.

"Nanti, nanti dulu." Nadya tolak tubuh Borhan ke sisi. 

"Apa ni?" Borhan kendur.

Nadya capai beg galasnya. Komputer riba dibuka. Jemari pantas menari di papan kekunci.

"Awak nak buat apa, ni?" tanya Borhan. 

"Tulis blog. Pasal kita kat sini." Nadya ketawa kecil.

Tamat perenggan kedua, pintu kamar diketuk. Borhan lompat keluar dari jendela. 

Kispen 64: Flat

"Pergi mana, dik?" Arman senyum tawar. Jam 4:00 pagi. Matanya sudah beberapa kali menggesanya pulang. Arman enggan. Dia mahu wang.

"Flat Sri Sarawak." Gadis genit tersenyum. Tangannya ditopang di bumbung kereta. Pipi kemerahan, mata kuyu dalam sedu.

"Masuklah." 

Pintu teksi dibuka. Bau alkohol segera terjah masuk. Arman sudah lali. Saban pagi dia menanti penumpang di hadapan Beach Club. Gadis ini sama seperti yang lain, mahu bersuka-suka dalam dentum irama dan cium teruna.

"Saya pun duduk sana. Adik tingkat berapa?"

Soalan Herman terapung dan terpeluwap. Gadis genit di tempat duduk belakang sudah lena.

Tiba di flat, Arman buka pintu belakang.

"Dik, kita dah sampai."

Gadis genit buka mata perlahan-lahan. "Abang boleh tolong papah saya? Tingkat empat." 

5.6.11

Kispen 63: Sewa

"Berani kau sewa rumah ni, kan?" ujar Linda. Jus oren dalam gelas tinggi direguk perlahan. 

"Kenapa?" soal Ezzah.

"Kan orang semua cerita, rumah ni berhantu. Ada orang mati kena bunuh." 

"Ah, karut semua tu. Mana ada hantu." Ezzah ketawa kecil. Dia ke dapur, ambil makaroni bakar dalam ketuhar yang dipanaskan. Tetamu parti housewarming makin ramai tiba.

Selesai parti, Ezzah ucap terima kasih dan iring tetamu ke pintu hadapan.

"Betul kau tak nak aku temankan?" Linda pegang tangan Ezzah.

"Betul. Jumpa kat ofis esok. Kalau aku tak kena kidnap dengan hantu la." Ezzah kenyit mata kanan.

Keesokan pagi, Ezzah terlopong di pantri pejabat. 

Di skrin televisyen, kelihatan mayat diusung keluar dari kondominium. Nama Linda disebut pembaca berita.

Hanya Sepuluh 64

Patuh kuncinya cinta utuh. Kelab Isteri Taat? Ide akal singkat.

Hanya Sepuluh 63

Wahai PAS, yang penting isi dalam kepala. Bukan siapa kepala.

Hanya Sepuluh 62

Selamat hari lahir, Tuanku. Mohon Tuanku cakna akan kami, marhaen.

2.6.11

Hanya Sepuluh 61

Saat juita hilang neraca, tanpa mahkota disangka biasa. Bencana pesona.

Kispen 62: Tinggal

"Bagi saya sambal udang, pakcik." ujar Linda. Dia genyeh mata. Isnin yang malas.

Pak Othman tekun isi bungkusan nasi lemak. Matanya sayu, seolah tunduk pada takdir.

"Pakcik, kenapa sedih sangat ni? Makcik mana?" Linda berbasa-basi. Dia pelanggan tetap di gerai ini. Sebelum ke pejabat, gerai Pak Othman inilah persinggahan pertama. Nasi lemak paling enak, paling wangi.

"Tu." Muncung bibir Pak Othman dihala ke Mercedes S320 yang baru singgah di gerai. 

Linda tenung ruang penumpang. Memang benar, Makcik Kinah. Tapi lain benar rupanya. Biasanya berbaju kurung Kedah dengan selendang. Kali ini berambut lurus paras bahu dengan rona coklat keemasan. Bibir montok dengan gincu merah garang. Blaus tanpa lengan rona putih balut tubuh.

Seorang pemuda sasa keluar dari ruang pemandu. Lengkap berkemeja dan bertali leher.

"Nasi lemak ayam goreng, dua."

Linda terlopong.

