"Bagaimana cadangan patik, Tuanku?" Bendahara Pipi Kembung gentel misai.
"Molek, Bendahara. Molek. Beta berkenan benar." Sultan Semuatahu tepuk bahu Bendahara sambil ketawa terbahak-bahak.
Sepurnama berlalu. Hari Senayan lalu tiba. Berjejal sekalian jelata ke laman istana. Terngangalah segala mulut dan rongga tubuh tatkala mereka melihat sepuluh papan sasar disusun berjujuk. Tiada pernah dalam sejarah negeri Maya Sila ini ada dianjur pertandingan memanah sebegini rupa.
"Ayuh, kita mulakan!" Sultan Semuatahu berdiri dan depa tangan.
Gong. Gong. Gong. Gong. Gong.
Habis lencun kelangkang dan ketiak si pemalu tercancang ditikam terik matari.
Sepuluh pemanah paling handal dalam negeri berbaris. Masing-masing sedia mengacu busur.
Kali ini rancanganku pasti menjadi, bisik Bendahara Pipi Kembung.
"Satu."
Panah dicabut dari dalam tarkasy.
"Dua."
Panah melintang rata. Tali busur diregang. Sebelah mata dipejam. Papan sasar dibidik.
"Tiga!"
Panah dilancar.
"Ya Rabbi!" Permaisuri bertempik. Sebatang panah terpacak tepat di paha Sultan Semuatahu.
Bendahara Pipi Kembung jatuh tersungkur di kaki peterana. Sembilan panah di tubuhnya. Dua di leher, tiga di dada, satu di pusat, dua di kemaluan, dan satu di mata kiri. Darah membusa.
Sultan Semuatahu melutut. Mulutnya rapat di telinga Bendahara Pipi Kembung.
"Ini helah kamu? Seratus wang emas untuk mereka tancapkan panah ke tubuhku? Barang pasti kekayaanku berganda-ganda."
Bendahara Pipi Kembung termengah-mengah. Jarinya dituding pada paha Sultan. "Habis, yang satu ini?"
"Yang ini tidak sempat kusogok. Saat pegawai istana ke rumahnya, dia masih di sungai. Cirit-birit. Sekarang pulanglah kau ke neraka."
Yang satu tu terlepas sebab dia ceret beret sampei cerah!
BalasPadam