15.8.10

Nota Ramadan #5



Sungguh mulia mencari juadah berbuka puasa di bazar Ramadan. Apatah lagi jika dibeli untuk seisi keluarga, malah mungkin dikongsi bersama jiran tetangga. 

Namun dalam arus manusia selisih selirat, lepaskanlah sekali-sekala tangan pacar yang digenggam erat. 

Bimbang nanti dalam mengejar pahala sunat berbuka puasa awal dengan juadah manis - sepanjang itu jualah tak putus menuai dosa.

Jangan ambil hati. Sekali-sekala menyambung sabda dalam senda, apa salahnya?

Nota Ramadan #4



Saya pasti, di mana-mana sekolah berasrama, sahur itu fiesta. Amat langka sekali ditemukan penghuni asrama yang dibuai lena tanpa mempedulikan hiruk-pikuk rakan-rakan yang (cuba) mengejutkan mereka. Kecuali bagi individu-individu yang memang tersohor sebagai penidur. 

Setiap asrama, paling tidak pasti ada seorang. Pasti. (Penidur asrama saya dulu - merangkap rakan sekelas dan teman yang amat rapat)

Kebanyakan tukang kejut ini, kalau musim peperiksaan, memang tidak tidur pun sesudah terawih. Masing-masing menelaah (atau mengacau orang yang menelaah) sehingga waktu sahur tiba - seraya bermulalah hingar-bingar. Bangun! Bangun! Sahur! Sahur!

Fiesta sahur ini juga ditentukan oleh masa dan kelompok-kelompok yang wujud dalam asrama. Biasanya, kelompok pelajar yang berdisiplin akan tidur awal usai terawih dan menelaah. Sekitar lima pagi, berjejallah mereka ke dewan makan. 

Yang lain? Macam-macam. 

Ada yang bersahur awal: makan beramai-ramai sekitar jam satu atau dua pagi. Menu wajib, mi segeralah. Kalau di asrama saya dahulu, ada rakan yang menjual nasi lemak telur mata kerbau dan burger goreng dari luar. Amat laris. Kumpulan ini pasti menyambung lena sehingga subuh. Atau terlepas subuh.

Ada yang kurang berselera dengan hidangan dewan makan. Nasi goreng dengan ikan bilis dan sosej dihiris nipis yang perlu dicari dan digali persis harta karun di sebalik butir-butir nasi , ditolak perlahan-lahan melalui tenggorokan dengan teh suam tawar.

Jadi, apa lagi? Fly! Saya fikir, istilah semesta ini tidak perlu dilabun. Pelik juga istilah sama digunakan di mana-mana sekolah berasrama untuk menghuraikan tindakan pelajar keluar dari asrama (biasanya lewat malam) tanpa kebenaran warden.

Bukannya ada apa-apa pun, keseronokan melanggar peraturan tanpa ditangkap itulah sebenarnya deruan adrenalin yang dicari. Kalau sekolah berasrama di kawasan pedalaman atau pinggir bandar - apalah sangat yang ada di luar sekolah?

Barangkali satu atau dua kedai makanan segera, restoran mamak, atau gerai-gerai bersidai di pinggir jalan - roti canai, sate, mi-mihun-kuetiau sup. Itu saja. Bukannya fly untuk menikmati foie gras atau trio risoto bersafron-udang galah-ravioli berkaviar dengan limau.

Pulang dari fly, menyambung hiruk-pikuk dengan melintasi dewan makan sambil mencebik kumpulan berdisiplin yang masih belum menemukan ikan bilis dan hirisan sosej dalam nasi goreng.

Sekarang, hiruk-pikuk itu sudah tiada. Hingar-bingar semakin langka. Saya amat rindu. Barangkali sebab itulah sahur di rumah ala kadar sahaja. Pagi tadi: dua keping nuget udang dan segelas Milo.

14.8.10

Salah Taip Lirik



Andai semua menjaga dan tiada yang berduka
Andai semua bercinta dan tiada yang berdusta
Andai semua sama rasa tanpa takbur bangga
Pasti tiba masa manusia hidup selama-lamanya

If Everyone Cared

Komposer: 
Daniel Adair, Michael Kroeger, Chad Kroeger, Ryan Peake

13.8.10

Menerima Kasih

35 questions.

Millions of answers.

Thanks, dear.

Di Benua Buta - Mana Sikana



"Keris itu masih berdarah, kerana yang dibunuhnya ialah Melayu." - Mana Sikana, Anekdot #14, Di Benua Buta.

Saya mula kenal dengan nama Mana Sikana (Dr Abdul Rahman Napiah) ketika berusia 13 tahun. Terjumpa buku berjudul Keris Laksamana Bentan - kumpulan cerita lakonan untuk pelajar sekolah menengah, terbitan Fajar Bakti. Kalau tidak silap, Mama pinjam dari perpustakaan sekolahnya. 

Pengalaman membaca skrip drama mengenai kisah seulas nangka dan sultan yang murka dari perspektif Mana Sikana sememangnya menakjubkan. 

Terbaru, saya temukan buku ini: Di Benua Buta (ISBN: 978-983-62-9602-3). Oh, sebelum itu, saya ingin memberi ingat bahawa ini bukan ulasan buku. Bukan. Saya cuma berkongsi rasa kagum tentang buku ini, seraya menganjurkan mana-mana rakan yang meminati sastera Melayu untuk mendapatkannya.

Mesti baca. Mesti. 

Di Benua Buta memuatkan 100 anekdot karya Mana Sikana. Ringkas. Tajam. Padat. Ada yang hanya memuatkan satu ayat. Setiap satu mempunyai maksud tersirat yang dalam. Amat dalam.

Ketika coretan ini ditulis, saya selesai membaca anekdot ke-31. Barangkali sempat meladeni beberapa anekdot lagi sebelum solat Jumaat.

12.8.10

Nota Ramadan #3



Zaman anak-anak dulu - darjah empat - saya selalu marah-marah (dalam hati) apabila menunggu van sekolah kuning untuk pulang ke rumah pada bulan Ramadan. Panas. Setiap reguk liur hanya menambah dahaga. 

Itu belum dikira leteran Abang Din, pemandu van yang tak pernah sudah-sudah marah. Kami tak pernah kisah. Disuruh masuk bangat, kami saling menolak keluar. Biasalah. Zaman anak-anak. Segala tindak dibubuh rentak disuguh rancak.

Tiba di rumah, waktu melepas lelah. Rasa macam mahu tidur hingga lagu instrumental Timur Tengah dengan iklan-iklan produk tempatan dan nasional di Radio Malaysia Kelantan (saya lupa nama radio ini ketika saya darjah empat) berkumandang - tanda waktu berbuka makin hampir.

Tapi, sudah tentulah niat saya terbantut. Sekali lagi saya marah-marah (dalam hati) apabila mama kejutkan saya untuk solat Asar. Haus. Mamai. Entah berapa kali menggenyeh mata sebelum ke bilik air dan berwuduk.

Hari ini, panasnya tetap sama. Barangkali lebih sedikit kerana dunia semakin membakar (atau dibakar) - angkara manusia yang tegar engkar mencemar.  

Terlintas juga marah-marah (dalam hati). Saya bukan sufi, bahkan marhaen penuh dosa yang masih mencari. 

Tetapi cepat-cepat bisik marah itu saya padam - kerana usia dan dogma mengajar sabar sebagai mahar. Kalau mahu mengejar ganjar, bukankah wajar diajar? 

Sabarlah. Bahang matari semestinya memaksa keringat mengalir, namun Tuhan jua menghantar dingin semilir - andai tiada culas kita membalas setiap belas dengan budi dan zikir.

Tujuh dua puluh lima. Iklan produk tempatan berkumandang di radio. Bau cempedak goreng makin semerbak dari dapur.

Selamat berbuka puasa.

11.8.10

Nota Ramadan #2


Kalau ada rakan anda yang terlena dalam bilik atau ruang berhampiran tempat solat sedang azan berkumandang atau imam sudah memulakan solat - janganlah ditendang (atau diketuk kuat) pintu bilik tersebut, atau dimatikan suis kipas tanpa sepatah sapa sedang rakan anda masih terpisat-pisat, bertarung dengan kantuk.

Tidak manis. Seolah rakan anda tidak layak disapa sebagai manusia. Seolah jijik benar lakunya terlena.

Apa kata dekatinya perlahan-lahan, sentuh bahu, dan ajak ke tempat solat. 

Oh, kepada Abang Serban Putih yang menendang (atau mengetuk kuat) pintu dan menutup kipas tadi, maafkan saya andai sunyi lelap saya ini mengganggu jemaah. Maaf. 

Ya akhi, saya sudah bersolat Asar tadi. Cuma mungkin bukan jemaah pertama. Terima kasih kerana mengejutkan saya.

Nota Ramadan #1









"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (2:183)

Penuh juga masjid semalam. Macam solat Jumaat pula. Ruang parkir penuh, mungkin sebab ada sebuah Mercedes S280 yang semberono letaknya. Yang lain tak dapat masuk.

Saya tiba di masjid agak lewat. Masbuk untuk solat Isyak. Nasib baik sempat berjemaah. Satu saf dengan lelaki berjubah putih (semerbak minyak atarnya menusuk) dan seorang anak nakal menyarung jersi tiruan Arsenal. 

Rata-rata ahli jemaah berbaju Melayu dan berpelekat. Rasa segan pula saya hanya berbaju T. Tapi tak mengapa. Bukannya wajib berteluk belanga atau bercekak musang. Yang penting, suci dan selesa.

8.8.10

Merah



Merah. Tangannya berlumur merah. Ngilu. Pedih. 

Nafas mula sesak. Makin sesak. Seketika, dia lupa dari mana datangnya sakit ini. Telapak tangan menggeletar sambil jari meramas perlahan.

Merah. Tangannya berlumur merah. Ngilu. Pedih.

Dada masih bersih, lencun dibasahi keringat. Malah terlalu basah, terlalu mencurah peluh yang bertukar jadi arus, jadi alir. Titis lelah berbaur merah. Hanyir.

6.8.10

Menjengah Semula Klise Cinta



Andai cinta ingin bukti
Takkan kurenang lautan api
Binasa badan terhapus diri
Tinggal dirimu seorang sepi

Takkan kupinta dibelah dada
Tiada tega kau mencedera
Merah darah kekal sama
Begitu jua kasih kita

Tidak ingin kupetik bintang
Andai kau mahu sebutir kerongsang
Kelak cahaya terlalu terang
Kiri kanan maling bertandang

Andai diberi emas permata
Senyummu jadi pilihan kedua
Kusimpan harta kelak berguna
Menjamin hidup riangmu lebih lama

Kuharap kita abadi bersama
Namun bukan lagu dan irama
Perlu ada sumbang dan cela
Jadi teladan mengenal pesona