23.5.11

Hanya Sepuluh 60

Asal melatah, babi. Asal babi, melatah. Periksa, jangan sondol saja.

16.5.11

Kispen 61: Cuti

Gebang Tan Sri Khaled dan Datuk Mamat tergendala dengan bunyi ketukan pintu.

"Masuk." Ujar Tan Sri Khaled.

Shira, setiausahanya masuk. Mata Datuk Mamat segera mengecap serlah peha dari belahan skirt Shira.

"Tan Sri, ini permohonan cuti bersalin saya." Sekeping sampul surat hinggap di meja Tan Sri Khaled. Shira tercegat, bungkam.

"Kenapa awak tak hantar pada HR saja?"

Shira renung mata Tan Sri Khaled dalam-dalam. Tan Sri Khaled bingkas, Shira lantas dipimpin ke sofa di ruang kanan pejabatnya. Datuk Mamat kekok, terpinga-pinga.

"Are you sure that's mine?" Mata Tan Sri Khaled dihunjam ke perut Shira.

Shira angguk perlahan, air mata segera mengalir.

Sumpah: Bahagian Akhir

(Bahagian 1 | 2 | 3)

Mat Bijan masih menangis. Sultan Semuatahu tambah geram. Barangkali inilah manusia yang telah berlaku nista kepada puteri kesayangan baginda.

"Ayuh. Bersumpah sekarang, atau keris ini beta rodok ke dalam matamu!" Sultan Semuatahu sergah, seraya tegak berdiri di hadapan Mat Bijan.

Tangisan Mat Bijan surut. Lengan baju kumal kesat air mata. Mat Bijan tarik nafas dalam-dalam.

"Sumpah. Sumpah. Sumpah." Sekalian rakyat di laman istana riuh menggesa sambil tepuk tangan.

Kali ini bergilir entah siapa menyusun tertib; lelaki jerit sumpah, wanita laung laknat.

"Sumpah."

"Laknat."

"Sumpah."

"Laknat."

"Diam semuanya!" Bendahara Terus Mata angkat tangan. "Benarkan Mat Bijan angkat sumpah. Bukankah kita semua mahu tahu siapakah yang berani meniduri Puteri Anganjelita?"

15.5.11

Hanya Sepuluh 59

Saudara Ibrahim Ali,

Mari ajar hikmah, bukan tengkar marah. Boleh?

Kispen 60: Catat

Ustazah Hafizah selesaikan syarah tentang dosa dan pahala. Kelas 4 Tegas sunyi.

"Baik, ustazah nak tengok buku semua orang. Letak atas meja." Ustazah Hafizah tinggalkan meja di hadapan kelas dan tinjau setiap murid. "Ingat apa yang ustazah pesan?"

"Ingat." Seisi kelas menyahut.

Ustazah Hafizah imbas semula arahan. Setiap pelajar bawa pulang buku kosong. Catat semua perkara baik dan buruk yang mereka telah buat sepanjang hujung minggu.

Tiba di meja paling hujung, paling belakang; Ustazah Hafizah berhenti.

"Azwan, kenapa ruang perkara buruk awak ni kosong?"

"Dia tak buat dosa, Ustazah." Celah Rami, diikuti tawa.

"Azwan?" Kening Ustazah Hafizah terangkat.

Azwan garu kepala. "Saya dah catat, Ustazah. Pakai pen. Tapi tak ada dakwat."

Sumpah: Bahagian 3

(Bahagian 1 | 2)

Fajar kazib bertukar sadik. Terang tanah, sekalian rakyat berjejal di laman istana. Tiga pemuda diseret keluar dari dalam rumah pasung. Ketiga-tiganya tangan terpasung.

Sultan Semuatahu melangkah megah, diiringi Bendahara Terus Mata dan Tuan Imam Janggutputih. Wajah Sultan berbaur cita dan amarah. 

Tiba di hadapan rakyat, Sultan Semuatahu segera bertitah, "Bahawa inilah bahana mencemarkan kedaulatan beta. Salah seorang daripada tiga manusia laknat ini telah meniduri puteri kesayangan rakyat. Hari ini, kita akan saksikan sumpah laknat lantaran ketiga-tiganya bacul pengecut tiada mahu walau seorang mengaku."

Rakyat mengangguk. Bahkan demikianlah tabiat sekalian yang ada walau apa jua titah Sultan sekali pun, tiada lain, hanyasanya angguk setuju sembah restu.

"Ayuh, kita mulakan!"

Hanya Sepuluh 58

Saat peluru terakhir dibedil, keamanan masih mustahil. Manusia terlalu degil.

14.5.11

Baru

Entah kenapa, fan page Salah Taip di Facebook ada masalah teknikal. Saya cuma penyusun kata, tak pandai sangat bab-bab teknologi. Selepas tanya sana-sini, teman Twitter saya @techsupremo beri penyelesaian paling mudah. Bikin saja fan page baru.

Kepada pembaca Salah Taip yang nak 'like', bolek klik pautan ini: Salah Taip

Terima kasih.

Hanya Sepuluh 57

Jasadnya barangkali di samudera, namun ilhamnya merata. Masih hidup Osama.

Hanya Sepuluh 56

Kini benar hanya sumpah. Yang lain sampah. Otak bersepah. Menyampah.

Maaf

Saya celupar, dan gopoh. Rupa-rupanya Blogspot sudah kembali pulih. Entri yang sudah hilang kembali muncul. Maaf ya.

Blogspot Bebal

Katanya nak buat penyelenggaraan. Bila sudah pulih, saya buka Salah Taip. Tiba-tiba entri terkini (Sumpah: Bahagian 2) sudah ghaib.

Kalau tak silap saya, Blogspot ini milik Google. Nah, bagaimana dewa ulung Internet ini gagal menyelamatkan berjuta-juta entri terkini semua blog yang dihosnya. Bebal.

Blog picisan macam Salah Taip, barangkali masih tak mengapa. Bukannya ada ramai pembaca pun.

Bagaimana dengan blog-blog perniagaan? Apakah Google akan bayar pampasan kalau mana-mana kehilangan entri di blog membawa kepada kerugian perniagaan?

Maaflah, saya geram sebenarnya. Tamat krisis Blogspot, Twitter mula meragam. Tahi internet seperti saya, ketagihannnya sudah menyumbat rasional berganti emosi rambang.

p/s: Barangkali saya juga bebal, kerana tak menyimpan salinan entri blog.

12.5.11

Sumpah: Bahagian 2

(Bahagian 1)

Sultan Semuatahu garu kepala. Entah dari mana pula Bendahara mendapat buah fikir sebegini, fikirnya. 

"Bersumpah? Apa gerangan maksudmu ini, Bendahara?"

"Begini, Tuanku. Kalau kita tanyakan ketiga-tiga manusia bertopeng binatang ini akan siapakah yang meniduri puteri Tuanku, sudah pasti hingga matari terbit dari barat sekali pun tiada mereka ini tunduk mengaku."

"Jadi?" Sultan Semuatahu kembali bersemayam.

"Jadi kita minta mereka bersumpah. Bahawa atas nama Tuhan, mereka ini bukanlah yang Tuanku cari. Andai mereka ini berdusta, maka turunlah laknat Tuhan pada mereka."

Sultan Semuatahu gumam. Hulu keris diketuk-ketuk perlahan di dagu. "Bawakan Tuan Imam Janggutputih mengadap beta. Sekarang."

Usah Gusar

Usah gusar. Andai sudah berpunya, namun masih jatuh cinta, demikian bukan tanda hilang setia. Namun terkadang rasa hilang sempadan makna. Tumpah kasih tanpa sangka.

Usah gusar. Jangan dikendong jangan dicicir, yang dikejar hanya semilir.

10.5.11

Hanya Sepuluh 55

Dia mahu cepat. Bangun dan sarapan serentak. Selesai berkokok, disembelih.

Hanya Sepuluh 54

Belakangan ini yang dihidang hanya rasuah, sumpah, dan dubur ditujah.

Sumpah: Bahagian 1

Sultan Semuatahu jerkah sesiapa sahaja yang masuk ke balairung seri. Sesiapa. Termasuklah isterinya, Permaisuri Gembak Ribuwarna. Semuanya serba tak kena. 

"Siapa punya angkara semua ini? Bedebah! Beta tahu, salah seorang dari sekalian isi istana yang bersekedudukan dengan puteri beta. Siapa?" Keris lok tujuh dihayun-hayun. Sultan Semuatahu mahu darah.

Sekonyong-konyong, Panglima Lawit masuk ke istana. Tangannya mengheret tali sawar. Bukan kerbau di hujungnya tetapi tiga lelaki dengan tangan terbelenggu, dibuntuti pengawal istana yang bertombak.

"Ampun Tuanku."

"Siapa yang kau bawa ke sini, Lawit?"

"Ampun Tuanku. Akan patiklah yang berkawal semalam di gerbang istana. Tiga pemuda ini yang patik lihat berlegar-legar tanpa tuju di laman kamar beradu Puteri Anganjelita."

"Syaitan!" Sultan Semuatahu meluru ke arah tiga pemuda yang berlutut. Keris terhunus. Sultan Semuatahu bidik dada. Biar mati ditikam kesemuanya.

9.5.11

Semula

Ya, Salah Taip masih hidup. Ah, saya sudah bosan tulis entri ala comeback. Padahal malas kemas kini blog. Itu saja. Semoga kali ini langsung inginnya lebih lama.

16.4.11

Saat Mimpi dan Realiti Segaris

Sejak kecil, Mama dan Abah suka paksa saya membaca. Ya, paksa. Tapi, paksa deras bertukar rela saat saya mula jatuh cinta dengan susun atur abjad yang membina maksud dan cerita.

Saya jadi penagih buku. Ah, mungkin terma itu keterlaluan tapi kalian pasti faham.

Hari ini, Tuhan pertemukan saya dengan takdir. Saya jadi pembaca, dan penulis novel. Yang terlintas dalam fikir,  yang terconteng simpang selisir, yang tertulis disusun butir - kini orang lain membacanya.

27.3.11

Kispen 59: Kamar

Di pentas, politikus ceramah caci. Segala dimaki, segala digelar babi. Sehingga pintu kamar diketuk-buka, jururawat menanti.

"Makan ubat dulu, Tan Sri."

24.3.11

Kispen 58: Kenyang

Di negara itu tiada kebuluran. Saat politikus jadi bodoh, mereka serta-merta disumpah jadi lembu. Terus disembelih langsung kenduri. Sekali-sekala jadi babi. Sendawa.

20.3.11

Kispen 57: Ludah

Kau memang begini. Sering saja mahu berbantahan denganku, walau dalam saat paling romantis. Kadangkala terlalu kasar, terlampau gasar. Cintamu dilukis dengan bentak dan berontak.

Saat kau sudah terikat tangan kaki di ranjang, saat pisau hampir membenam dadamu - masih lagi mampu kau herdik dan ludahi wajahku. 

Kurang ajar.

16.3.11

Kispen 56: Sarapan

Isterinya lena di kamar. Dia bersarapan dengan sekeping roti bakar dan secangkir teh. Bersama orang gaji. Di ribaannya.

Kispen 55: Tuju

Doanya, "Ya Tuhan, kau cabutlah nyawa manusia yang membunuh suamiku." Selang sehari, rumahnya diisi tahlil. Suami dan anak.

11.3.11

Hanya Sepuluh 53

Tanah Matari Terbit dilanggar gegar. Tanda Tuhan titip talun tafakur.

5.3.11

Kispen 54: Lamar

Jani kerling arloji. Sudah jam 9:37. Aku sudah lewat lebih sejam. Perlu mohon maaf. Ini janji temu, bukan jadi terumbu.

Untuk makan malam di restoran mewah hotel lima bintang, enteng buat Jani. Ini malam istimewa. Bilik pun sudah ditempah. Cincin sudah di dalam kocek. Cuma aku lewat.

Jani tiba di meja. Kosong. Tanpa hidangan, tanpa Zainah. Jani duduk, buang cungap. Gelas berisi air kosong direguk rakus.

"Encik Jani Roslan, kan?" pelayan lelaki berkumis nipis cuit bahu Jani. Di tangannya dulang kecil berisi sampul surat putih.

"Ya."

"Ini ada surat untuk encik." Sampul surat bertukar tangan.

3.3.11

Hanya Sepuluh 52

Begitu mudah, begitu fitrah dunia khayal sang pengimpi bercambah. - Dostoevsky

28.2.11

Hanya Sepuluh 51

Semua punya rahsia. Bezanya pada siapa aksara ghaib itu dibaca.

24.2.11

Pulut Pagi Jaka: Bahagian Akhir

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4)

Belum sempat Buyong henyak brek, Jaka lompat turun. Perkarangan rumah Lebai Hadri sesak dengan manusia.  

"Ha, tu pun Jaka." lelaki gempal berkain pelikat dan kemeja putih menghampiri Jaka. Songkoknya pesek.

"Aku Saleh. Abangnya Hadri." Jaka dan Saleh berjabat tangan. "Kita naik dulu."

Jaka abaikan tikaman mata khalayak. Tangga batu didaki pantas namun teliti. Dia tiba di muka pintu. 

"Ikut aku." arah Saleh sambil langkah laju ke kamar paling hujung, dia diekori Jaka.

"Siapa bawa dia datang ke sini?" Lebai Hadri separuh jerkah sebaik saja Jaka masuk.

Debar

Setiap manusia punya mimpi. 

Milik saya, bakal tertunai 22 April. 

Pohon doa dan tunjuk ajar semua. Saya masih terlalu hijau dan berhingus dalam gelanggang aksara. 

Boleh baca lebih lanjut di sini.

22.2.11

Pulut Pagi Jaka: Bahagian 4

(Bahagian 1 | 2 | 3)

"Oh, kuliah tu? Hari-hari saya dengar di rumah, pakcik." Anak kecil senyum lagi. Pulut pagi di tapak tangan dibongkar, dicubit kecil-kecil.

"Di rumah? Oh, imam tu..."

"Ya, imam tu ayah saya."

"Nama kamu?"

"Kamil. Kamil bin Hadri."

"Kamil, kamu masuk dalam ya. Kalau ada yang nampak kamu makan pulut pakcik, habis kamu kena marah dengan ayah."

Kamil enggan peduli. Dia masih sibuk dengan kental pulut dan rangup ikan kering yang bertarung dalam rongga mulut.

Dua bulan berlalu. Jaka sudah lupa pada Kampung Belatuk. Dia sudah mula buka gerai di simpang keluar jalan besar dekat hospital, ada tanah sekangkang kongkang pemberian sepupu Tijah.

Hanya Sepuluh 50

Domino Arab tumbang. Menang jadi arang. Kita bimbang, minta simpang.

18.2.11

Pengakuan 12

18 Februari sering saja mengingatkan aku pada manis cinta dan merdu canda kita. Kau pernah menjadi sebahagian daripada nafasku, dan kubiarkan begitu. Sungguh.

Selamat hari lahir.

Hanya Sepuluh 49

"Buat apa, dik?"

"Tunggu ibu, tu." Si kecil tuding kuburan.

16.2.11

Kispen 53: Tambang

Datuk Bahadur tercungap-cungap. Lelah masih belum surut. Matanya bertembung dengan seringai pemandu teksi.

"Seorang saja hari ni, Datuk?"

"Hantar aku ke jeti. Cepat."

Teksi merah putih luncur deras. Selang 16 minit, laut lepas terbentang. Jeti jajah muka air, di pinggirnya bot-bot persiaran. 

"Kat sini ya, Datuk." Pemandu teksi keluar, buka bonet. Bagasi diangkat keluar penuh lelah. 

"Berapa?"

Pulut Pagi Jaka: Bahagian 3

(Bahagian 1 | 2)

"Waalaikumsalam." Lebai Hadri bangkit seraya mendekati Jaka. "Buat apa kau datang sini?"

"Mana kau tahu pulut aku haram?" Mata Jaka terjegil, tangan bersilang di dada. Sabar masih bersisa.

"Jaka, ini rumah Allah. Jangan buat kecoh."

"Oh, kau buat fitnah boleh pula?"

Lebai Hadri jeling kiri kanan. Jemaah mula resah, bisik melantun dalam udara curiga. 

"Aku cakap apa yang aku tahu. Kau memang beli ikan kering daripada Tauke Tong. Semua orang tahu barang-barang dia campur halal haram."

13.2.11

Hanya Sepuluh 48

Paling aib waktu kau berlagak naif, padahal seisi dunia arif.

Pengakuan 11

Saya sudah jadi #tahitwitter. Ya, rasmi. Giannya sungguh luar biasa. Orgasme atas talian tak tercapai oleh Facebook. Yang tumpas? Salah Taip yang gersang tanpa kemas kini.

Hanya Sepuluh 47

Andai kau buku, nescaya kubaca tanpa penanda. Sedetik takkan berhenti.

Hanya Sepuluh 46

Rejim tertunda. Firaun ke syurga dengan harta dan darah mereka.

12.2.11

Pulut Pagi Jaka: Bahagian 2

(Bahagian 1)

Kata Tijah, aku tak cukup berpagi-pagi ke Kampung Belatuk. Sebab itu mereka enggan beli pulut pagi. Tembolok sudah penuh. Baik, pagi ini aku ke sana lebih awal. Jaka pasang azam sambil intai lubang tangki minyak. Masih berisi separuh.

Masih 50 bungkus. Jaka pesan pada isterinya, kukur kelapa halus-halus. Pakai minyak baru goreng ikan masin. Pulut tanak biar baunya benar-benar lemak baru diangkat. Biar seisi Kampung Belatuk menyesal tak membeli semalam.

Tiba di Kampung Belatuk, remang fajar masih belum tiba. Jaka tak ambil pusing. Dia perlahankan motosikal, tempik hon tendang telinga. Khatam segala dengkur.

Sipongang syarah sayup-sayup sayat sunyi. Jaka cari arah suara, rupa-rupanya dari Surau Kampung Belatuk di hujung simpang. 

Paling jelas, pembesar suara - satu di setiap bucu atap surau - memuntahkan tiap butir nafas, kata, dan dehem empunya mikrofon.

Jaka mahu masuk namun dihalang silu. Dia tongkat motor di tepi telaga surau dan tercongok sambil sedut hembus rokok daun. Butir bicara kuliah subuh dicerap.

11.2.11

Pulut Pagi Jaka: Bahagian 1

Kerja Jaka jaja pulut pagi. Sebelum Jalak ekor carik berkokok, dia sudah selesai cucur bilas air perigi maha dingin ke tubuh kurus kedengkik. 

Sambil kesat tubuh dengan tuala kusam, dia akan dengar Tijah bebel panjang-panjang dari dapur. Tentang nyamuk hurung kaki semalam. Tentang ikan kering Tauke Tong yang hapak. Jaka buat-buat dengar, pura-pura angguk.

Tijah bungkus pulut pagi dalam akhbar lama alas daun pisang. Kepal kecil pulut tanak dihias sejemput kelapa parut dan cebis ikan kering. Satu pagi dalam 50 bungkus. Jaka susun dalam raga, letak di punggung motor.

Hari ini dia cuba masuk Kampung Belatuk. Khabarnya orang-orang Kampung Belatuk jenis yang berpagi-pagi. Dapat seringgit dua jadilah.

Kispen 52: Buku

Perpustakaan sarat buku, lengang manusia. Hanya dua meja terisi dengan lembar-lembar nota milik para gadis bertudung ala Tajima atau Yuna. Semua ralit bergebang ketika Irwan masuk.

Irwan terus ke celah rak-rak buku. Dia mahu cari aksara, bukan maskara. Tiba di rak terhujung, dia lihat seorang lelaki tua sandar tubuh pada rak. Janggutnya basah serap air mata sedu-sedan.

"Kenapa pakcik?" Irwan melutut di sisi lelaki tua.

"Aku cari buku. Tak jumpa."

"Biar saya tolong. Pakcik tahu nama pengarang dan judulnya?"

Hanya Sepuluh 45

Paling indah tentang pagi? Rasa syukur nyawa masih disambung Tuhan.

20.1.11

Kispen 51: Bakar

Asap makin lama makin likat. Jelaga bertabur membintik biru langit putih awan. Masing-masing tahan panas, kesat dahi yang dijajah keringat. Semuanya berkongsi sengih dan tawa. Unggun api dikelilingi manusia bongkak.

"Tambah lagi! Tambah!" seru Jani.

Dua budak tak berbaju dengan seluar cerut di pinggang heret dua guni. Mulut guni ternganga. Naskhah Telor Nik dikeluarkan, satu-persatu dicampak ke dalam api.

"Kenapa dia bakar buku Telor Nik, pak?" soal Ajim. Dia tercancang di belakang bapanya, elak panas.

"Telor Nik hina orang kampung kita. Dia kata datuk nenek kampung kita tak ada telur. Pengecut." balas Ayah Pa.

"Telur di dapur bukankah banyak, Pak?"

