20.1.11

Kispen 51: Bakar

Asap makin lama makin likat. Jelaga bertabur membintik biru langit putih awan. Masing-masing tahan panas, kesat dahi yang dijajah keringat. Semuanya berkongsi sengih dan tawa. Unggun api dikelilingi manusia bongkak.

"Tambah lagi! Tambah!" seru Jani.

Dua budak tak berbaju dengan seluar cerut di pinggang heret dua guni. Mulut guni ternganga. Naskhah Telor Nik dikeluarkan, satu-persatu dicampak ke dalam api.

"Kenapa dia bakar buku Telor Nik, pak?" soal Ajim. Dia tercancang di belakang bapanya, elak panas.

"Telor Nik hina orang kampung kita. Dia kata datuk nenek kampung kita tak ada telur. Pengecut." balas Ayah Pa.

"Telur di dapur bukankah banyak, Pak?"

"Bukan telur yang itu, nak." Ayah Pa enggan ulas. Dia sahut jerit tempik khalayak. Bakar! Bakar!

Sekonyong-sekonyong siren polis bertempik. Masing-masing cuba lari namun kereta polis sudah mengepung. Jani yang pertama digari, diikuti tukang campak buku. 23 orang.

"Bawakan tiang dan tali." arah Inspektor Zan.

"Hei, bawa aku ke balai, bodoh!" Jani meronta.

Khalayak terlongo melihat tiang besi persis tiang gol diusung polis seraya dipacak mengelilingi unggun api yang lidahnya masih rakus menjilat. 23 batang.

"Kau nak buat apa ni?" tempik Poro, orang kanan Jani.

Yang digari semuanya diseret ke tiang. Sesaat gari dibuka, kemudian dikatup. Kali ini tangan mereka terbelenggu seolah memeluk tiang. Wajah menghadap api.

Sekumpulan polis lagi tiba dengan minyak tanah dan kayu api. Kayu ditimbun di kaki pesalah. Minyak tanah disimbah. Api makin galak. Tempik makin nyaring. Khalayak menggeletar.

"Kalian tidak senang dengan buku ini lantas membakarnya, bukan?" Inspektor Zan cekak pinggang keliling unggun api. "Nah, aku juga guna sifir sama. Aku tidak senang dengan mereka, lantas kubakar semua. Mudah bukan?"

Langit merah dengan kunjung senja dan percik bara. Bumi merah dengan benci dan tengik hangit daging manusia.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

Tiada ulasan:

Catat Ulasan