8.8.10

Merah



Merah. Tangannya berlumur merah. Ngilu. Pedih. 

Nafas mula sesak. Makin sesak. Seketika, dia lupa dari mana datangnya sakit ini. Telapak tangan menggeletar sambil jari meramas perlahan.

Merah. Tangannya berlumur merah. Ngilu. Pedih.

Dada masih bersih, lencun dibasahi keringat. Malah terlalu basah, terlalu mencurah peluh yang bertukar jadi arus, jadi alir. Titis lelah berbaur merah. Hanyir.

Baru sebentar tadi dia bahagia menghirup segar udara menadah indah sang suria. Ada teman bersenda, tapi dia sudah lupa siapa. Keringat membintik di dahi bercantum - jadi arus jadi alir. Dengan siapa dia bersama tadi? Terlalu pedih untuk memutar gulung memori. Dahi berkerut, tubuh mengerekot.

Merah. Tangannya berlumur merah. Ngilu. Pedih.

Kalau mampu, mahu saja dia bingkas dan menekan rongga luka, biar merah kembali meresap dalam tubuh. Sekali tubuh ditegak, sekali nyawa disentak. Dia merengus, seolah marah pada Tuhan. Namun kembali sedar. Tunduk. Seraya mata tertancap pada merah yang membuak di pusat jasad.

Dalam. Bagai disayat segenap lapis usus. Denyut sengsara bagai mentertawakannya setiap detik. Dia hairan. Mengapa dia ditertawakan? Dia mangsa. Dia yang diseksa. Dia menunggu masa. Bukan si polan. Ah, celaka. Siapa si polan? Si polan masih ada sini?

Merah. Tangannya berlumur merah. Ngilu. Pedih.

Mata dipejam. Ini bukan masa menghunjam dendam pada sisa silam. Ini waktu penentu arah tuju. Bertemu Tuhan penuh sesal, pulang hidup pada asal. 

Barangkali pada detik paling akhir dia sempat memaafkan Tuah. Barangkali.

1 ulasan:

  1. darah Jebat ke bonzai?
    sehingga kini diriku masih tak mahu tahu tentang politik Tuah dan Jebat...

    BalasPadam