Hanya Sepuluh 44

Isu Interlok, biar apa pun responmu, bukti kuasa mata pena.
.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

17.1.11

Hanya Sepuluh 43

Idaman umpama catan. Selagi berus tak digenggam, kanvas kekal putih.

Hanya Sepuluh 42

Lapar ingat makan. Kenyang ingat lena. Jadi bila giliran Tuhan?

16.1.11

Percubaan

Satu. Dua. Tiga.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

Kispen 50: Perisai

"Dinda." Sultan Semuatahu jengkang-jengkot tinggalkan kamar. Luka di pahanya masih belum sembuh. "Ada pun mata kanda ini ungkal, enggan lena."

Permaisuri Gembak Ribuwarna singkap gebar sutera lantas suami yang banyak putih dikit hitam rambutnya didampingi segera.

"Mari kanda, biar dinda dodoi. Bahkan maklum benar dinda akan masyghul hati kanda tiada lain hanyasanya runtun hiba dan kecewa pada Bendahara Pipi Kembung yang berlaku derhaka."

"Tidak. Tidak. Akan hal si anjing itu sudah lama kanda buang jauh-jauh dari ingatan." Sultan Semuatahu buang pandang di jendela. 

"Maka apakah gerangannya usul punca sugul durja yang tak kunjung padam ini, kanda?"

12.1.11

Pengakuan 10

Malam ini otak saya betul-betul kosong. Sudah puas tenung siling. Tak terbit juga ide. Orang kata menulis tak perlu dipaksa. Saya tak percaya. Cuma sekarang mata saya sudah marah-marah mahu lelap. Kena ikutlah. Esok saya sambung.

Hanya Sepuluh 41

"Berdebat denganku."

"Tapi kau sebodohku."

"Kita politikus. Mereka sudah tahu."

11.1.11

Pengakuan 9

Lebih separuh daripada entri-entri dalam Salah Taip, idenya diperoleh ketika saya di tandas. Entah, kadangkala rasa berdosa pula meraih ilham di tempat tumpuan para iblis.

Kispen 49: Gagak

"Betul?" Soal Gagak Juling. Kepalanya teroleng-oleng.

"Betul," sambut Gagak Segak, "manusia memang semuanya begitu. Mereka pandang hina pada kita sekalian haiwan. Sekali pun yang elok rupanya seperti kita."

Gagak Tempang garu kepak dengan paruh, "Ah, kenapa kau mesti begitu buruk sangka? Bukankah mereka jua yang memperjuangkan nasib kita?"

"Ha ha ha," Gagak Segak jeling sinis, "kau ini bahlul, Tempang. Biar aku tunjuk bukti paling mudah pada kau."

"Betul?" Soal Gagak Juling. Kepalanya teroleng-oleng.

"Ya, kau akan lihat bahawa manusia semuanya pembenci dan penyebar maki."

"Bagaimana?" Gagak Tempang separuh peduli.

8.1.11

Kispen 48: Panah

"Bagaimana cadangan patik, Tuanku?" Bendahara Pipi Kembung gentel misai.

"Molek, Bendahara. Molek. Beta berkenan benar." Sultan Semuatahu tepuk bahu Bendahara sambil ketawa terbahak-bahak.

Sepurnama berlalu. Hari Senayan lalu tiba. Berjejal sekalian jelata ke laman istana. Terngangalah segala mulut dan rongga tubuh tatkala mereka melihat sepuluh papan sasar disusun berjujuk. Tiada pernah dalam sejarah negeri Maya Sila ini ada dianjur pertandingan memanah sebegini rupa.

"Ayuh, kita mulakan!" Sultan Semuatahu berdiri dan depa tangan. 

Gong. Gong. Gong. Gong. Gong. 

Habis lencun kelangkang dan ketiak si pemalu tercancang ditikam terik matari.

Sepuluh pemanah paling handal dalam negeri berbaris. Masing-masing sedia mengacu busur.

Hanya Sepuluh 40

"Tunggu aku."

"Tidak."

"Kenapa?"

"Masa bukan milikku."

"Takdir pun begitu."

Selamat Datang 2011

Ya, lapan hari lewat. Saya tahu. 

Hampir dua bulan blog ini nihil. Kosong.

Tidak lagi mulai hari ini. Jari kembali menari. Bersedialah dengan taipan yang lebih berselisir rapuannya. Terima kasih pada yang terus menunggu.