1.7.11

Ganti

Versi bahasa Inggeris cerpen ini, The Replacement, telah disiarkan di Selangor Times keluaran ke-30 (24-26 Jun 2011). 

Aida hela nafas paling panjang. Baru dua minggu dia bekerja, ini kali kedua dia dipanggil masuk ke bilik bos. Kali pertama, sewaktu temuduga. Pintu bilik diketuk tiga kali. Rambutnya ditocang kemas.

“Masuk.”

Pintu bilik dibuka. Fakarudin sibuk menaip. Kerut di dahinya seolah berdenyut senada dengan hentaman jemari di papan kekunci.

“Tiya cuti hari ni. Ada emergency. So awak kena ganti dia. Ada interview.”

Kali ini dahi Aida pula berkerut. Setahunya, Tiya pengarang majalah Siasat – majalah terbaru terbitan Karangkraf. Tak ada kena-mengena dengan dia yang baru bertugas di Media Hiburan.

“Interview apa, bos?”

“Kamu ingat kes bunuh di Puchong tahun lepas? Abi Nazrel, dia tembak tiga orang perempuan dalam bas. And he was acquitted. Guna alasan insanity. Lawyer dia kata, dia ada skizofrenia. Dia dengar suara orang lain dalam kepala, katanya suruh dia bunuh perempuan tu semua. Saya dah e-mail semua details. Cepat. Interview ni sepatutnya minggu lepas dah siap.”

Aida angguk tanda akur. Dia kembali ke kubikel dan memeriksa e-mel. Butir-butir tembu bual dicatat dalam aplikasi Notes dalam BlackBerry Bold. Aida capai beg kamera dan pemain MP3 di dalam laci meja.

Kereta Kancil Aida tinggalkan Seksyen 15 Shah Alam.

*****

Rumah Seri Memori tersergam di depan mata Aida. Dia semak papan tanda yang terpacak di hadapan lanskap hijau. Rumah agam di sebelah kanan untuk Unit Penjagaan Warga Emas dan blok di sebelah kiri untuk Unit Psikiatri. 

Tiba di lobi, Aida disapa seorang lelaki segak lewat 30-an. Kaca mata bingkai halus rona perak diteduhi bulu kening lebat. Wajahnya polos, hanya hadir cuma kumis nipis.

“Ini Cik Aida kan?” 

“Ya.”

“Saya Dr Faliq.” Tangan dihulur. Masing-masing berjabat salam. “Saya dah terima e-mail, bos cik Aida yang hantar tadi. Untuk interview majalah Siasat, ya?”

“Ya.”

“Boleh saya tau majalah ni tentang apa?” Dr Faliq tekan punat lif.

“Oh, saya sebenarnya jaga majalah lain. Saya ganti orang. Majalah Siasat ni cerita pasal hal-hal jenayah kat Malaysia. Macam rancangan 999 tu, tapi dalam bentuk majalah.” 

Pintu lif terbuka. 

“Kita buat interview di bilik rehat. Tingkat 2.”

“Unit Penjagaan Warga Emas tu, Dr Faliq jaga jugak?”

“Tak. Kat sana Dr Vivian yang jaga. Kami ni unit tambahan, baru start operation tahun lepas.”

*****

Aida ambil tempat. Keriut kerusi dan kitar kipas mengiringi degup jantung Aida yang semakin kencang. Di hadapannya, seorang lelaki awal 50-an duduk tegak di kerusi plastik. Tangan kirinya di lutut. Jemari tangan kanan bergerak-gerak, mirip berzikir. Parut selebar ibu jari melintangi sisi kiri dahinya.

“Saya Aida. Boleh saya panggil awak Nazrel?” Aida tekan punat Record pada pemain MP3.

“Nama cuma tanda, dilekat pada botol berisi pati kehidupan masa lalu. Logan Pearsall Smith.” Abi Nazrel alih pandangan ke lantai. Jemarinya masih meratib.

Aida teliti semula senarai soalan dalam telefon bimbit. 

“Awak dah makan?” Aida gertap bibir. 

“Tiada cinta lebih tulus berbanding cinta pada makanan. George Bernard Shaw.” Abi Nazrel toleh kiri kanan. Ada senyum kecil pada bibir.

Dr Faliq geleng kepala. “Nazrel, jangan macam ni. Aida datang nak buat kerja. Dia nak borak-borak je. Awak boleh tolong dia, kan?”

Abi Nazrel keluh berat. “Kita hanya dengar soalan yang mampu dijawab. Friedrich Nietzsche.”

“Awak mesti banyak membaca. Sebab tu tau banyak kata-kata hikmat. Seronok tak kat sini?” Aida sambung soal jawab.

Abi Nazrel angguk lemah. Dia masih menggelisah di kerusi. Aida ragu-ragu. Benaknya masih atur kata. Kalau ditanya tentang kes bunuh, bimbang Abi Nazrel tiba-tiba amuk. Tapi pesan Dr Faliq di dalam tadi, Abi Nazrel sudah telan pil antipsikotik. Skizofrenianya terkawal.

“Apa yang awak paling suka buat kat sini?”

“Baca buku. Tengok orang.”

“Ada kawan?”

Kali ini Abi Nazrel geleng kepala. 

“Apa awak rasa sekarang bila dah ada kat sini? Ingat lagi tak benda yang awak buat dulu-dulu?” Aida reguk liur.

Abi Nazrel tersenyum lebar. Dan tiba-tiba tawanya menggila. Sambil duduk tegak, kepalanya didongak, dia terbahak-bahak. Sejurus tawa reda, dia renung Aida. Kali ini matanya tidak lagi bersembunyi.

“Aida, kau pernah tampar nyamuk?”

“Erm, pernah.”

“Apa kau rasa?”

Sepi.

“Kau rasa puas kan?” Abi Nazrel berdiri. “Kan?”

Maybe.”

“Apa dosa nyamuk tu pada kau? Paling teruk, dia gigit. Tapi kenapa kau bunuh dia? Kenapa kau rasa puas bila dia mati? Kata Mark Twain, kita dah mati beribu-ribu tahun sebelum kita hidup. Jadi kenapa kita kena takut dengan mati? Aku cuma buat apa yang dia suruh.” Telunjuk Abi Nazrel ditujah ke sisi dahi.

Pintu bilik rehat dibuka. Seorang jururawat rusuh masuk. “Khairul, kat sini awak rupanya. Awak balik bilik kejap, boleh? Ada orang nak jumpa.” 

Aida terpinga-pinga. Patuh benar doktor ini pada jururawat sehingga tertunduk melangkah keluar, bisik hatinya.

“Saya Reena. Yang keluar tadi tu, Khairul Anwar. He’s our patient. Dia selalu menyamar jadi doktor macam tu. Nakal sikit. Saya ke bilik Dr Faliq tadi. Nampak macam ada orang pecah masuk. Kat skrin komputer ada e-mel pasal cik Aida. Mesti dia ternampak tadi.”

Aida tergamam. 

“Dr Faliq datang lambat sikit. Dia ada meeting dengan Dr Vivian. Kita duduk kat lobi dulu?” 

Abi Nazrel hulur tangan dan bersalaman dengan Aida sebelum dia keluar diiringi Reena. Aida turun ke lobi dan menunggu di sofa. Di tangannya sejalur kertas kumal dari Abi Nazrel. Berkali-kali Aida baca tulisan di atasnya: 

IT’S NOT THE VOICES. IT’S JUST ME.

4 ulasan: