24.9.10

Teknologi Bukan Musuh Bahasa

Sambil meladeni Twitter di Tweetdeck, saya terbaca satu kiriman dari seorang rakan. Lebih kurang beginilah:

Facebook dan Twitter ancam Bahasa Melayu - DBP

Dengan segera, saya tanya Pakcik Google tentang kisah sebenar. Rupa-rupanya, kiriman itu merujuk pada kenyataan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak.

Katanya, penggunaan bahasa pasar dan bahasa rojak tak mampu dibendung lagi sejak laman sosial (Facebook, Twitter) wujud. 

Setiausa kerajaan negeri Sarawak kata, mesti lebih giat untuk promosi bahasa Melayu. Kalau tidak, bahasa pasar akan ambil alih.

Saya tak setuju.

Pendirian sebegini, pada hemat saya, begitu aneh. Mengapakah wujud pandai bahasa yang menganggap evolusi dalam bahasa sebagai sesuatu yang jelek?

Saya faham, penggunaan perkataan yang aneh-aneh seperti gituew (begitu), akew (aku), iniew (ini), korunk (kalian) kadangkala menjengkelkan dan kelihatan dungu.

Pun begitu, bukan semua evolusi bahasa bersifat destruktif. 

Banyak sekali perkataan yang dibina dan diguna dalam kalangan masyarakat yang telah diterima sebagai istilah (walaupun slanga) basahan.

Miskol: Panggilan tak berjawab.
Sangap: Diguna dalam masyarakat masa kini untuk menggambarkan keadaan bosan. (Ditakrifkan dalam Kamus Dewan sebagai dialek Johor/Melaka yang membawa maksud menguap)
Poyo: Tingkah laku atau perawakan manusia yang biasanya tidak disenangi kerana kelihatan berlagak, tidak mempedulikan keadaan sekeliling, dan sebagainya.
Elarti: Ejaan bagi sebutan LRT, transit aliran ringan. Banyak ditemukan dalam penulisan moden. 
Bengkek: Keadaan geram berbaur marah.

Senarai di atas hanyalah sebahagian kecil daripada perkataan-perkataan yang wujud dalam kosa kata slanga. Masih banyak lagi. Masih banyak.

Molek jua andai DBP mendokumentasikan bahasa slanga dalam sebuah kamus, seperti mana yang dilakukan di Britain (A Dictionary of Slang and Unconventional English, susunan Paul Beale) dan Amerika Syarikat (American Slang Dictionary, susunan Maitland James).

Dengan wujudnya kamus sebegini, lebih mudah bagi para guru, misalnya, untuk tampil dengan senarai perkataan yang tidak boleh digunakan untuk karangan andai bimbang pencemaran bahasa.

Perkara yang sama boleh dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan, mahkamah, dan sebagainya.

Teknologi seperti Facebook dan Twitter boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pejuang bahasa untuk menyebar luas sebarang kempen untuk bahasa Melayu, malah bahasa apa sekali pun.

Sekiranya DBP mahu masyarakat menggunakan bahasa Melayu secara meluas, maka laman sosial sebeginilah yang berkesan. 

Usah jadikan bahasa Melayu sebagai "bahasa DBP". Memasyarakatkan bahasa bermula dengan menjadikan bahasa sebagai alat perhubungan yang demokratik dan mudah digunakan.

Soal tatabahasa, bahasa Melayu tinggi, subjek dan predikat - kesemua ini penting.

Cuma, sekiranya sisi teknikal dalam bahasa ini didahulukan dalam menggambarkan keindahan bahasa berbanding imej bahasa pada mata masyarakat, keinginan DBP untuk mewujudkan masyarakat yang menghargai bahasa Melayu akan tinggal angan-angan.

Sudah ramai pejuang bahasa yang memesrai teknologi. Sasterawan Negara A. Samad Said pun ada akaun Twitter. 

Usahlah memusuhi teknologi. Sudah tiba masanya pejuang bahasa memadamkan imej sebagai individu yang memperjuangkan ilmu kuno tanpa keinginan bersama-sama dalam arus kemodenan.

Itulah jua sebabnya saya hadir dengan Salah Taip yang kerdil ini.

4 ulasan:

  1. aku teringat kisah kaum muda kaum tua tu

    BalasPadam
  2. kalau tak boleh lawan, bergabung sebagai kawan
    kalau tak boleh halang, nasihatkan dan beri dorongan

    BalasPadam
  3. AdiWafi: Eh, betul juga kan?
    aizattaib: Bahasa milik semua :)
    jeffrockers: Tepat.

    BalasPadam