7.6.11

Kispen 64: Flat

"Pergi mana, dik?" Arman senyum tawar. Jam 4:00 pagi. Matanya sudah beberapa kali menggesanya pulang. Arman enggan. Dia mahu wang.

"Flat Sri Sarawak." Gadis genit tersenyum. Tangannya ditopang di bumbung kereta. Pipi kemerahan, mata kuyu dalam sedu.

"Masuklah." 

Pintu teksi dibuka. Bau alkohol segera terjah masuk. Arman sudah lali. Saban pagi dia menanti penumpang di hadapan Beach Club. Gadis ini sama seperti yang lain, mahu bersuka-suka dalam dentum irama dan cium teruna.

"Saya pun duduk sana. Adik tingkat berapa?"

Soalan Herman terapung dan terpeluwap. Gadis genit di tempat duduk belakang sudah lena.

Tiba di flat, Arman buka pintu belakang.

"Dik, kita dah sampai."

Gadis genit buka mata perlahan-lahan. "Abang boleh tolong papah saya? Tingkat empat." 

Dia seluk tas tangan. RM10 dikeluarkan dan dihulur pada Arman.

Tiba di tingkat empat, gadis genit mengekori Arman.

"Eh? Rumah adik kat mana?" Arman keliru.

"Sini la." Telunjuk gadis genit dituding tepat ke pintu bernombor 23.

Arman kaget. Kakinya serta-merta kaku. Telapak tangan dingin. Seingat Arman, nombor 23 itulah pintu rumahnya. Tak mungkin silap. 10 tahun dia menduda, tinggal seorang diri di sini.

"Abang tak nak masuk?"

Arman enggan menoleh. Gadis genit, atau entah apa, masih di belakangnya. Lutut Arman menggeletar.

"Tak apalah, bang. Nanti saya panggil kawan saya. Dia ada kat dalam."

3 ulasan: