27.9.10

Abadi: Bahagian Akhir

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4)

Hilda, saya minta maaf andai surat saya terlalu rusuh tempoh hari. Tak patut saya bahasakan diri sebagai abang. Kita baru saja berkenalan. Semula. 

Saya harap awak sihat. Saya? Bolehlah. Batuk-batuk sikit.

Doktor Praveena kata awak nak baca lagi surat saya. Sebab itu saya hantar satu lagi.

Awak berambut pendek sekarang, ya? Dia juga yang beritahu saya. Saya masih ingat, dulu rambut awak separas bahu. Hitam coklat. Ikal.

Setiap malam, awak suka benar berlama-lama di depan cermin. Sisir rambut. Sekali-sekala awak jeling saya. Ya, rambut itu buat saya tertunggu-tunggu, dan cemburu.

Syampu yang itu-itu juga awak pakai. Sampai sekarang, kata Doktor Praveena. Masih sama. Semerbak dan manis wanginya saya masih boleh hidu hingga sekarang.

Saya tak tahu apa nak tulis lagi, Hilda. Saya cuma, saya---

"Mad, kau OK?" Samsul meletakkan pen dan mendapatkan Samad.

Samad angguk seraya air mata dikesat.

"Mahu sambung lagi?"

"Tuliskan saya rindu awak. Itu saja." Samad tunduk. Jemari tiada daya untuk mencoret butir kata. Kemalangan itu meragut segala-galanya.

"Aku ke sana dulu, ya Mad? Kau nak pesan apa-apa?"

Samad geleng.

Sejurus tangan Samsul menyentuh tombol pintu, dia terdengar laungan dari bilik Samad.

"Tunggu!"

Samsul tercegat.

"Aku ikut." Samad mara. Segak sekali berkemeja putih polos.

"Betul ni, Mad? Dah berapa tahun kau tak kelu---"

"Aku mesti mulakan. Aku mahu jumpa Hilda."

Samsul senyum. Akhirnya tiba jua masa yang dinanti.

"Hulurkan tongkat aku. Ada di tepi pintu, di sebelah pasu."

Tongkat aluminium putih bertukar tangan. Sekali sentap, tiga lipatan terbuka dan bercantum. Hujung tongkat menyentuh lantai.

Samad mengenakan Ray-Ban lensa hitam berbingkai perak. Kemalangan itu merampas segala-galanya, barangkali.

Kecuali Hilda. Kecuali cinta.

3 ulasan:

  1. sarat ilham betul kau ni bro ..

    cerita yang ini .. sayat hati dibuatnya

    BalasPadam
  2. jeffrockers: Terima kasih kerana membaca hingga ke akhir :)

    BalasPadam
  3. hope Hilda dan Samad kembali bersama..
    sedih, bukan sapa-sapa minta nak temui celaka..
    sabar sajalah :)

    syabas Bonzai!

    BalasPadam