9.10.10

Kispen 34: Realiti

"Guys, idea please." Nazman menggigit hujung pen sambil merenung dua lagi rakan yang tekun berteleku. 

"Tak taulah. Akademi Suara dah bungkus. Raja Kelakar rating teruk. Nak buat apa lagi?" Balas Syahida sambil tenung wajah Nazman. Bedak asasnya lebih tebal dariku, bisiknya.

"Teater?" Mew Chong angkat kening. 

"Tak jalan, uols. Anak Lakon pun tahan tiga season saja. Semua macam tiang kayu, sponsor larilah. Ini pula teater. Lagilah susah." Nazman tukar pen. Gigit.

"Cef? Macam Hell's Kitchen?" Mew Chong cuba lagi.

"Boleh," Syahida mengisar punggung dan menghadap Mew Chong, "tapi dah habis show nanti, all the losers nanti nak campak ke mana?"

"Ala, sebelum ni kita buat show, bukan fikir pun fasal tu."

Gumam. Sudah hampir dua jam Unit Realiti TV bermesyuarat. Bos mahu ide baru. Mahu lebih banyak tajaan masuk. Apa saja, yang penting realiti dan ada SMS. 

"Yes, yes, yes. I know! I know!" Nazman bangkit melentik sambil tangan bertepuk kecil.

"Apa dia?" 

"Dance show." Nazman menggenggam kedua-dua belah tangan. Bahu digoyang. "Macam mana?"

"Tu TV11 dah buatlah, Naz. You do watch it, kan? Dance Your Ass Off?" Syahida senyum.

"No. No. No. Ini lain. Kita buat macam Akademi Suara. You know, gimik, kejutan, undi masuk, kelas, cinta. Cara kita."

"Nanti bungkus lagi." Mew Chong mencebik bibir.

"At least kita ada enam, tujuh season. Baru orang muak. Masa tu duit dah banyak. Kalau nak stop pun tak ada masalah." 

"Okay, what do you have in mind?" Mew Chong duduk tegak. Telefon pintar di tangan menunggu jari menghunjam papan kekunci,

"Macam biasa. Pertandingan menari. Guna undi SMS untuk ranking. Kalau nak nampak professional, buatlah percentage untuk juri. Gimik? Banyak boleh buat. Ikut jenis tarian. Lebih ghairah, lebih tinggi rating?"

"Ish, tak takut kena censor?" Tanya Syahida.

"Ala, raba-raba sikit saja, uols. Bukannya macam Dancing With The Stars. Okay, kalau nak sangat Islamic, buat minggu tarian Arab. Tarian gelek. Boleh?"

"But," Mew Choo angkat jari telunjuk, "Arab is not necessarily Islam, kan?"

"Bukannya orang kisah pun. Nok, bulan puasa hari tu, kita buat Karnival Marhaban Padang Pasir. Orang layan saja."

"Tak apalah. Nampak macam kau dah banyak sangat idea tu, Naz. Apa kata kau buat draf dulu. Esok kita sambung. Same time, right here. Boleh?" Syahida memutus bicara.

"Nanti, nanti, nanti. Name, I need a name. For the show?"

"I'll text you a few later." Syahida sudah tiba di pintu bilik mesyuarat. Mew Chong tidak jauh di belakang. Nazwan masih mengemas fail.

Dua puluh minit kemudian, Nazman tiba di ruang parkir. Telefon bimbit berdering sebaik sahaja pintu kereta dibuka.

1 New Message.

Mesti Ida, bisik Nazman. Teks Open disentuh dengan ibu jari.

These are what I can think of. For now. Diari Dansa. Mari Berkinja. Bintang Tari. Aku Menari, Kau Mampu? Rentak Gerak. 
Nazman senyum. Sebahlul mana pun idea mereka, bos pasti setuju. Di luar sana, ramai lagi yang lebih bahlul. Yang menonton dengan mulut terlopong.

Yang menghantar SMS tanpa henti, sambil mengesat liur yang terjujuh - mengagumi fantasi yang dibina di kaca televisyen.

3 ulasan:

  1. abg bonsai - berdesing telinga pemilik rancangan realiti tv kalau baca nie. btw, saya sokong. muak dengan rancangan realiti tv di malaysia. berlambak. hahaha!

    BalasPadam